Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Monday, January 17, 2011
Transformasi Sosial Untuk Masyarakat Seimbang
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata transformasi sosial perlu dilaksanakan oleh kerajaan dalam mewujudkan masyarakat yang seimbang, adil dan saksama.
Menyifatkannya sebagai cabaran yang paling besar, Perdana Menteri berkata transformasi sosial boleh dianggap sebagai pelengkap kepada pelbagai program transformasi oleh kerajaan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Tranformasi Ekonomi (ETP) dan projek permulaan (EPP).
"Jika kita ingin lihat transformasi yang tuntas dan menyeluruh adalah melalui 'social transformation'. Cabaran paling besar, sebab bukan mudah untuk ubah sikap dan nilai masyarakat," katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
Najib berkata dalam mewujudkan masyarakat seimbang, kerajaan komited memastikan setiap individu di negara ini dapat menikmati hasil kesejahteraan negara.
"Kita mahu memastikan setiap nikmat negara dapat dirasai oleh semua. Kita wajib tolong mereka yang kurang bernasib baik, kita prihatin pada yang susah, yang mengalami tekanan hidup, masalah keluarga dan tidak berkemampuan, supaya kesejahteraan negara tidak hanya jadi milik yang kaya dan yang berkemampuan sahaja," katanya.
Justeru, kata Perdana Menteri, untuk menjamin bantuan dapat terus disalurkan kepada golongan yang memerlukan, kerajaan harus menumpukan kepada usaha menggerakkan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.
"Kalau ekonomi kita lembap, sudah tentu hendak tolong orang pun kita kurang mampu. Kalau ekonomi kita meningkat, bolehlah kita agihkan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan pertolongan. Maka akan wujudlah 'balance society'," katanya.
Mengenai ulang tahun KPWKM, Najib menyifatkan kementerian itu telah melalui proses evolusi yang dinamik dan signifikan.
Beliau berkata sebagai kementerian yang mempunyai kumpulan sasar yang besar, KWKPM juga telah berjaya memenuhi mandat dan bidang tugas yang diserahkan.
"Sebut apa sahaja kelompok masyarakat, tidak ada yang tidak berkait dengan kementerian ini.
"Daripada isu berkaitan kanak-kanak, hal ehwal wanita, merencana usaha ke arah meningkatkan kesejahteraan golongan kelainan upaya, permasalahan keluarga hinggalah tumpuan untuk meningkatkan infrastruktur dan akses kepada kemudahan kesihatan warga emas, menyedia rumah perlindungan mencukupi serta penglibatan mereka secara aktif dalam aktiviti sosial dan ekonomi negara.
- Kuala Lumpur, 17 Januari 2011
Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment