Sunday, January 9, 2011

Gejala Rasuah Kian Membarah


Era digital ini menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang begitu rancak. Namun dalam usaha menuju era globalisasi dunia tanpa sempadan, Malaysia terpaksa bersemuka dengan satu penyakit sosial yang agak kritikal sehingga boleh meranapkan peradaban bangsa kita, iaitu rasuah. Kita singkap laporan rasuah oleh Transparency International 2010 melaporkan bahawa Malaysia masih lagi berada di tangga 56 pada Indeks Persepsi Rasuah.

Walaupun isu ini hangat diperkatakan, pernahkah terlintas dalam benak fikiran anda apakah maksud "rasuah"? Perkataan rasuah berasal daripada perkataan arab yang berbunyi al-risywah. Dalam Al-Quran juga digolongkan dalam kata umum batil iaitu meliputi juga perbuatan jenayah yang lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu.

Terdapat beberapa definisi lain yang diberikan oleh beberapa pihak yang pakar dalam bidang ini. Dalam kamus Concise Law Dictionary, PG Osbome memberi definisi "bribery and corruption" sebagai perbuatan "giving or offering any reward to any person to influence his conduct; or receipt of such reward". Manakala John B Saunders pula dalam kamus Mozley and Whiteley's Law memberikan definisi "the taking and giving money for the performance or non-performance of a public duty."

Dalam ruang lingkup di biosfera ini, rasuah adalah wabak penyakit dan jenayah yang telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat di semua tempat. Tidak ada negara yang boleh mendakwa dirinya bebas dari rasuah, cuma yang boleh membezakan pada tempoh satu-satu masa hanyalah dari segi keseriusan jenayah rasuah yang berlaku.

Menurut Badan Pemerhati Rasuah Antarabangsa menunjukkan indeks rasuah di negara ini juga membengkak setiap tahun. Barah penyakit sosial ini kian parah umpama tumor yang tumbuh tanpa rawatan rapi. Apa yang menakutkan dan membimbangkan kita ialah jika keadaan amalan jenayah rasuah ini terus meningkat, maka amat dikhuatiri akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan negara kita.

Menurut statistik yang telah dilaporkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebanyak 500 tangkapan telah dibuat keatas kesalahan jenayah rasuah. Daripada jumlah ini didapati 191 orang atau sebanyak 38.2 peratus adalah penjawat awam dan seramai 180 orang atau 38 peratus adalah orang awam.

Manakala selebihnya ialah ahli-ahli politik, anggota pentadbiran, kakitangan swasta dan lain-lain. Statistik ini merupakan statistik daripada penangkapan oleh SPRM. Bagaimana pula dengan kesalahan yang tidak dapat dikesan oleh SPRM? Semestinya menjangkau lebih jauh daripada statistik yang dilaporkan. Persoalan besar timbul ialah mengapa amalan najis rasuah berlaku?

Berdasarkan pemerhatian dan hemat penulis, faktor yang terbesar menyebabkan berlakunya gelaja ini ialah seseorang itu bernafsu besar dalam mengejar sesuatu yang diingini tetapi kewangan hanyalah kecil, sikap yang ingin bermewah-mewah, tidak sabar hendak mengalahkan kekayaan Robert Kuok (Orang terkaya Malaysia), mereka mempunyai keyakinan melampau batas sehingga yakin diri mereka tidak akan diambil tindakan undang-undang ataupun diketahui oleh pihak berkuasa.

Gejala rasuah yang kian membengkak ini sebenarnya merugikan banyak dana dulang emas negara yang kaya ini. Berdasarkan penyataan dariapada Morgan Stanley pada tahun 2004, beliau menganggarkan bahawa rasuah dalam tempoh dua dekad dari pertengahan tahun 1980-an telah mengakibatkan kerugian kepada negara melebihi AS$100 billion. Analisa di atas tadi menyatakan bahawa rasuah meningkat saban tahun.

Bagaimana kalau tempoh rasuah dalam jangka masa dekad tersebut bermula dari tahun 1990? Sudah tentu jawapan yang kita dengar agak sumbang namun itulah realiti yang kita harus terima. Malah Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) pada tahun 2008 menganggarkan sebanyak RM10 billion hilang daripada pertumbuhan Negara kasar kerana rasuah. Jelas sekali pembaca sekalian, perasuah ialah pengkhianat negara.

Pengamal, penyalahguna dan mereka yang bersubahat dengan rasuah adalah pengkhianat negara. Pembahagian hasil negara hanya tertumpu kepada orang yang tertentu sahaja dan menaikkan inflasi negara sekali gus menyebabkan ekonomi negara "pumping". Dengan demikian, golongan yang paling malang dan rugi ialah golongan petani, penoreh getah, penarik beca dan kumpulan yang dhaif yang lain yang tidak mengerti apa-apa tentang pengurusan harta negara dan berasa tertekan akibat kenaikan harga barangan disebabkan oleh ekonomi negara yang tidak menentu.

Apa yang nyata, kadar celik huruf dan celik akal dalam kalangan rakyat negara ini semakin tinggi tetapi mereka yang terlibat gagal membuat penilaian dengan waras tentang isu-isu rasuah di negara ini. Oleh itu, kita semua hendaklah berusaha memerangi jenayah rasuah egara kita ini secara serius demi melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan mahupun swasta.

Bertitik tolak dari situ, kita tidak dapat menafikan usaha pihak kerajaan dalam pembasmian rasuah. Dalam pelan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mempunyai enam NKRA yang telah diputuskan oleh kabinet dan salah satu daripada enam NKRA tersebut ialah membenteras jenayah. Apa yang penulis ingin persoalkan ialah adakah pihak tersebut serius dalam menangani gejala rasuah tersebut berdasarkan kelemahan yang banyak dalam pelaksanaan pembasmian rasuah tersebut.

Persepsi mengenai amalan rasuah di Malaysia telah meningkat dan menyebabkan kedudukan Malaysia dalam Persepsi Rasuah (CPI) di bawah Transparency International telah menurun daripada tempat 23 tahun 1995 kepada 56 pada tahun 2010. Pada tahun ini Malaysia hanya tersangkut di tangga ke 56 berbanding tahun lalu namun CPI berkurangan daripada 4.5 kepada 4.4 sedangkan sasaran di peringkat NKRA adalah untuk meningkatkan skor CPI daripada 4.5 kepada 4.9.

Secara tuntasnya, langkah untuk mengatasi endemik ini harus diteliti dan pantau oleh semua pihak dengan efektif. Perubahan paradigma masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku terlebih dahulu jika masalah ini hendak diatasi ke akar umbinya. Sikap tidak endah dalam mengatasi masalah ini menyebabkan negara kita ketinggalan atau 'lagging' kebelakang negara maju yang lain. Mungkin konsep mencegah lebih baik daripada mengubati amat berkesan bagi memastikan rasuah terus dikuburkan dan ditalqinkan ditempat yang sepatutnya.

Penulis mengajak dan merayu kepada pembaca sekalian agar memerangi gejala yang menjadi barah dalam daging ini kerana kita tidak dapat memberikan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak kerajaan secara total. Ianya bermula daripada individu itu sendiri. Akhir kalam, semoga penulisan secara tidak lansung memberikan sedikit suntikan baru buat kita untuk mengelak diri dari gejala tidak sihat rasuah ini dan berusaha membenterasnya. Jika kita lihat dari segi statistik rasuah, jelas terpapar menunjukkan bahawa kadar rasuah di negara-negara maju adalah rendah. Kita perlu renung dan berfikir dari pelbagai sudut. Jika ingin menjadi sebuah negara yang maju, rasuah perlu dihapuskan.

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment