Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Monday, January 24, 2011
Peluang Keemasan Untuk Orang Muda!
Para belia disyorkan supaya memohon pembiayaan daripada Dana Belia 1Malaysia (DB1M) untuk menjayakan program-program
seperti kursus berkaitan jati diri, kemahiran dan motivasi.
Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata kursus itu boleh diadakan di luar bandar untuk golongan muda di kampung-kampung bagi membantu mereka mempunyai hala tuju yang lebih jelas dalam hidup berbanding terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah.
Beliau berkata ia selaras dengan matlamat kewujudan dana itu untuk membiayai program oleh para belia yang memberikan faedah kepada masyarakat.
"Mereka boleh adakan program kursus disiplin, kemahiran berniaga dan juga motivasi supaya golongan muda berani bergerak untuk memajukan diri mereka sendiri," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Abdul Azeez berkata program yang dirancang perlu dimulakan pada skala yang kecil di peringkat awal seperti di dalam kampung atau di sekolah kerana ia akan memudahkan pengurusan dan pengendalian program.
"Jika ada perancangan sendiri, dana itu perlu digunakan dengan berhemah dan fikirkan kesannya kepada masyarakat sekeliling kerana dana itu diwujudkan untuk kebaikan bersama bukan individu," katanya.
Abdul Azeez sebelum ini aktif bersama golongan belia melalui Biro Putera Umno menjayakan pelbagai aktiviti membantu remaja meningkatkan potensi hidup dan keberanian mereka antaranya ekspedisi terjunan ke Kutub Utara pada 2007.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan DB1M sebagai pencetus kepada golongan belia menggunakan kreativiti bagi membawa manfaat kepada masyarakat.
Dana itu adalah merupakan geran yang akan diberikan kepada individu dan persatuan belia yang ingin idea kreatif program mereka dibiayai oleh kerajaan dan boleh dilaksanakan.
Para pemohon perlu menghantar kertas cadangan sebelum dinilai, ditemuduga dan dikaji oleh panel penilai yang dipengerusikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
- Kuala Lumpur, 25 Januari 2011
Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment