Thursday, January 20, 2011

Bagaimana Bertawakkal Dalam Ibadah?


Bila kita sebut mengenai tawakal, pasti kita akan terbayangkan musibah dan ujian. Begitu juga tawakal dalam urusan keduniaan seperti mencari rezeki, menghadapi peperiksaan dan sebagainya. Saya juga berfikiran sebegitu sebelum ini sehinggalah saya membaca satu tulisan Ibn Taimiyah rahimahullah

Dalam Majmu' al-Fataawa yang menyebut bahawa mereka yang menyangka bahawa tawakal itu hanyalah untuk menuntut bahagian keduniaan adalah satu sangkaan yang salah!

Bahkan tawakal dalam urusan ibadah adalah lebih utama [Lihat : Majmu' al-Fataawa, jilid 5, bahagian 10, hlmn. 16]. Lepas membaca tulisan beliau, saya terfikir-fikir bagaimana nak memahamkan apa yang dimaksudkan dengan tawakal dalam urusan ibadah.

Alhamdulillah, dengan petunjuk dari Allah, akhirnya saya memahami maksud statement tersebut apabila membaca apa yang ditulis oleh Ibn Rajab rahimahullah dalam Jami' al-'Ulum wa al-Hikam mengenai tawakal.

Apabila kita melakukan satu ketaatan kepada Allah, tidak kiralah samada solat, puasa, zikir, membaca al-Quran, haji, umrah dan sebagainya, kita sering mengharapkan pahala daripada Allah atas amalan kita. Kita bertungkus-lumus melakukan ketaatan kerana inginkan syurga. Tetapi kadang-kadang kita terlupa untuk bertawakal kepada Allah; iaitu kita lupa untuk menyerahkan urusan ibadah kita kepada Allah.

Kita merasakan bahawa ibadah kita semata-mata mampu membawa kita ke syurga, sedangkan kita tidak sedar bahawa melaksanakan ibadah itu adalah satu sebab untuk kita masuk ke syurga dan selamat dari api neraka. Tetapi Allah jualah penentu segalanya!

Tetapi ini tidaklah pula bermakna kita bersahaja dalam melakukan ibadah dan mengharapkan rahmat Allah semata-mata. Ambillah sebab (ibadah) dan bersungguh-sungguhlah kerana ia merupakan satu kewajipan yang diperintahkah oleh Allah.

Disebut dalam satu hadis :

'Orang yang bijak itu ialah orang yang sentiasa berusaha (supaya menjadi seorang yang taat dan patuh) dan beramal untuk apa yang akan berlaku selepas mati manakala orang yang malas (berusaha) pula ialah orang yang mengikut hawa nafsunya dan berharap agar Allah akan mengampunkannya"

[Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Majah, al-Baihaqi, al-Tabarani dan al-Hakim]

Al-Tirmizi berkata hadis ini hasan. Al-Hakim : Hadis ini sahih atas syarat al-Bukhari tetapi al-Zahabi mengatakan bahawa hadis ini bukan atas syarat al-Bukhari, dan Abu Bakar (salah seorang perawi hadis) adalah waahiin]

Sama juga apabila kita sakit. Kita berusaha mencari ubat untuk mengubati sakit kita, sedangkan ubat hanya sebab. Allah jualah penyembuh setiap sakit.

Allah Ta'ala berfirman dalam Surah Hud ayat 123 yang bermaksud :

"Oleh itu, sembahlah Dia serta berserahlah kepadaNya."

Nabi shallallahu 'alayhi wa sallam juga ada bersabda : '

Sesungguhnya amalan seseorang itu tidak akan dapat menyelamatkannya', mereka (para sahabat) berkata : Walaupun tuan wahai Rasulullah? Baginda shallallahu 'alayhi wa sallam menjawab : 'Walaupun aku, kecuali mereka yang mendapat rahmat dari Allah...'

[Diriwayatkan oleh al-Bukhari (6098) dan Muslim 2816)].

Laksanakanlah ibadah denganbersungguh-sungguh dan bertawakallah kepada Allah sepenuh jiwa. Semoga Allah mengurniakan Syurga buat kita semua.

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment