Tuesday, November 30, 2010

Filem Hit - Harry Potter And The Deathly Hallows: Part 1




Kisah seorang remaja bertanda di dahi yang telah dibawa pindah ke dunia realiti setelah ibu bapanya mati dibunuh oleh You-Know-Who di dalam dunia sihir bukan lagi kisah yang asing bagi masyarakat dunia. Kisah fantasi pengembaraan ini telah menjadi satu topik perbincangan yang hangat tanpa mengira golongan usia. Filem adaptasi dari novel J.K Rowling ini berjaya menempah namanya kerana idea dan juga konsep cerita ini yang lain dan agak luar biasa. Idea kreatif yang mapan ini amat digemari oleh kanak-kanak dan juga golongan dewasa tanpa mengira warna kulit dan agama.

Filem lakonan Daniel Radcliffe sebagai Harry Potter, Rupert Grint sebagai Ron Weasley dan sekuntum bunga mekar menemani perjalanan trio ini, Emma Watson sebagai Hermione Granger.

Novel yang laris bak goreng pisang panas ini sentiasa dinanti-nantikan kemunculannya, biarpun pelbagai andaian dan juga spekulasi timbul, yang sebenarnya bertujuan untuk melariskan lagi novel ini. Filem yang diadaptasi dari novel yang ketujuh ini dibahagikan kepada dua bahagian yang berbeza. Kedua-dua bahagian ini menempah tarikh yang berbeza menurut turutannya.

Bahagian yang pertama ini sudah pun berada di panggung pada 17 November lalu. Filem kali ini nampak lebih dewasa dan pada siapa yang mengikuti atau penggemar Harry Potter, perubahan serta kedewasaannya mula menyelubungi atmosfera cerita.


Kisah bermula apabila Harry Potter, Ron Weasley dan Hermione Granger meninggalkan alam persekolahan mereka setelah kematian kejam Professor Dumbledore. Harry yang ingin menyiasat kisah sebenar dalang di sebalik pembunuhan ini mula yakin yang dialah orang yang bertanggungjawab untuk membalas kembali perbuatan kejam Voldemort dan kuncu-kuncunya, Death Eaters. Professor Snape juga terlibat dengan rancangan jahat The Dark Lord yang ingin menguasai dunia sihir dan cuba untuk membunuh Harry.

Di dalam pengembaraan menyelasaikan dan mengumpul kesemua Hocruxes yang dikatakan mampu memberikan kuasa dan juga kekebalan nyawa Voldemort yang akan membunuh Harry. Maka, dengan sebab ini jugalah, Harry dan rakan-rakannya meninggalkan sekolah dan mencari serta memusnahkan kesemua Hocruxes yang ada demi keselamatan nyawanya.

Persahabatan dan kesetiaan mereka diuji. Kali ini, Harry dan Ron berbalah akibat perasaan cemburu. Di dalam bahagian satu ini juga, kekuatan fizikal, mental dan juga emosi mereka diuji dengan jitu sekali. adakah mereka ini berjaya dalam menyelasaikan misi pengumpulan memusnahkan kesemua barang Vondelmort dan bagaimana pula dengan percintaan Ron dan Harmoine yang dikatakan tergugat dengan kehadiran Harry dan misi ini? Percayalah, setelah anda selesai menonton filem ini, semakin anda mahukan lagi.

Filem ini ditayangkan pada waktu yang tepat dan sesuai sekali dengan golongan penonton sasarannya. Musim cuti persekolahan pasti akan nampak lebih meriah dengan kehadiran filem-filem seperti ini. Maka, tumpuan remaja akan beralih kepada filem-filem seperti ini dan bukannya pada perkara yang akan menjerumuskan mereka ke arah negatif. Filem bahagian pertama dari novel ketujuh ini nampak lebih meyakinkan kerana kali ini misi Harry dan rakan-rakannya jelas dan gambaran kedewasaan Harry yang cuba untuk membunuh Voldemolt semakin kuat dipaparkan di dalam filem fantasi ini. Sinematografi filem ini nampak cantik dan mampu memukau mata. Dengan bantuan matte dan juga CGI yang bertaraf 5 bintang ini, tiada apa yang lagi yang boleh disangkal lagi. Permandangan yang selama ini dikaburi dan dibayangi dengan latar tempat yang sama pada setiap episod kini mula berubah wajah. Penonton, malah Harry Potter sendiri dibawa ke tempat yang asing sekali.

Pemandangan yang cantik dipandang ini boleh menambat hati biarpun kita sendiri terperangkap antara pandangan dunia maya dan sebenar. Mengekalkan warna yang gelap di sepanjang cerita, filem masih mengekalkan identiti yang sama dan kesinambungannya memuaskan hati. Kali ini bezanya filem ini dengan yang lain adalah, filem ini tidak kurang memaparkan kisah kehidupan Harry Potter di Hogwarts School of Witchcraft and Wizardry, seorang pelajar dari kumpulan Gryffindoor yang memberontak di dalam diam dan penuh dengan kedegilan dan sifat ingin tahu yang sangat tinggi.

Keberanian Harry masih sama, namun semangat Harry dikatakan semakin pudar. Walhal, semakin jauh perjalanan Harry mencari kebenaran maka semakin tinggilah keberaniannya. Namun, pengarah memilih untuk menampilkan sedikit kelainan ini agar bahagian akhir ini akan nampak lebih menarik, panjang dan semakin menjadi satu penantian buat penggemar-penggemarnya. Mungkin taktik ini nampak goyah, namun filem ini dapat meyakinkan penonton dengan lakonan pelakon yang lebih beremosi dan matang. Selain itu juga, filem ini menampilkan kelainan dengan menampilkan sedikit bantuan dari animasi di pertengahan cerita demi untuk meyakinkan lagi penonton dan membersihkan imej cliché yang selama ini menjadi isu.

Filem ini jauh lebih serius dari yang lain dan babak humor yang ada hanya picisan. Namun, secara keseluruhannya, filem ini memuaskan hati. Persoalan yang timbul selepas habis cerita ini adalah di manakah letaknya Hocruxes yang lain dan dapatkah Harry mengalahkan Voldemort? Di mana Deathly Hallow? Siapa yang akan hidup dan siapa pula yang mati? Siapa Snape yang sebenarnya dan apakah kesudahan kisah percintaan filem ini?

Kesemua ini bakal terjawab dan akan menemui anda di dalam sambungan bahagian yang kedua, yang akan menemui anda Julai 2011. Nantikan kesudahan pengembaraan trio yang cukup terkenal di seluruh dunia ini.

Saturday, November 27, 2010

Ya Allah, Manisnya Hidayah-Mu



Alhamdulillah, beberapa bulan lalu saya mempunyai impian untuk lancarkan slot 'Sinar Hidayah' dan hari ini ia menjadi realiti; dengan izin Allah SWT. Slot ini adalah slot perkongsian pengalaman yang mampu memberikan kita kesedaran dan inspirasi bahawa hidayah Allah itu dekat dengan kita. Apa yang cuba disampaikan melalui slot ini adalah walau sejahat atau senakal mana pun kita, Allah masih sayang kepada kita. Maka, kita perlu berusaha untuk terus mencari dan mendapatkan hidayah-Nya. Perkongsian pertama di bawah ditulis oleh rakan saya, Adam (bukan nama sebenar). Semoga bermanfaat, dan sebar-sebarkanlah untuk membantu rakan-rakan kita yang lain.

Im Koyube, Presiden iluvislam.com
Luv Everybody, Hate Nobody

Kisah Adam

Coretan saya ini, sekadar ingin berkongsi kisah benar kehidupan seorang lelaki (yang ingin dikenali sebagai Adam) yang dipilih Allah untuk berhijrah daripada kehidupannya yang gelap kepada cahaya. Allah berfirman yang bermaksud:

"Allah pelindung orang-orang yang beriman; dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya." (Surah Al-Baqarah:257)

Latar Belakang

Sedikit latar belakang kisah sewaktu kecilnya. Dia merupakan seorang anak yang begitu tinggi sifat ingat tahunya dan seperti kanak-kanak yang secara amnya bersifat nakal. Dia dibesarkan dengan penuh kasih sayang disamping didikan agama yang baik namun dari sudut pergaulannya, dia amat dikawal rapi oleh kedua orang tuanya sehinggakan dipetang hari tika kanak-kanak yang lainnya bersuka-ria, dia hanya sekadar bermain di halaman rumahnya atau di rumah jiran rapat kepada ibu ayahnya sahaja.

Dia pula dihantar ke sekolah yang terletak di bandar dengan alasan takut kalau-kalau Adam menjadi liar jika bercampur gaul dengan kanak-kanak di kampungnya. Begitulah warna-warni kehidupan Adam, dimana perkembangannya tidak begitu memberansangkan kerana masanya yang banyak dihabiskan di rumah bersama ibu, ayah, kakak dan adik perempuannya. Namun sebagai seorang anak, apa sahaja yang boleh dilakukan, melainkan mendiamkan diri dan mengikut rentak keluarganya. Dalam diam pemberontakan dalam diri yang sangat hebat berlaku.

Sifat ingin tahunya hanya banyak menimbulkan tanda tanya tanpa penjelasan dan dorongan keluarga, Adam lebih banyak belajar dengan caranya sendiri dari sumber-sumber seperti televisyen, movie termasuk video pornografi, observation terhadap keluarga serta kawan-kawannya dan lain-lain lagi, namun banyak ilmu negatif daripada positif, pengetahuan yang ada, kekal dalam dirinya. Kehidupannya seperti kata-kata dari Prince Charles, "I learned the way a monkey learns - by watching its parents." Kerana kebiasaan bersama adik beradik perempuan, Adam mempunyai lebih ramai kawan perempuan berbanding kawan lelaki kerana sikapnya yang mudah mesra dengan perempuan sewaktu dia dibangku sekolah, namun dia bukanlah dalam kategori lelaki yang lembut.

Bergelar Mahasiswa

Apabila tamat zaman persekolahannya, Adam melanjutkan pelajarannya ke sebuah institusi pengajian swasta. Dimana Adam jauh dari keluarga dan perlu berdikari dengan berbekalankan pengetahuan yang ada bagi meniti kehidupan sebagai seorang yang bergelar mahasiswa. Ilmu agama yang dia miliki pula tidak begitu mantap, hanya sekadar mengetahui ilmu itu seperti subjek-subjek lain yang dipelajarinya disekolah. Pelbagai perkara yang menjadi tanda tanya dalam dirinya selama ini, yang dari pelbagai sudut tentang sesuatu perkara, cuba dicari dan dikupas satu persatu.

Karakter yang sudah sebati dalam diri, yang mudah mesra dengan perempuan digunakan sebaik mungkin kerana dia merasakan ada 'kemanisan' yang tersendiri dalam diri, mahluk yang bergelar perempuan. Ditakdirkan Adam bertemu dengan seorang perempuan dikenali sebagai Zulaikha yang rosak moral dan bebas pergaulannya.

Zulaikha

Adam merasa simpati dengan akhlak Zulaikha dan bercita-cita untuk merubahnya, kerana Adam percaya, bukan atas kemahuan Zulaikha untuk bersifat sedemikian rupa. Pasti keadaan sekeliling, cara didikan keluarga dan pengaruh kawan yang menyebabkan Zulaikha berperwatakan begitu. Dengan pengetahuan agama yang cetek, Adam cuba membimbing Zulaikha kepada kebaikan, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Adam semakin mendalami kehidupan Zulaikha yang penuh dengan kegelapan dan mereka semakin rapat bagaikan pasangan suami isteri, sehingga mereka mengisytiharkan kepada rakan-rakan tentang percintaan mereka berdua.

Kini cita-cita Adam yang dulunya panas membara bertukar menjadi seperti debu di jalanan, kerana hanyut dibawa arus kemaksiatan. Dia merasakan percintaan bersama Zulaikha adalah rahmat dari Allah kerana Zulaikha dapat membantu dalam pelajarannya, disamping kebahagian hidup bersama teman hidupnya itu. Perkara ini diketahui oleh kedua orang tua Adam, dan percintaan mereka dihalang keras oleh keluarganya. Namun Adam bermati-matian mempertahankan percintaan mereka sehingga sanggup bersikap biadap kepada kedua orang tuanya. Pertama kalinya Adam menyebabkan air mata ibunya berlinangan.

Disamping cerita Zulaikha, Adam juga ingin merubah sikap atau cara hidupnya yang mudah mesra dengan perempuan itu dengan memperbanyakan kawan-kawan lelaki, dan ingin hidup seperti remaja-remaja kebanyakan, kononnya seperti lelaki 'macho', 'stylo' dan 'gangster.' Dan dia berjaya dalam membina hubungan dengan remaja-remaja kampung dan ditempat belajarnya sendiri, yang datang dari pelbagai latar belakang. Dari hari ke hari, pendirian dan sikap Adam bertambah teruk.

Dia sudah mula terjebak dengan zina, pergaulan bebas, berhibur di kelab malam, rempit, curi motor, rokok dan banyak lagi yang dicubanya. Namun kadang-kadang, jauh disudut hatinya berkata-kata "Kenapa kehidupan aku begini? Seronok, tetapi aku tidak pernah merasa tenang... Masalah pula bertambah-tambah... Bagaimana ibu ayah? Bagaimana Zulaikha bila aku berjauhan dengan dia? Dengan lelaki lain mungkin? Bagaimana agama?" Dan terus soalan-soalan ini dia terfikirkan setiap kali dia membuat maksiat ataupun dia keseorangan.

Dalam masa yang sama dia terus mencari jawapan dan penyelesaian masalahnya disamping maksiat-maksiat yang dia masih lakukan. Kadang-kadang dia mendekati orang-orang tua di kawasan belajarnya, atau pesyarah-pensyarah demi mencari nasihat atau solusi. Semua yang didengarinya disimpan baik dalam kotak memorinya. Kadang-kadang ke masjid atau surau mencari sesuatu, kalau-kalau di sana ada ketenangan. Kadang-kadang sejadah menjadi saksi tangisannya dalam dia mencari makna kehidupan.

Dia masih belum mengerti yang dimaksudkan dengan hidayah dari Allah swt, Al-Quran yang punya pelbagai khabar gembira dan peringatan masih belum menjadi peneman sejati. Kadang-kadang kedengaran bacaan dari surah-surah Al-Quran yang dibaca merdu oleh Adam. Namun maknanya tidak diambil tahu. Adam dalam keluh kesah dan keliru, terumbang-ambing dihempas ombak kehidupan, disamping bisikan-bisikan syaitan yang tidak mengenal erti berputus asa demi meramaikan teman untuk menemaninya dineraka kelak. Adam bagai tiada kekuatan untuk membuat perubahan dalam dirinya sendiri, dan dia terus mengikut arus kehidupan yang penuh 'kebahagian' didalamnya.

Masa berlalu begitu pantas, Adam berasa senang hati apabila dapat menamatkan pengajiannya di peringkat diploma dengan baik. Perhubungan cinta bersama Zulaikha terputus ditengah jalan, selepas mendapat tahu bahawa Zulaikha curang dibelakangnya bersama lelaki lain. Adam sudah berputus asa dengan sikap Zulaikha dan tidak sanggup lagi memimpin Zulaikha yang sememangnya seperti tidak boleh diubah lagi sikapnya. Hanya doa yang mampu Adam panjatkan kepada Illahi demi kebahagian Zulaikha bekas kekasihnya.

Di saat rasa gembira bercampur sebak itu juga, ditambah pula dengan dugaan yang lainnya, dimana dia terlibat dengan kemalangan jalan raya. Mungkin ini satu peringatan dari Allah swt atas perkara-perkara yang dilakukan Adam seperti mencuri motor dan bergadai nyawa di jalan raya demi keseronokan dan duit. Selepas sihat dan pulih daripada luka, Adam lebih berhati-hati dalam menunggang motor dan berhenti dari kegiatan mencuri motor dan merempit di jalanan.

Jauh Dari Pantauan Keluarga

Seperti rata-rata mahasiswa, Adam juga meneruskan pengajiannya di peringkat ijazah. Satu institusi yang lebih jauh dari pantauan ibu ayah dan bukan satu tempat kemasyarakatan seperti taman-taman dan kampung-kampung. Rata-rata penghuni kawasan ini adalah pelajar dan warga asing yang tiada langsung budaya kemasyarakatan, hidup berjiran dan sebagainya. Semuanya sekadar menjaga hal masing-masing. Adam yang kini tiada teman kekasih merasakan dirinya sunyi, dan seperti biasa Adam dengan sikap peramahnya mencari dan membuat hubungan dengan kenalan baru bagi mewarnai kehidupannya di tempat itu.

Adam menyibukkan diri, menyertai pelbagai kelab di institusi barunya dengan niat mencari kenalan baru. Tiada masalah buat Adam dalam usaha ini, memandangkan dia seorang yang 'versatile' dan peramah. Kerana sibukkan keseronokan, pendidikan Adam menjadi kelam-kabut dan punah, tetapi sedikit rasa terkilan pun tidak dirasainya kerana dikaburi keseronokan yang terlampau. Tiada rasa bersalah dengan ibu ayah lagi, silih berganti perempuan, tiada lagi rasa malu dalam diri, dan tetap dengan perangai buruk yang ada. Dia terus menyalahi Zulaikha yang kononnya, perempuan itu menjadi sebab perangainya buruk.

Adam sudah berputus asa dengan rahmat Allah serta menyalahi Allah yang membiarkan kehidupannya sebegitu rupa. Perbelanjaan yang sia-sia terus dilaburkan dari seorang yang bergelar ayah kepada Adam. Masa terus berlalu pergi, namun Adam tetap sebegitu rupa. Kali pertama dibuang dari institusi kerana 'pointer' yang sangat teruk, Adam membuat rayuan bagi meneruskan hasrat yang kononnya dia ingin membuat perubahan dalam pelajarannya. Setelah rayuan diterima, Adam tetap dengan perangai buruknya, tanpa menghiraukan pelajarannya tetap menagih keseronokan dunia yang penuh kemaksiatan. Adam kini menjadi pembela kemaksiatan atas kesan-kesan dosa yang menyebabkan hatinya keras dan hitam.

Hawa

Ditakdirkan Adam berkenalan dengan seorang perempuan yang dikenali sebagai Hawa. Seorang perempuan yang begitu menagih cinta Adam, kerana sifat Adam yang penyayang dan begitu mengambil berat tentang dirinya. Adam tidak mahu terikat dengan mana-mana perempuan buat ketika itu kerana dia lebih selesa dengan keadaannya yang bahagia disamping kawan-kawan dan silih berganti teman tidurnya. Namun dia merasakan Hawa mencintainya seikhlas hati, lalu menerima cinta Hawa dengan baik.

Kehidupan mereka berdua begitu 'bahagia' sehinggakan Hawa sanggup menyerahkan jiwa dan raga untuk Adam atas nama cinta. Pada hakikat yang sebenarnya, cinta mereka itu tiada dasar dan hanyalah dorongan nafsu semata. Namun Hawa banyak berkorban masa, tenaga dan harta kerana cinta, semata-mata untuk membawa perubahan dalam pendidikan Adam. Namun usahanya bertemu kebuntuan, sehingga Adam disingkirkan dari institusinya buat kali yang kedua. Kali ini Adam tersentak kuat dengan keputusan yang sangat teruk.

Bertubi-tubi persoalan demi persoalan yang memburu benak fikirannya, "Macam mana sekarang? Nak teruskan lagi ke? Pointer dah teruk, teruskan pun tiada guna... Kerje ke? Kalau ibu ayah tahu macam mana? Perlu belajar tempat lain ke? Perlu tukar course ke? Arrrrgghhhhhh...!!!!" jiwanya menjerit kuat.

Tanpa pengetahuan ibu dan ayah, Adam tersungkur keseorangan, menjerit, menangis, menahan kepedihan dan keperitan yang sedang ditanggungnya itu. Mujur Hawa masih lagi disisinya, terus membantu, menyokong Adam dari pelbagai sudut. Dia mempercayai kemampuan Adam untuk membuat perubahan dalam pelajaran dan kehidupannya. Hawa membantu dalam memberi buah fikiran, idea-idea dan sanggup pula berkorban harta dan masa demi untuk membantu Adam. Keikhlasan Hawa membuatkan Adam bertambah ikhlas menyayangi kekasihnya. Dia cuba bangkit dan bertatih semula menuju menara gading sambil dipapah kekasihnya.

Kata putus dari perbincangan mereka berdua ialah supaya Adam memohon di institusi-institusi lain yang sedang menawarkan kemasukan pada ketika itu, sambil mencari pekerjaan sementara bagi memenuhi masa yang terluang ketika menunggukan jawapan dari mana-mana institusi yang dipohon mereka.

Walaupun kisah Adam kali ini penuh kepahitan, dugaan, dan pengorbanan, namun akhlaknya masih belum menampakkan perubahan. Perhubungannya dengan Sang Maha Pencipta masih tidak terjaga, walaupun kadang-kadang terdetik dihatinya, "macam mana nak jadi baik? Haihs..". Malah Adam mengheret kekasihnya juga ke kancah kemaksiatan. Sayangnya, kerana Hawa merasakan selesa dan kemanisan dalam perkongsian hidup bersama Adam, padahal kegelapan menutupi kehidupan mereka berdua.

Titik Kesedaran

Selang beberapa bulan, keputusan permohonan Adam di salah satu institusi diterima dan ditawarkan tempat bagi Adam melanjutkan pendidikan di peringkat ijazah di situ. Kegembiraan yang tidak dapat digambarkan dapat dilihat dari riak wajah Adam. Tanpa berfikir panjang Adam ditemani kekasihnya menguruskan pinjaman dan pembayaran deposit sebelum memulakan pendidikannya.

Terlintas di kotak fikiran Adam, "apakah pantas untuk aku meneruskan pendidikan dengan attitude aku yang sebegini rupa?" Kini Adam benar-benar menyedari bahawa dia tidak akan dapat pergi jauh dengan akhlaknya yang sangat teruk, maka Adam berusaha mencari mana-mana tempat yang menganjurkan kursus motivasi diri. Seorang kawannya mencadangkan supaya Adam pergi ke satu kursus yang pernah kawannya itu hadiri, dan satu impak positive yang besar berlaku pada diri kawannya kini. Tanpa berfikir panjang dan dipersetujui kekasihnya, Adam turut menghadiri kursus itu dengan hasrat supaya kursus yang akan dihadirinya dapat memberikan impak yang besar dalam dirinya.

Dengan keizinan Allah, suatu yang seperti ajaib terjadi dalam dirinya, seperti seorang yang meraba-raba dalam kegelapan, berjaya melepaskan diri kepada cahaya dengan bantuan sesuatu. Kini Adam memperakui dosa-dosanya dan dia bertaubat dihadapan Allah, memohon keampunan, berjujuran air mata, menggigil dia kerana takut akan dosa-dosanya, sehinggakan Adam begitu takut untuk keluar dewan menghadapi realiti kehidupan yang penuh dusta. Allah berfirman

"Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayat petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayat yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Surah An-Nur:35)

Kini Adam yang bagai punya dua personaliti, baik dan jahat dalam dirinya saling bercekaran merebut tahta pemerintahan dalam diri Adam. Dengan semangat baru yang berkobar-kobar, dia merangkul segala ilmu agama yang dipelajarinya dibangku sekolah dahulu, menukil kembali nasihat-nasihat yang pernah didengarinya dahulu. Al-Quran yang dulunya sekadar perhiasan kini menjadi teman, semuanya dikumpul dan diletakkan dihadapannya sebagai panduan kehidupan dalam setiap pekara. Allah swt dirasakan dekat, mencintai dan merindui Rasul saw dan Allah swt.

Rutin sehariannya kini mencari keburukan diri, dan perlahan mencari solusi kepada setiap permasalahan dirinya. Prasangka buruk dalam diri hilang, sikap membanding-bandingkan terkubur, riak dan banyak sikap negatifnya yang secara drastik berubah dan hilang dalam diri Adam. Dia kini sangat dahagakan ilmu demi mempertingkatkan akhlak diri dan memperbaiki kehidupan sebagai seorang pelajar dan akan punya kerjaya serta bakal menjadi pemimpin rumah tangga satu hari kelak.

Di institusi barunya, dia menunjukkan kejayaan dalam bidang akedemik dan kokurikulumnya. Namun dalam masa yang sama, kekasihnya Hawa merasakan tidak selesa dengan perubahan yang terjadi dalam diri Adam. Dia seperti kehilangan Adam yang dia kenal dulu, sedikit demi sedikit Hawa menarik diri dari Adam. Cintanya kepada Adam semakin pudar. Mungkin kerana waktu bersama dengan Adam semakin berkurangan, bilamana Adam menghadkan waktu untuk mereka bersama. Adam sudah banyak berubah ke arah ke-Islaman. Keseronokan yang dulunya Hawa nikmati bersama Adam sudah hilang dengan perubahan pada diri Adam.

Ujian Kebenaran Cinta

Niat Adam sekadar ingin menjaga silaturrahim mereka berdua, kerana Adam benar-benar mencintai Hawa dan bercadang untuk memperisterikan Hawa bila habis pengajiannya kelak, disamping ingin menghormati diri Hawa sebagai makhluk ciptaan Allah yang cantik dan bersifat lemah. Mungkin juga Adam terlalu keras dalam membimbing Hawa, yang menyebabkan Adam semakin hilang dari hatinya. Mungkin juga Allah ingin menguji kebenaran cinta Adam kepada Allah swt dan Rasul saw.

Namun perkara ini dilalui tenang oleh Adam, kerana dia kini seorang yang percaya pada ketetapan baik dan buruk oleh penciptanya. Dan dia memaafkan Hawa dan amat bersyukur diizinkan Allah berkenalan dengan manusia yang bernama Hawa. Hanya doa yang mampu Adam panjatkan demi kebahagiaan Hawa untuk dunia dan akhirat.

Adam kini terus dengan perjuangannya, dia perlu meletakkan fokus pada pendidikannya. Disamping memperkuatkan ilmu agama, mempelajari hadis, perbaiki bacaan Al-Quran sambil meningkatkan keimanannya kepada Allah dan Rasul. Dia menjadi seorang yang amat risaukan tentang bagaimana dan cara apa yang perlu dilakukannya bagi menjadikan impian Rasul saw sebagai satu kenyataan sehingga bayi yang terakhir lahir ke dunia pun dapat masuk ke syurga Allah swt. Kehidupannya kini kelihatan bahagia, bagaikan tiada masalah, walaupun berseorangan. Mungkin kerana keyakinannya terhadap bantuan dari Sang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Moga kita sama-sama dapat doakan kesejahteraan Adam. Semoga Adam dapat beristiqamah dan bermujahadah dalam usaha memperbaiki diri dan berdakwah menyebarkan agama Allah.

Allah bersumpah demi jiwa dan seluruh penyempurnaan-Nya. Setelah itu Dia mengilhamkan sukma kefasikan dan ketakwaan kepada manusia. Maka beruntunglah siapa yang mensucikan hatinya dan rugilah bagi mereka yang mengotorinya.

- Artikel iluvislam.com

Sunday, November 14, 2010

AIDILADHA 1431H...



Lirik Lagu Haji Menuju Allah Raihan - Lirik Raihan ( Pergi Haji )
Lirik Lagu Raihan Haji Menuju Allah ( Pergi Haji ) :

Labbaikallahumma Labbaika
Labbaika Laa Syarikalaka Labbaika
Innalhamda Wal Ni'mata
Laka Wal Mulk Laa Syarikalaka
...(2x)

Pergi haji
Artinya menuju Allah yang esa
Membawa hati dan diri yang hina
Memberi hadiah kepada Allah
Berhati-hatilah menghadapNya

Setiap hamba
Pergi haji dengan segala yang baik
Hati yang baik akhlak yang baik
Harta yang halal hati yang bersih
Niat yang suci amal mulia

Pergi haji
Ilmu tentangnya mestilah ada
Agar syarat dan rukun tepat sempurna
Sah dan batalnya dapat dijaga
Agar amalan hajinya tidak sia-sia

Tata tertib dan akhlak kenalah jaga
Buatlah dengan tenang serta tawadu'
Sabar dan tolak ansur mestilah ada
Jangan berkasar merempuh manusia

Tanah haram jagalah pantang larangnya
Pergi haji bukannya masa untuk membeli belah
Beringatlah betulkanlah niat kita
Moga-moga haji kita diterima

Jagalah pantang larangNya
Yang boleh rusakkan hati
Jauhkan maksiat dan yang sia-sia
Takutkan Allah yang esa
Ingat selalu padaNya
Agar kita senantiasa memiliki jiwa hamba video

Kelebihan Dan Amalan Zulhijjah


Antara rahmat Allah SWT yang besar kepada kita ialah disediakan beberapa pesta ibadat sepanjang tahun. Kerana itulah kita mendengar kelebihan hari Jumaat sebagai hari terbaik di dalam seminggu, bulan Ramadhan itu adalah bulan terbaik di dalam setahun, malam lailatul qadar itu adalah malam yang terbaik berbanding malam-malam yang lain dan Allah turut memberikan sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah sebagai hari terbaik di dalam setahun.

Tujuan disediakan musim pesta ibadah ini ialah sebagai peluang dan galakan kepada umat Islam meningkatkan pelaburan ukhrawi mereka.

Kelebihan dan amalan yang digalakkan semasa sepuluh hari pertama Zulhijjah ini boleh diringkaskan seperti berikut:

1. Disumpah Di Dalam Al-Quran

Allah SWT banyak menggunakan metodologi bersumpah di dalam al-Quran, dengan bertujuan untuk memberikan penegasan kepada ayat seterusnya, serta memberikan petunjuk terhadap kelebihan perkara yang menjadi sumpahan tersebut. Di dalam surah al-Fajr ayat 1-2, Allah telah berfirman yang bermaksud :

"Demi waktu fajar, dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)."

Di dalam tafsir al-Tabari, Ibn Jarir telah mendatangkan banyak riwayat mengenai pandangan ulamak terhadap yang dimaksudkan dengan sepuluh malam di dalam surah al-Fajr di atas. Ada yang menyatakan ianya bermaksud sepuluh hari pertama bulan Muharram. Sebahagian menyatakan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, dan ini disokong oleh Syeikh Ibn Uthaimin.

Akan tetapi pandangan jumhur ialah sepuluh hari berkenaan berlaku pada awal Zulhijjah. Dengan sebab itulah hari-hari tersebut dianggap sebagai hari yang mulia dan penuh dengan kelebihan.

Menurut Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma'ad, siang sepuluh hari pertama Zulhijjah adalah lebih afdhal daripada sepuluh hari terakhir Ramadhan, sementara sepuluh malam terakhir Ramadhan pula adalah lebih baik daripada sepuluh malam pertama Zulhijjah kerana berlakunya lailatul qadar.

2. Hari Digalakkan Beramal Ibadah

Bersabda nabi Muhammad SAW yang bermasud :

Dan tiadalah hari yang beramal soleh padanya paling dicintai Allah melainkan sepuluh hari pertama Zulhijjah ini. Sahabat bertanya, "Bukankah jihad fi sabililllah?" Jawab baginda, "Ya termasuklah jihad fi sablillah, kecuali mereka yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawanya kembali walau sedikit". (Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadith ini, para ulamak menggalakkan umat Islam meningkatkan semua jenis amal ibadah seperti puasa, bersedekah, qiyamullail dan seumpamanya pada sepuluh hari yang mulia ini.

3. Hari Yang Dihimpunkan Semua Ibadah Utama Dalam Islam

Di dalam kitab Fathul Bari, Al-Hafiz telah menerangkan mengapa amal ibadah amat digalakkan pada sepuluh hari pertama Zulhijjah:

"Adapun sebab keistimewaan sepuluh hari pertama Zulhijjah ialah kerana terhimpunnya semua ibadah utama padanya iaitu solat, puasa, zakat dan haji, yang mana ianya tidak berlaku pada masa yang lain."

4. Galakan Berpuasa Terutamanya Pada 9 Zulhijjah

Di dalam sepotong hadith sahih riwayat Muslim, Abu Qatadah meriwayatkan yang nabi ditanya mengenai fadhilat berpuasa pada hari Arafah (9 Zulhijjah), maka jawab baginda:

"Diampunkan dosa tahun yang lepas dan yang masih berbaki."

Selain itu umat Islam juga digalakkan berpuasa pada awal bulan, iaitu pada 1 Zulhijjah. Dalam masa yang sama, ada riwayat yang menyatakan ramai salafussoleh berpuasa pada sembilan hari pertama Zulhijjah. Perlu diperingatkan juga yang berpuasa pada hari 10 sehingga hari 13 Zulhijjah adalah dilarang di dalam Islam.

5. Awal Zulhijjah Adalah Musim Haji

Awal Zulhijjah ialah musim menunaikan ibadah haji bagi umat Islam yang mampu. Pada waktu inilah hampir 3 juta jemaah haji akan berhimpun beramai-ramai menyahut panggilan Allah di tempat yang suatu masa dahulunya merupakan bumi kering-kontang. Ibadah haji juga merupakan satu-satunya rukun Islam yang dijadikan nama surah di dalam al-Quran. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Hajj ayat 27 yang bermaksud:

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."

6. Turut Dikenali Sebagai Hari Ma'lumat

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 28 yang bermasud:

"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan manfaat/faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu (hari ma'lumat), kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin."

Ulamak menafsirkan hari ma'lumat sebagai hari yang ditentukan oleh Allah SWT dengan pelbagai jenis kelebihan dan fadhilat. Ianya bukan sekadar kelebihan akhirat semata-mata, tetapi turut membabitkan kelebihan duniawi.

Menurut Mujahid seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir di dalam tafsirnya, yang dimaksudkan dengan menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah di dalam awal ayat di atas ialah keampunan di akhirat, dan keuntungan perdagangan di dunia.

Keuntungan akhirat adalah sesuatu yang pasti perlu direbut oleh para jemaah haji. Sementara manfaat atau keuntungan perdagangan di dunia pula disebut oleh Mujahid dalam ulamak salaf yang lain sebagai konteks realiti duniawi zaman dahulu.

Pada zaman sekarang, memang tidak dinafikan yang keuntungan berniaga akan berlipat ganda khususnya bagi penduduk tanah Haram. Akan tetapi kita perlu menyempitkan maksud keuntungan duniawi dalam sektor perdagangan sahaja.

Umat Islam perlu memanfaatkan perhimpunan 3 juta manusia ini untuk menatijahkan manfaat serta kekuatan yang lain. Bagi pemimpin negara umat Islam, inilah masa mereka berbincang memikirkan kesatuan dan kemajuan masing-masing. Kekuatan muslim perlu dijana semasa perhimpunan agung ini, semoga roh-roh yang baru menunaikan ibadah haji pulang ke tanah air masing-masing dengan semangat yang tinggi serta kesatuan yang jitu.

Inilah masanya untuk menyatakan kemarahan kepada musuh Islam dan musuh keinsanan. Negara Muslim yang kuat membantu negara Muslim yang lemah. Muslim lama membantu muslim muallaf. Muslim minoriti berkongsi pengalaman dengan muslim majoriti di negara masing-masing. Bagi saya, inilah manfaat duniawi yang terbesar sepatutnya dicari oleh para hujjaj semasa musim haji.

Dalam masa yang sama, umat Islam juga diminta untuk memperbanyakkan bacaan takbir sebagai tanda kita berzikir dan mengagungkan Allah SWT sejajar dengan ayat di atas. Bertakbir adalah amat dituntut daripada bermulanya malam 10 Zulhijjah sehinggalah hari tasyriq pada 13 Zulhijjah.

7. Digalakkan Menunaikan Ibadah Kurban

Di dalam surah al-Hajj ayat 28 di atas, Allah turut menggalakkan umat Islam yang mampu untuk menunaikan ibadah qurban. Mengikut jumhur, hukumnya adalah sunat muakkadah bagi yang mampu.

Sementara Imam Abu Hanifah pula menyatakan hukumnya adalah wajib.

Apa yang pasti, tujuan utama menunaikan ibadah qurban bukannya semata-mata untuk mempersembahkan darah atau daging haiwan sembelihan tersebut kepada Allah, akan tetapi untuk umat Islam mengejar ketaqwaan di sisi-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 37:

"Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."

8. Wujudkan Rasa Kebersamaan Antara Orang Yang Pergi Haji Dengan Yang Tidak Pergi Haji

Orang yang menunaikan ibadah qurban sebenarnya turut menyertai pesta ibadah haji. Dengan sebab itulah ada beberapa larangan kepada para hujjaj yang turut dikongsi sama dengan mereka yang berniat untuk menunaikan ibadah qurban, seperti larangan bercukur dan memotong kuku kepada para hujjaj yang sedang berihram yang turut sama dikongsi larangan tersebut kepada umat Islam yang bukan menunaikan haji tetapi ingin melaksanakan ibadah qurban. Sabda nabi Muhammad seperti di dalam riwayat Muslim:

"Sekiranya masuk sepuluh hari Zulhijjah, dan antara kamu ada yang ingin menyembelih kurban, maka janganlah menggunting/cukur rambut atau memotong kukunya (sehinggalah haiwan tersebut disembelih)."

Selain itu, ketika para hujjaj mengulangi talbiah sebagai simbolik kejayaan mereka menyahut seruan Allah dan juga mengagungkanNya, umat Islam yang lain di seluruh dunia turut digalakkan mengulangi takbir sehinggalah ke hari terakhir haji pada 13 Zulhijjah. Justeru, wujudlah rasa kebersamaan.

Kesimpulan

1. Marilah kita bersama-sama menyediakan persiapan perasaan untuk menyambut ketibaan Zulhijjah dengan penuh rasa rindu dan bersyukur. Malam ini, telah masuk bulan Zulhijjah, maka rebutlah peluang yang ditawarkan oleh Allah kepada kita sepanjang 10 hari pertamanya.

2. Bagi yang masih belum mampu pergi haji, jadikanlah ketibaan Zulhijjah sebagai penanam azam dan tekad kita mengejar kemampuan melunaskan rukun Islam kelima tersebut.

3. Bagi muslim yang tidak pergi haji pada musim ini, wujudkanlah rasa kebersamaan dengan rakan-rakan jemaah haji. Selain seperti yang disebut di atas, anda boleh turut menonton siaran langsung daripada Islam Channel para hujjaj melaksanakan ibadah agung tersebut. Suatu masa dahulu, ramai salafussoleh yang tidak mampu ke Mekkah akan berhimpun di al-Masjid al-Aqsa atau di masjid tempatan mereka semasa hari wuquf, sambil berzikir mengingati Allah SWT. Siaran televisyen tempatan di Malaysia juga banyak memaparkan mengenai liputan dan dokumentari haji, tontonilah, agar timbul rasa rindu, keinginan dan kesedaran untuk menyambut seruan Ilahi.

- Artikel iluvislam.com