Thursday, January 13, 2011

ZAHRA MA’SOUMAH Perjuangkan Islam Dengan Cara Sendiri


Kejadian lemas di Tasik Chenderoh, Perak kira-kira 16 tahun lalu masih segar dalam ingatan gadis manis ini. Namun semua itu tidak meninggalkan sedikitpun trauma dalam dirinya. Mengambil iktibar dari peristiwa itu, dia bertekad untuk belajar berenang. Atas dorongan kedua-dua ibu bapanya, hari demi hari disemai rasa 'cinta' terhadap hobi baru itu. Harapannya agar peristiwa hitam tersebut tidak berulang kembali. Tetapi ternyata apa yang diperolehnya pada hari ini lebih dari apa yang pernah terjangkau dek akalnya sendiri.

Kini, renang adalah suatu yang cukup sinonim dengan Zahra Ma'soumah Abdul Halim. Namanya mula disebut-sebut atas kehebatan renangan yang boleh dianggap cukup luar biasa. Sementelah melihatkan usianya yang masih terlalu mentah jika hendak dibandingkan dengan cabaran yang perlu dilalui ketika meredah samudera. Namun atas semangat serta percaya dia adalah insan istimewa yang dipilih Allah SWT untuk lalui ujian ini, kekuatan itu muncul tanpa diduga.

" Bukan semua orang mampu memikul tanggungjawab sebesar ini dan melalui projek renangan inilah Allah SWT menguji saya. Ketika berhadapan pelbagai cabaran sama ada ketika berada ditengah lautan mahupun berhadapan pelbagai ragam manusia, saya percaya Dia ada bersama saya. Jadi kekuatan itu juga datang dari-Nya, " ujar Zahra memulakan bicara pada pertemuan kami pagi itu.



Takluk Lautan

Kisah keberanian anak kelahiran Ipoh, Perak ini melakukan renangan merentas selat di perairan Malaysia mahupun antarabangsa sudahpun diketahui seluruh pelosok dunia. Dengan kejayaan pada percubaan pertama merentas Sungai Dindings, kemudian profil kejayaannya mula tersusun cantik tahun berganti tahun

" Bermula dengan menyertai "Cabaran Merentasi Sungai Dindings" yang dianjurkan UiTM Perak pada 2004, saya dan adik-adik tidak melepaskan peluang untuk turut serta mewakili anak staf. Selepas acara itu bapa mula melihat bakat kami dan mendapat ilham untuk meneruskan projek renangan.

" Di perairan yang sama saya dan adik lelaki, Salman berjaya mengukir nama dalam Malaysia Book of Records sebagai "Youngest Duo to Swim the Longest Distance" iaitu sejauh 8.9km selama 3 jam 40 minit pada 2006. Sejak pada itulah saya dan Salman mula merentasi selat-selat lain dengan membawa mesej tersendiri kepada masyarakat," katanya sambil menambah apa yang dilakukannya ini sebagai 'self actualization' apabila mendapat kepuasan maksimum sekiranya dapat merentasi sesuatu selat.

Setelah percubaan demi percubaannya membuahkan hasil, Zahra mula mencabar dirinya untuk menakluki lautan yang lebih luas dan lebih mencabar. Pada 2009 dia bersedia menyahut cabaran merentasi Selat Inggeris pula. Atas semangat diri serta sokongan pelbagai pihak, Zahra tekadkan hati dan jiwanya serta yakin dia mampu lakukan dengan baik. Namun manusia hanya merancang, kuasa tuhan tiada siapa yang mampu menghalang. Ketika renangannya sudahpun berada di 3/4 lautan luas itu, faktor angin dan cuaca tidak mengizinkan dirinya untuk menghabiskan renangan hingga ke penghujung. Dia gagal.

" Sebagai manusia biasa, itulah perkataan yang paling takut untuk saya tangani sebelum ini apatah lagi berkaitan dengan projek besar melibatkan tanggungjawab membawa nama Malaysia di mata dunia. Pada awalnya memang saya sangat-sangat kecewa. Sehinggakan tidak mahu berdepan dengan sesiapa. Mujurlah ibu berjaya menenteramkan saya dan dialah tulang belakang kekuatan saya selama ini. Dia tahu apa yang saya rasakan dan biarkan saya bersendirian di bilik dan bermusahabah diri memikirkan mengapa ia terjadi.

"Setelah beberapa hari di UK, saya boleh menerimanya dengan tenang kerana saya tahu Allah itu Maha Mengetahui. Saya redha dan percaya setiap yang terjadi ada hikmahnya. Allah mungkin tidak mahu saya berjaya pada masa itu dan Dia mahu saya lebih cemerlang pada masa akan datang . Itulah yang membuatkan saya dapat menerima kegagalan lalu dengan mudah dan semakin bersemangat untuk melakukannya sekali lagi," tekad Zahra sambil akui dirinya baru diuji sedikit jika hendak dibandingkan dengan kisah perjuangan Rasulullah menegakkan agama. Atas semangat itulah sama sekali dia tidak akan berputus asa.



Imej Muslimah

Bukan sekadar membawa nama Malaysia ke persada dunia, di sebalik itu Zahra juga yakin perjuangannya selama ini juga mampu menyumbangkan sesuatu buat agama. Kerana itu sedari awal dia menceburi bidang ini, bukan populariti ataupun sanjungan yang diharapkan namun semuanya dilakukan kerana Allah SWT.

" Dalam melakukan sesuatu biarlah bermula dengan niat kerana Allah dan barulah di sertai niat lain. Bagi saya, dakwah tidak semestinya dilakukan dengan penyampaian secara bacaan dan lisan sahaja. Tetapi juga boleh disampaikan melalui perbuatan. Mungkin kebanyakan masyarakat tidak nampak pengisian di dalam projek renang ini. Tetapi mesej yang ingin saya sampaikan adalah berkaitan perjuangan. Kita lihat kembali bagaimana Rasulullah berjuang dalam menegakkan Islam. Begitulah jua saya berjuang menaikkan nama agama di persada dunia, " tegasnya.

Pernah dia digelar watak kartun 'teletubbies' dan alien kerana berpakaian swimming suit penuh serta memakai penutup kepala khas seperti penutup kepala scuba untuk berenang di laut. Tetapi sedikitpun dia tidak berkecil hati. Dia percaya lama kelamaan orang pasti dapat menerima pembaharuan dan 'keanehan' yang cuba dilakukannya itu. Malah dia juga tidak terlepas menjadi 'bahan' diskriminasi pihak luar gara-gara tampil dengan imej muslimah di arena pilihannya.

" Sewaktu jalani latihan di Dover, UK saya seorang sahaja yang berpakaian penuh dan mereka tidak mahu mengiktiraf saya sekiranya saya berjaya merentasi Selat Inggeris. Tetapi saya tidak kisah sekiranya tak di iktiraf asalkan saya berjaya melepasi Selat tersebut. Ada juga orang Barat bertanyakan kepada saya mengapa saya perlu memakai pakaian bertutup penuh sebegitu kerana ia menyukarkan renangan ketika menjalani di sana.

"Namun saya terangkan ini merupakan tanggungjawab saya sebagai orang Islam. Dengan jawapan saya itu, membuatkan mereka tertanya-tanya dan ingin mengetahui mengapa orang Islam begitu nekad sekali. Sejak itu juga mereka mula menghormati saya sebagai seorang Islam dan secara tidak langsung saya dapat berdakwah kepada mereka," kata Zahra yang nyata gembira melihat perkembangan atlit Muslim sama ada di Malaysia atau negara luar seperti Iran, Bahrain dan Turki yang sudah mula maju mencipta pelbagai kejayaan luar biasa dengan penampilan Islamik.

CH: Renang Untuk Kebajikan

Sungguhpun kekuatan dan kehebatan yang dimiliki anak sulung dari lima beradik ini cukup luar biasa, namun Zahra tetap seperti orang lain ketika bersama keluarga dan rakan-rakan. Malah hubungannya bersama keluarga cukup rapat umpama 'cubit peha kanan, paha kiri juga terasa'. Mereka selalu bersama melakukan aktiviti-aktiviti sihat seperti berjogging. Dan kini dia mula nampak potensi adik bongsunya, Firman Hassanei Shariati untuk menyambung legasi keluarga sebagai penakluk lautan selat.

Selain renang Zahra juga kini aktif menjadi penyelamat kecemasan dan jurulatih wanita di kolam renang UiTM. Ketika di kampus pula dia cukup serasi dengan teman sekelas bahkan mengganggap mereka seperti keluarganya sendiri kerana banyak perkara di kongsi dan dilakukan bersama-sama.

" Saya cukup enjoy dengan kehidupan saya hari ini. Ada keluarga yang begitu suportif dan rakan-rakan yang sentiasa menceriakan. Namun ini tidak bermakna saya sudah melupakan projek besar 5 Extreme Ocean Expidition (5XOE) yang kini dalam rangka mencari pihak pengurusan dan dana untuk meneruskan misi kedua merentas Selat Cooks.

" Namun lebih dari itu, impian saya adalah berenang untuk kebajikan. Harapan saya apabila saya lakukan renangan itu, masyarakat boleh sama-sama membantu menyokong usaha itu dalam mencari dana untuk golongan yang kurang berkemampuan. Renangan itu nanti tidak dilihat sekadar mencipta rekod semata-mata, tetapi ia juga sebagai satu kerja amal.

"Saya juga bersedia untuk membuka laluan kepada adik-adik pula untuk menceburi bidang renang selat ini," akhiri Zahra sambil menitip pesan buat remaja seusianya supaya jangan takut pada kegagalan kerana selepas kegagalan pasti akan ada kejayaan yang lebih berharga dari apa yang diharapkan. Paling penting katanya, "never, never, never give up!"





Biodata

Nama penuh: Zahra Ma'soumah Binti Abdul Halim

Tarikh lahir: 13 Disember 1991

Asal: Ipoh, Perak

Nama ayah: Abdul Halim Bin Abdul Manaf

Pekerjaan ayah: Pensyarah

Nama ibu: Haniza Binti Mohamed

Pekerjaan ibu: Pensyarah

Bil. Adik beradik: 5

Pendidikan: SRK Seri Selamat Sitiawan,

SRK Convent Ipoh

SMK Convent Ipoh

UiTM Shah Alam (Diploma Pengajian Sukan)

Pengalaman sebagai perenang selat (antara lautan yang pernah ditakluk-beserta tahun penglibatan):

2003- Perairan Dindings: Damar Laut-Lumut (1.2km)

2006- Selat Dindings (8.9 km)
2007- Selat Melaka: Langkawi-Kuala Perlis (43 km)
2009- Percubaan pertama merentasi Selat Inggeris (hanya melepasi ¾ sahaja)
2010- Selat Melaka: Indonesia-Malaysia (60km)



Pencapaian / anugerah:

Anugerah Besar

3 Kali pemegang Anugerah "Malaysia Book of Records"

Anugerah Belia Negara peringkat kebangsaan

Anugerah Belia Negara peringkat negeri

Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) kategori Keluarga aktif

Prinsip hidup: "Do it all for god because god deserves the BEST!!!"



Rencana ini dimuatkan dalam tabloid iLuvislam edisi ke-44. Antara rencana menarik dalam keluaran minggu ini adalah :

* Sakit - Ujian atau Kifarah Dosa?

* Muslim Playboy, Muslimah Playgirl

* Dekati Manusia Dengan Kasih Sayang

* Aurat Nikah dan Sanding Berbeza

* Pasangan Muallaf

* Kembalikan Insan Kepada Fitrah

* Ketelitian Jamin Kesihatan Jiwa dan Fizikal

* Aura Nasihat dan Teguran

* Si Dzatun Nithaqin Yang Berani

* Kita Sering Melihat Diri Serba Cukup

* Dan macam-macam lagi..

No comments:

Post a Comment