Sunday, January 30, 2011

Moga Matiku Syahid Di Jalan-Mu

Alhamdulillah, malam ini saya berjaya memaksa diri saya untuk menulis sedikit untuk iluvislam walaupun pelbagai kerja lain perlu dibuat dalam usaha memajukan iluvislam. Saya yakin jika kita menulis dengan baik, ia mampu membantu manusia lain untuk berubah menjadi seorang hamba Allah yang lebih dekat dengan Islam dan Allah.

Hujung minggu lepas, semasa saya memberikan ceramah motivasi selama 2 hari kepada mahasiswa-mahasiswi Institut Kemahiran Islam Sarawak (IKMAS), Vice President (VP) Event & Training iluvislam.com Wan Mohd Firdaus Wan Yusof memperkenalkan saya dengan sebuah lagu yang menarik. Apabila saya dengar kembali lagu tersebut malam ini, ia sangat menusuk kalbu saya.

Memimpin dan menguruskan hampir 10 orang staf sepenuh masa dan lebih 300 sukarelawan seluruh dunia pastinya penuh dengan cabaran. Namun saya melihat ia sebagai peluang untuk terus memajukan diri dan organisasi.

Alhamdulillah,syukur sebab tak semua orang dapat peluang ini.

Kerja kuat sebagai pemimpin dan pengurus pastinya memerlukan kekuatan dalaman yang sangat tinggi. Saya percaya kekuatan itu hanya dapat diperoleh apabila saya rapat dengan Allah. Jika saya jauh dengan Allah, sukar bagi saya untuk mendapatkan momentum yang besar.

Sebagai seorang peminat muzik terutamanya nasyid, lagu Rabithah nyanyian Izzatul Islam yang diperkenalkan oleh Wan ini sungguh 'inspiring'. Lagu ini mendidik diri saya bahawa saya hanyalah seorang hamba Allah yang lemah dan sentiasa perlukan bimbingan dan pertolongan Allah.

Ia juga mengingatkan saya bahawa iluvislam bukan sahaja sebuah laman web, usaha dakwah, peluang perniagaan dan menguruskan event - tetapi ia lebih daripada itu. Ia adalah sebuah perjuangan. Ya, sebuah perjuangan menyatupadukan umat Islam dan mengajak ummah untuk lebih mengenali Islam, sayang Islam, kenal Allah, dekat dengan Allah dan cintai Allah. Saya dan krew iluvislam bersatu dan berjuang untuk itu.

Jauh dalam lubuk hati saya, jika Allah takdirkan saya mati dalam usaha memajukan iluvislam, saya harap sangat Allah kira mati saya sebagai mati syahid di jalan-Nya.

Saya dan krew-krew iluvislam perlu usaha keras lagi kerana syurga impian kita bukanlah untuk orang-orang biasa. Tempat yang indah, luar biasa hebat dan mewah di dunia sana pastinya hanya layak untuk mereka yang cemerlang membuat persiapan dan menyediakan modal untuk akhirat. Marilah kita sama-sama berusaha!

Semoga perjuangan ini dapat diteruskan oleh anak-anak saya dan anak-anak kalian semua. Yakinlah Islam akan kembali gemilang - dengan izin Allah. Persoalannya, apakah sumbangan kita ke arah itu? Mulakanlah langkah jika hanya masih melihat dari jauh.

Semoga lagu ini mampu menaikkan semangat jihad semua, insyaAllah.

Sesungguhnya Engkau tahu
bahwa hati ini telah berpadu
berhimpun dalam naungan cintaMu
bertemu dalam ketaatan
bersatu dalam perjuangan
menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
kekalkanlah cintanya
tunjukilah jalan-jalannya
terangilah dengan cahayamu
yang tiada pernah padam
Ya Rabbi bimbinglah kami

Lapangkanlah dada kami
dengan karunia iman
dan indahnya tawakal padaMu
hidupkan dengan ma'rifatMu
matikan dalam syahid di jalan Mu
Engkaulah pelindung dan pembela

With luv,
Im Koyube, Presiden iluvislam.com

No comments:

Post a Comment