Wednesday, January 19, 2011

Sensitiviti Foto Di Laman Sosial


Bagaimana agaknya perasaan seorang lelaki seandainya dia tahu bahawa gambarnya sedang diamati dan dilihat orang asing. Mungkin tiada apa-apa kesan kepada individu tersebut. Baginya normal untuk seseorang melihat wajahnya. Malah mungkin timbul rasa bangga dengan ke-macho-an dirinya yang dilihat orang lain. Lagi bertambah suka di hati jika yang melakukannya ialah secret admire.
Tapi bagaimana kalau posisi lelaki tersebut ditukar kepada wanita. Bukan sebarang wanita tetapi seorang muslimah pula. Jika dahulu, foto kita hanya dimiliki oleh diri sendiri sahaja tetapi sekarang dengan kemunculan laman sosial, segalanya menjadi amat mudah. Hanya tekan butang upload dan gambar itu akan terpapar di sesawang internet seluruh dunia.

Jika diperhatikan, banyak kebaikan yang hadir dengan kemajuan teknologi dalam photo sharing yang boleh dimanfaatkan bersama tetapi rasanya, cuba kita singkap keburukan dan kelemahannya pula.

Seandainya kita melayari laman sesawang yang menawarkan khidmat group, pasti akan terlihat pelbagai jenis foto manusia yang tidak pernah sekali pun bersua. Apatah lagi, sekiranya foto itu telah dibedah dengan Photoshop. Kadang kala, gambar yang peli-pelik pun ada. Usah diperkatakan dengan gambar-gambar terlarang. Pernahkah kita membayangkan perasaan orang yang mungkin terlihat foto seorang muslimah (kerana rasanya gambar lelaki tidak menjadi rebutan)? Jika yang baik dan tinggi imannya, akan terus menekan butang close. Tapi yang kurang imannya pula bagaimana?

Ramai rakan-rakan kita yang memiliki Facebook pastinya akan dan ingin berkongsi saat-saat manis mereka. Jika tiada, kenalannya pula akan tag gambar beliau. Timbul rasa musykil bila melihat gambar-gambar ini. Selamatkah? Tidak mengapakah kalau orang tengok? Aku tengah tidak pakai tudung waktu ini, orang lain tangkap gambar. Yang lelaki juga tidak terlepas dosa memperlihatkan auratnya secara global.

Pasti timbul pelbagai syubhah di hati kerana tahu ianya salah tapi ingin juga dibenarkannya. Akhirnya, satu hari, kita lihat gambar kita yang telah di-edit terpampang di laman-laman yang tidak sepatutnya. Ditambah dengan nombor telefon yang diletakkan di profile, hidup kita akan "diserikan" dengan panggilan pelik.

Mungkin kes di atas hanya satu dalam sejuta. Tapi kita perlu sedar, kita ialah satu dalam sejuta itu. Maka, beringat-ingatlah seandainya ingin berkongsi foto secara online. Minta kawan remove seandainya gambar yang di-tag itu menyentuh hak peribadi sebagai seorang muslim mahu pun muslimah. Insyaallah, kita akan lebih tenang dalam dunia siber yang semakin meluas hari ini.

- Artikel iluvislam.com

Sumber Grafik: listsoplenty.com

1 comment:

  1. salam. tumpang tanya, ape nama lagu n pnyanyi kat profile awk nih ? dulu kat asram slalu la dgr, tapi skrang haihh ;p
    syukran ya akhi :)

    ReplyDelete