Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Saturday, January 8, 2011
Khalifah Allah Di Malaysia Dibuang Setiap Hari
Seorang bayi perempuan ditemui dalam sebuah beg pakaian di tepi jalan di KM7, Lebuhraya Silk dekat Semenyih hari ini.
Turut ditinggalkan bersama bayi cukup sifat itu di dalam beg berkenaan ialah kain dan lampin pakai buang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Azman Ayob ketika dihubungi hari ini berkata bayi itu ditemui oleh seorang peronda lebuh raya berkenaan kira-kira pukul 9.50 pagi.
"Peronda itu yang sedang bertugas pada mulanya ternampak sebuah beg berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan dan bertindak mendekati beg itu sebelum terdengar tangisan bayi.
"Beliau kemudiannya membuka beg itu dan menemui seorang bayi perempuan di dalamnya, lalu menghubungi polis," katanya.
Beliau berkata bayi berkenaan dipercayai baru dibuang di lokasi itu dan berdasarkan keadaan tali pusatnya, bayi itu dipercayai baru dilahirkan kira-kira tiga hari lepas.
"Bayi itu dibawa ke Hopital Kajang untuk pemeriksaan dan polis kini mengesan individu yang bertanggungjawab," katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
- Kuala Lumpur, 7 Januari 2011
Seorang bayi perempuan ditemui masih hidup di dalam kotak yang diletakkan di hadapan sebuah premis kosong di Taman Sentosa,
Klang hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Muhamad Md. Yusof berkata pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira pukul 5.30 petang daripada seorang lelaki tempatan sebelum bergegas ke tempat kejadian.
Bayi yang dianggarkan berusia antara empat hingga lima bulan itu ditemui di dalam kotak itu lengkap berpakaian tetapi tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya, katanya ketika dihubungi.
"Bayi yang ditemui itu juga tidak mempunyai parut suntikan BCG dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Muhamad berkata bayi malang itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk diberi rawatan susulan sementara polis membuat siasatan lanjut mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, beliau berkata bayi berkenaan dipercayai mengalami masalah kesihatan apabila didapati kepalanya berair dan pihak hospital akan membuat pemeriksaan lanjut.
- Shah Alam, 7 Januari 2011
Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.
Fikirkan
Setiap bayi yang dilahirkan adalah khalifah Allah di muka bumi. Bayi itu suci dan semuanya berpotensi untuk menjadi manusia yang luar biasa. Tetapi oleh kerana kita yang rakus dengan dunia dan terlalu mengikut kehendak hawa nafsu yang tidak pernah puas, kita sanggup membuang khalifah Allah SWT di dalam tong sampah dan di sungai. Insaflah manusia. Sesungguhnya dirimu begitu berharga.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment