Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Monday, January 17, 2011
Keranda Untuk Ayah
Di suatu ceruk kampung, tinggal seorang tua bersama keluarga anak lelakinya. Si ayah tua ini tidak nyanyuk walaupun sudah tua. Cuma kudrat tuanya tidak lagi mengizinkan ia bekerja seperti dulu. Ketika muda dahulu, si ayah yang tua ini tanpa mengira lelah, membanting tulang empat kerat mengerjakan sawah dan kebun, demi sesuap nasi untuk keluarganya.
Itu dulu.
Kini ia sudah berumur 97 tahun. Isterinya sudah meninggal 25 tahun yang lalu. Sejak 15 tahun lepas, ia tidak lagi bekerja. Ia hanya duduk di pangkin di luar rumah, memerhati satu-satunya anak lelaki bekerja di sawah. Di situlah tempatnya melalui hari-hari, merindui kudrat lama, merindui arwah isterinya, merindui masa-masa lalu ketika anaknya masih kecil...
**********************************
"Ayah! Amin nak main benda ni, ayah tarik Amin ye!" Laung Amin, sambil jari menunjuk upih kelapa di depannya.
"Boleh...kejap ya. Ayah nak tebas semak ini dulu. Semak tebal ni bahaya. Nanti ayah tarik Amin ya," jawab si ayah, penuh kasih sayang.
"Alaa..Amin nak main sekarang. Cepatlah ayah! Cepatlah!" pujuk Amin yang berusia 11 tahun sambil menhentak-hentak kakinya.
Si ayah faham benar dengan perangai anak lelakinya itu, "nanti muncung lah tu, sehari tak mahu makan nanti," bisik si ayah di dalam hati.
"Ok, ok. Amin duduk, ayah tarik."
"Yeay! Ayah tarik laju-laju tau," gembira benar bila hajatnya dituruti. "Laju lagi! Laju lagi! Ayah tarik Amin turun cerun kat sana ye, mesti lagi laju nanti," arah Amin, sambil jarinya menunjuk ke hujung hutan.
"Ya Allah!" Jerit si ayah, ia merasakan kakinya terpijak sesuatu. Duri, barangkali. Atau kaca.
"Alaa..kenapa ayah berhenti ni? Amin belum puas lagi. Tariklah lagi."
Tanpa menghiraukan luka dan darah pada kakinya, si ayah ini terus menarik upih kelapa yang dinaiki anaknya, sehingga Amin lapar dan mengajak pulang untuk makan.
**********************************
Sesekali Amin melirih kepada ayahnya yang berada di atas pangkin, "tahu berehat saja si tua ni, pemalas betul. Aku penat-penat bekerja, dia tahu makan saja," ngomel si anak. Geram benar ia melihat ayahnya duduk tidak berbuat apa-apa, selain makan.
Suatu hari, kerana tidak tahan lagi dengan si ayah, yang dianggap menyusahkan keluarganya, kebetulan pula musim kemarau dan kekurangan makanan, Amin membuat satu keranda kayu untuk ayahnya.
"Ayah! Masuk dalam ni," tanpa berkata apa-apa, si ayah masuk ke dalam keranda.
Amin menarik keranda ke hujung hutan. Di sana ada sebuag cerun tinggi, fikirnya cerun itu sesuai untuk di membuang keranda berisi ayahnya itu, supaya si ayah tidak lagi menyusahkan ia dan keluarganya.
Sampai di cerun, sebelum sempat Amin menolak keranda itu, dia terdengar ketukan dari dalam keranda.
"Hidup lagi rupanya," bisiknya di dalam hati, dan membuka keranda. "Hah, ayah nak apa lagi?"
"Ayah tahu Amin nak buang ayah dari cerun ini. Amin nak buang ayah, Amin buang lah. Tapi Amin janganlah buang keranda cantik yang Amin buatkan ini. Mungkin anak Amin perlukan keranda ini nanti"
- Artikel iluvislam.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment