Sunday, January 9, 2011

Kelab Pelbagai Kaum Promosi Perpaduan



Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye hari ini mencadangkan penubuhan kelab dengan keanggotaan pelbagai
kaum, sebagai satu kaedah mempromosikan perpaduan dalam masyarakat Malaysia.

Beliau berkata dengan cara itu, interaksi antara kaum dapat dipertingkatkan sekali gus memupuk persefahaman di antara satu sama lain.

"Bagi mereka yang ingin mendaftar sesebuah pertubuhan baru, penglibatan semua kaum lain amat digalakkan di dalam organisasi mereka mengikut kepada kedudukan yang munasabah," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Selain itu, Lee turut mencadangkan pengstrukturan pusat asuhan, sekolah rendah dan menengah serta institusi pengajian tinggi bagi menggalakkan interaksi sesama masyarakat dan pelajar di samping menangani isu polarisasi.

"Generasi muda yang dibesarkan dalam satu-satu kumpulan kaum akan lebih cenderung untuk bergaul sesama kaum dan bangsanya sendiri," katanya.

Beliau berkata usaha agresif untuk meningkatkan perpaduan nasional perlu diperbanyakkan kerana hubungan erat antara kaum merupakan satu proses berterusan yang harus diberi keutamaan.

Tanggungjawab itu katanya, tidak terletak pada kerajaan sahaja tetapi juga sektor swasta yang harus memainkan peranan daripada segi sumbangan korporat dan tugas kebajikan.

"Setiap lapisan masyarakat haruslah menyumbang ke arah keharmonian dan perpaduan serta meningkatkan usaha ke arah mempromosi satu budaya yang aman, harmoni dan bersatu-padu.

"Justeru, kumpulan syarikat juga harus menyumbang ke arah mengetengahkan keharmonian kaum dan menyatukan pelbagai kaum, mempromosikan pemahaman serta menghargai antara satu sama lain menerusi organisasi ilmu sivik, kebudayaan dan
aktiviti kesukanan," katanya.

- Kuala Lumpur, 9 Januari 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

No comments:

Post a Comment