Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Sunday, January 16, 2011
Air Mata Keinsafan
Seusai Solat Maghrib berjemaah, Iman terus mencapai Al-Quran dan Terjemahan hadiah dari seorang temannya. Lafaz kesyukuran diungkap perlahan kerana masih ada insan-insan yang sudi berhimpun untuk mengabdikan diri padaNya. Sue, Rina, dan Yasmin antara insan yang setia berhalaqah di tengah-tengah ruang 'bilik study' itu sambil menunggu kedatangannya untuk memulakan sessi tazkirah.
" Hari ni akak bacakan tafsir surah Al-Syarh ye. "
" Ha...cuba Sue perhatikan ayat 5 dan 6. Kenapa Allah SWT ulang ayat sesungguhnya setiap kesusahan ada kesenangan sebanyak dua kali? "
" Hurm..kenapa ye akak? Sue tak pasti la. "
" Cuba gabungkan dua ayat tadi. Sebenarnya di sebalik ayat itu, nak jelaskan kat kita bahawa setiap kesusahan ada kesenangan dan setiap kesenangan pasti diuji dengan kesusahan. "
" Owh..faham..faham. Maknanya kita tak boleh mengeluh la bila ditimpa kesusahan.. Iye Kak Iman? "
" Ha'ah Min, dan kita juga tak boleh terlalu gembira dengan kesenangan sebab di celah-celah kesenangan, ada kesusahan yang menanti . "
Iman meneruskan penerangan tentang ayat-ayat di dalam surah itu.
***
Selepas sessi tazkirah.
" Kak Iman, malam ni betul ke Madam Suzila nak buat sport check? "
" Ha'ah..insya Allah. Akak dengar-dengar macam tu la. "
" Nasib baik kita tergolong dalam golongan sami'na wa ato'na kan kak? Tak payah susah-susah. "
" Betul tu Sue, tak payah susah payah kita nak sembunyikan barang terlarang. "
Tergelak kecil Iman mendengar istilah yang selalu mereka gunakan untuk golongan yang selalu mengikut peraturan itu.
Sami'na wa ato'na atau dalam Bahasa Melayu bermaksud kami mendengar dan kami mengikut.
" Malam ni tentu ramai la Sister yang macam cacing kepanasan kan. "
" Ada-ada je Rina ni kan. Biar lah diorang dengan cara diorang. Semua dah besar, boleh fikir mana yang baik, mana yang buruk. Eh, dah azan Isya' tu. Jom solat! "
***
Di dalam bilik.
" Aish..pelik semacam je si Fiqa ni. Tak pernah aku tengok dia macam ni. "
Iman bermonolog sendiri tatkala melihat Afiqa, ahli biliknya yang tekun mengaji sewaktu dia masuk ke dalam bilik untuk menyimpan telekung sembahyang.
" Hurm..Husnuzon. Mungkin dia dah dapat hidayah Allah SWT. Alhamdulillah. Patutnya aku bersyukur, bukannya fikir bukan-bukan." Iman menyalahkan dirinya.
" Woi Fiqa.. lama mana lagi ko nak berlakon tu..? Aku tengok dari tadi kau asyik pegang je Al-Quran tu. Bukannya nak baca pun! " Zira di atas katil menegur.
" Eh, kau diam sikit boleh tak. Kalau Kak Iman dengar, habislah aku. Aku tengah sabar la ni. Madam belum datang lagi. Macam mana aku nak berhenti berlakon ? "
" Hahaha..padan muka ko. Tu la, ambil lagi risiko. "
***
5 minit selepas itu.
" Assalamualaikum. Boleh Madam masuk?
" Waalaikumussalam. Eh, Madam..masuk la. "
Lantas Iman, Rina, Yasmin, Sue dan Zira mendapatkan Madam untuk menyalami beliau sebagai tanda hormat.
" Bagus ye bilik ni, bersih je. Boleh Madam nak buat checking? "
" Boleh madam, silakan. "
Rina selaku Mushrifah bertindak mengiringi Madam suzila.
" Awak nama apa? Boleh tanggalkan telekung tak? "
" Er..er...er...kejap ye Madam. "
Muka Fiqa mula berubah. Dia tidak menyangka taktiknya tidak berjaya.
" Sis Afiqa..sini kejap. Boleh Madam bincang dengan kamu? "
Yasmin dan Sue tersengih-sengih melihat Fiqa kantoi di tangan Madam.
" Masya Allah. Patutla aku tengok dia khusyuk sangat baca Al-Quran sambil pakai telekung sembahyang. Nak sembunyikan rambut karat dia dari Madam rupanya. " Iman mengeleng kepala.
Hatinya sedih sekali. Dia rasa terpukul dengan pebuatan Afiqa tadi. Seolah-olah menghina kemuliaan Al-Quran dan solat. Sebelum ini, sudah beberapa kali dia cuba menasihati Afiqa atas perbuatannya itu tetapi nasihatnya itu ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Hati Afiqa mungkin masih keras untuk menerima nasihat orang ataupun egonya diletakkan ditahap yang paling tinggi.
Iman merasakan dia masih kekurangan cara untuk menjadi seorang Da'ie. Tetapi melihatkan perbuatan Afiqa tadi hatinya tercalar. Bukan kerana kepentingan diri sendiri tapi dia terguris dengan perbuatan Fiqa yang menggunakan kesuciaan Al-Quran dan memakai telekung untuk menutup kesalahannya itu daripada pandangan mata seorang manusia biasa.
Dari jauh, dilihat Fiqa sedang menangis. Mereka tidak mahu mendengar butir bicara antara Fiqa dan Madam Suzila. Kemudian Madam keluar daripada bilik mereka. Iman menggunakan saat itu untuk membimbing teman sebiliknya itu.
" Fiqa, boleh akak duduk sini? " Iman cuba menyapa lembut.
Fiqa hanya mampu mengangguk sambil menyapu kesan air mata yang membasahi pipinya itu.
" Boleh akak tau kenapa Fiqa warnakan rambut? Sebenarnyakan, sejujurnya akak cakap, akak nampak Fiqa lagi cantik dalam keadaan natural. "
" Fiqa terpengaruh kak. Kawan-kawan Fiqa kat luar semua macam ni. Keluarga Fiqa sendiri pun macam ni jugak. Macam mana Fiqa nak jadi baik. "
Afiqa menjawab perlahan tetapi Iman dapat merasakan nada penyesalan yang lahir dari sekeping hati yang suci milik Nurul Afiqa itu.
" Ok..akak faham keadaan Fiqa. Sebenarnyakan Fiqa, Fiqa kena bersyukur datang sini tau. Kalau Fiqa tak ditegur hari ni mungkin Fiqa masih lagi khayal dengan dunia luar yang penuh pancaroba tu. "
" Terima kasih kak. Tak tahu kenapa sekarang Fiqa rasa tenang sangat. Fiqa tau, Fiqa dah buat salah dan memang Fiqa menyesal sangat-sangat dengan perbuatan-perbuatan Fiqa dulu. Minta maaf ye Kak Iman sebab Fiqa tak pernah dengar teguran akak dan Kak Rina selama ni. "
" Takpe. Setiap yang Allah SWT tetapkan ke atas kita pasti ada hikmah. Yang penting, setiap penyesalan kita mesti diikuti dengan perbuatan kita yang baik, berazam dan berubah. Itu yang paling utama. "
" Insya Allah Kak Iman. Akak, tolong Fiqa ye. " Afiqa mula melakarkan senyuman.
" Boleh..boleh.. Insyaallah. Akak akan tolong sedaya mampu. Lagi satu, Fiqa kena ingat. Selagi kita tak lupakan Allah SWT insyaallah, Dia takkan lupakan kita. Semakin kita ditimpa ujian yang kadang-kadang membuatkan kita terduduk kaku,hati merintih hiba, itu tandanya kasih sayang Dia semakin kuat untuk kita. Lagipun Allah SWT telah berfirman bahawa Dia tidak akan membebani hambaNya melainkan apa yang termampu dipikul oleh hambaNya itu. "
" Terima kasih sangat-sangat Kak Iman sebab masih tolong Fiqa walaupun Fiqa dah buat macam-macam dalam bilik ni. "
Lantas dipeluknya Iman dengan erat. Setulus ikatan seorang muslim terhadap saudaranya.
***
5.45 am. Iman masih lagi berteleku disamping Al-Quran kesayanganya itu. Dia menunggu kedatangan ahli biliknya yang lain untuk mengimarahkan lagi suasana bilik mereka.
Derap langkah di belakangnya itu semakin hampir. Yasmin barangkali. Fikir Iman di dalam hatinya.
Dia duduk menyebelahi Iman selepas sejadah dihampar halus.
" Akak, nak solat sekali boleh? " Sapa Fiqa.
Terkejut Iman melihat kehadiran Fiqa disisinya.
" Eh..apa pulak tak bolehnya. Kita tunggu yang lain-lain sekejap ye. "
Afiqa mengangguk sambil tersenyum. Hati Iman berbunga ceria.
" Ya Allah, mudahnya Kau bukakan hatinya. Sesungguhnya Engkau Maha Penyayang terhadap hamba-hambaMu ini. Tetapkan hati-hati kami di atas jalan yang lurus ini. Janganlah Kau pesongkan hati-hati suci ini sesudah hidayahMu mengunjungi. Amin. "
Hati kecil Iman tersenyum lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment