Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Monday, January 31, 2011
MAIWP Wajar Jadi Model Majlis Agama Islam Lain
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) wajar diangkat sebagai model kepada Majlis Agama Islam negeri lain kerana aktif melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk memanfaatkan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata antara projek yang sedang dibangunkan MAIWP ialah projek Sekolah Menengah Agama MAIWP di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras dan Institut Kemahiran Baitulmal di Jalan Perkasa Taman Maluri.
Selain itu, MAIWP juga sedang menyiapkan projek pengubahsuaian Tingkat 8 dan 9, Hospital Pusrawi di Jalan Tun Razak, mengubahsuai Wisma Baitulmal di Jalan Ipoh dan membina Surau An-Najah Taman Batu Muda, katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek mengubahsuai Hospital Pusrawi di sini hari ini.
"Tahun ini kita fokuskan kepada masjid dan surau. Biar rakyat berpuas hati dengan kemudahan itu dan menggunakannya sebagai tempat ibadat yang selesa.
"Begitu juga dengan sekolah, kita mahu penduduk mendapat pendidikan agama yang setaraf dengan sekolah berasrama penuh yang terdapat di sekitar bandar raya ini dan menjadikan pendidikan agama seimbang dengan pembangunan yang lain," katanya.
Kira-kira RM98 juta diperuntukkan kepada MAIWP untuk melaksanakan projek-projek berkenaan, yang dijangka siap dalam tahun ini.
Jamil Khir yang juga Pengerusi MAIWP mahu menjadikan Institut Profesioanal Baitulmal (IPB) dan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) setanding dengan kolej lain bagi melahirkan modal insan yang boleh menerajui negara pada masa akan datang.
Mengenai Hospital Pusrawi yang dibangunkan MAIW.P, beliau berkata ia juga antara contoh kejayaan MAIWP.
"Hospital ini menyediakan 189 katil dan bercadang menambah 47 katil lagi pada tahun ini bagi memenuhi permintaan rawatan pesakit sejajar dengan penambahan doktor," katanya.
Hospital Pusrawi juga akan menyediakan pusat dialisis yang mampu memberi rawatan kepada 20 pesakit pada satu masa.
- Kuala Lumpur, 31 Januari 2011
Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment