Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Wednesday, January 12, 2011
Upin & Ipin Sangat Terkenal Di Indonesia
Siri kartun Malaysia yang popular di kalangan sebahagian besar kanak-kanak Indonesia "Upin dan Ipin" akan ditampilkan untuk pertama kalinya dalam bentuk pertunjukan pentas di lima kota besar di republik ini pada musim cuti sekolah Jun dan Julai ini.
Lima kota yang dipilih kerana mempunyai ramai peminat itu ialah Jakarta, Bandung (Jawa Barat), Makassar (Sulawesi Selatan), Surabaya (Jawa Timur) dan Solo (Jawa Tengah).
Dalam pementasan itu, watak Upin dan Ipin dan kawan-kawannya akan dilakonka oleh pelakon yang memakai kostum boneka tetapi dialog mereka akan tetap menggunakan suara asli siri kartun itu, melalui penggunaan teknologi multimedia.
Rina Novita dari DNA Production, syarikat penerbitan yang memegang lesen tayangan Upin dan Ipin di Indonesia berkata percakapan watak-watak itu tetap menggunakan bahasa Melayu.
"Percakapan menggunakan bahasa Melayu kerana di sinilah daya tariknya bagi penonton di Indonesia. Cuma watak Tok Dalang dalam pementasan itu akan berperanan sebagai pencerita, dan akan menggunakan bahasa daerah di kota pementasan itu.
"Tidak mudah mengadaptasi filem layar lebar ke sebuah pertunjukan pentas, tetapi dengan bantuan kumpulan penyanyi parody, P Project dan Project Pop, saya optimis cerita Upin Ipin yang penuh humor ini dapat diterima baik oleh masyarakat," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.
Pementasan di lima kota itu akan menceritakan kisah Upin, Ipin dan kawan-kawannya menghadapi berita adanya hantu toyol di tempat mereka bermain.
"Sekurang-kurangnya ada dua pesan moral dalam cerita ini, pertama anak-anak yang datang ke pementasan itu diminta bersalaman dan mencium orang tua masing-masing dan mengucapkan terima kasih kerana telah dibelikan tiket. Ini sesuai budaya timur, kita harus menghormati orang tua.
"Kedua, anak-anak tak perlu takut dengan hantu kerana mereka beribadah. Kami ingin mengirimkan pesan bahawa hantu itu tidak ada. Selain itu, watak toyol dalam cerita ini dikisahkan sebagai tokoh bodoh, mengingatkan agar anak-anak jangan mahu menjadi bodoh seperti toyol," katanya.
Rina berkata idea awal pembikinan pementasan ini diinspirasikan daripada pengembangan watak oleh Walt Disney dalam promosi watak-watak kartun ciptaannya dalam pementasan.
Lagu soundtrack Upin Ipin yang dibawakan oleh kumpulan band Padi telah lebih dulu dilancarkan tahun lepas di Jakarta.
Selain Indonesia, beliau juga bercadang mengadakan pementasan sama di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Jun tahun ini selain di Singapura dan Manila, kata Rina, yang belum mendapat kepastian mengenai konsep dan waktu pementasan di ketiga-tiga negara itu.
Sementara itu Ratu Nur dari BD Next Entertainment, promoter acara ini optimis pementasan itu akan berjaya kerana nilai-nilai moral dan pendidikan yang disampaikan sangat menyentuh bagi orang tua sehingga mereka tidak akan ragu mengizinkan anak-anak mereka menonton.
"Kami menyiapkan panggung berkapasiti 2,000 penonton di setiap pertunjukan, dengan harga tiket masuk mulai Rp100,000 hingga Rp400,000," katanya.
Jika minat masyarakat melebihi jangkaan, pihaknya sedia untuk tampil di kota-kota lain di Indonesia, katanya.
- Jakarta, 12 Januari 2011
Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment