Wednesday, January 19, 2011

Malaysia Mahu Martabatkan Al-Quran


Malaysia mahu memainkan peranan aktif dalam menggerakkan usaha memartabatkan Al-Quran dan ilmu di kalangan umat Islam sejagat, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata ia bertujuan mengembalikan kecemerlangan tamadun Islam kepada umatnya.

"Usaha ini dapat dimulakan dengan berkesan melalui penghayatan Al-Quran yang merupakan sumber ilmu teragung untuk kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat," katanya menerusi ucapan yang disampaikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin pada majlis penutup Program Wakaf Al-Quran peringkat kebangsaan 2010 di sini malam ini.

Program tersebut anjuran Kementerian Pertahanan dan Yayasan Restu dilancarkan sejak 11 Ogos 2010 bertujuan untuk mengedarkan Al-Quran termasuk kepada kaum minoriti Islam di negara seperti Kemboja, China dan Rusia.

"Kita rasa bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana dapat menyediakan naskah Al-Quran yang lengkap dengan terjemahan dalam bahasa ibunda mereka sebagai rujukan dan hidup mereka seharian," kata Ahmad Zahid.

Warga Angkatan Tentera Malaysia bersama masyarakat Malaysia dilaporkan telah berjaya mengumpul dana melebihi RM1 juta bagi membiayai percetakan Al-Quran untuk diwakafkan kepada masyarakat minoriti Islam di negara lain.

- Shah Alam : 19 Januari 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

No comments:

Post a Comment