Sunday, January 23, 2011

Rahsia Perniagaan Cina Harus Dikongsi


Budaya niaga masyarakat Cina yang menggalakkan persaingan berkonsepkan simbiosis atau saling melengkapi sewajarnya turut dikongsi oleh peniaga kaum lain, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut baginda konsep itu akan meningkatkan kecekapan, produktiviti, kemahiran dan kreativiti serta mewujudkan situasi 'menang-menang' di kalangan mereka dan pelanggan.

Baginda bertitah para peniaga Cina juga tidak takut pada risiko persaingan dan tidak mengamalkan budaya berniaga 'atas angin'.

"Para peniaga juga perlu mengutamakan perniagaan yang boleh memberi keuntungan berterusan dan jangka panjang dan bukan mengambil jalan mudah untuk mendapatkan keuntungan yang tidak bertahan lama," titah baginda semasa melancarkan pasar malam Tahun Baru Cina di sini malam tadi.

Menurut baginda, budaya niaga tanpa sempadan akan membuka ruang yang lebih luas dan menguntungkan kepada para peniaga Cina.

Sempena pelancaran itu, baginda turut meninjau kegiatan perniagaan di pasar malam itu yang diadakan sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil manakala yang hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis Dr Por Choo Chor dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Rosley Mat.

- Kangar, 23 Januari 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

No comments:

Post a Comment