Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Wednesday, January 19, 2011
Tun Mahathir Lancarkan Viva Palestina Palestina
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akanmelancarkan Viva Palestina Malaysia (VPM), sebuah pertubuhan amal bertujuan mencari tindakan segera, resolusi saksama dan mampan berhubung konflik di Palestin, pada jamuan makan malam yang akan diadakan Sabtu ini.
Dr Mahathir berkata beliau bersetuju untuk melancarkan majlis itu kerana beliau menyokong sesiapa sahaja yang memperjuangkan kesusahan rakyat Palestin terutamanya di Gaza.
VPM (http://www.vivapalestina-my.org), ditubuhkan ketika kemuncak kepungan Israel terhadap Gaza pada Disember 2008, merupakan gabungan NGO Malaysia, tanpa mengira perkauman, agama dan pendirian politik.
Viva Palestina diasaskan oleh George Galloway, bekas Anggota Parlimen Britain yang terkenal dengan kempennya yang penuh bersemangat untuk membantu rakyat Palestin berikutan konflik Palestin-Israel.
"Saya menyokong sesiapa sahaja yang mahu membantu rakyat Palestin," kata Dr Mahathir dan menambah, inisiatif itu juga sehaluan dengan perjuangan Pertubuhan Keamanan Sedunia Perdana (PGPO). PGPO ditubuhkan oleh Dr Mahathir untuk memulakan usaha serius, aktif dan perjuangan menentang perang serta untuk keamanan.
Ditanya pandangannya mengenai bagaimana konflik Palestin-Israel yang berlarutan itu boleh diselesaikan, Dr Mahathir berkata ia adalah sangat sukar jika Amerika Syarikat hanya menyokong Israel.
Katanya walaupun bilangan orang Yahudi hanya 10 juta di Amerika Syarikat, tetapi pelobi Yahudi adalah sangat berpengaruh dalam kerajaan, politik dan media.
Pada majlis itu, Lauren Booth, seorang penyiar, wartawan, aktivis hak asasi manusia dan adik ipar kepada bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair akan menyampaikan ucapan sempena majlis pelancaran itu di Hotel Mandarin Oriental bermula 8 malam.
Booth dianggap sebagai bersuara lantang demi perjuangan rakyat Palestin dan telah menggambarkan situasi di Gaza sebagai 'satu krisis kemanusiaan amat besar' dan tempat itu sebagai 'kem tumpuan terbesar di dunia hari ini'.
Penyelaras media dan publisiti VPM, Noraini Hashim berkata VPM bekerjasama dengan NGO antarabangsa dan telah menyertai konvoi melalui jalan darat, 'A Global Lifeline to Gaza', untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dan untuk menarik perhatian dunia bahawa Gaza masih lagi sepenuhnya di bawah sekatan Israel.
Beliau berkata sukarelawan VPM telah menyaksikan sendiri kesan akibatkemusnahan dan kerosakan besar yang menimpa Gaza dan rakyatnya hidup dalam penderitaan akibat kemusnahan itu.
Dalam usaha membantu mengurangkan penderitaan itu, Noraini berkata VPM akan menanggung sejumlah projek di Gaza untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu menyediakan manfaat jangka panjang mampan.
Pada majlis pelancaran VPM, beliau berkata lagu rasmi VPM akan dinyanyikan oleh Dina (naib johan musim pertama Malaysian Idol) diiringi anggota VPM dan anak-anak mereka. Lagu itu dicipta oleh pemenang Anugerah Industri Muzik (AIM) Johan Nawawi dan muziknya disusun oleh komposer terkenal, Mac Chew.
Majlis itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh penyanyi rap dari Jepun dan Dabka (tarian tradisional Palestin) oleh pelajar Palestin yang berada di Malaysia. Noraini berkata VPM sangat mengalu-alukan sumbangan dari golongan korporat dan individu untuk membantu warga Palestin dengan membeli kerusi untuk jamuan amal itu atau membeli iklan dalam buku cenderamata.
Majlis penyampaian cek akan diadakan untuk penderma yang menyumbang lebih RM50,000.
Untuk butiran lanjut mengenai majlis amal itu boleh hubungi Azra Banu di talian 016-2094500 atau Norma Hashim di talian 012-2221222
- Kuala Lumpur : Januari 2011
Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment