Sunday, January 30, 2011

Sarawak Usaha Tarik Pelabur Untuk Hub Halal


Para pelabur Teluk perlu menimbangkan untuk melabur di hab halal dan industri berat Sarawak, kata Ketua Menterinya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang sedang dalam misi di sini bagi mempromosikan negeri itu sebagai satu destinasi pilihan para pelabur Timur Tengah.

Kini, tahap pelaburan dari Timur Tengah tidak signifikan, katanya. Taib, yang mengetuai misi pelaburan 30 anggota ke Emiriah Arab Bersatu
(UAE), berkata kini hanya terdapat satu pelaburan dari Timur Tengah, iaitu di dalam sektor kelapa sawit di negeri itu.

"Kami berada di dalam pelbagai peringkat perundingan dengan (para pelabur) Arab Saudi dan negara lain (di Timur Tengah) kerana kami ingin mengambil kesempatan daripada jaringan kewangan Islam di rantau ini," katanya kepada media Malaysia di luar forum "Invest Malaysia 2011" semalam, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sarawak sedang cuba menarik para pelabur bagi Hab Halal Tanjung Manisnya (TMHH), yang merupakan satu pembangunan bersepadu yang disifatkan sebagai salah satu inisiatif pembangunan terbesar di negeri itu.

Taib melahirkan harapan bahawa TMHH akan menarik lebih ramai pelabur Timur Tengah.

Semalam, TMHH menandatangani tiga memorandum persefahaman (MOU) yang terdiri daripada pelaburan bernilai kira-kira RM650 juta.
MOU itu melibatkan Tanjung Manis Food and Industrial Park Sdn Bhd dan Perigon Advisory WLL, Borneo Agriculture yang berpangkalan di New York dan Focus International.

Invest Malaysia 2011 disertai oleh ratusan ahli perniagaan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang mewakili 200 syarikat swasta, syarikat dana kekayaan berdaulat serta agensi kerajaan.

Para peserta itu termasuk Mubadala Development Company, Aabar Investment, Al Ghurair Group, Abu Dhabi National Oil Corporation, Al Futtaim Group dan Emirates Aluminium Company.

GCC dianggotai UAE, Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Bahrain dan Oman.

Misi pelaburan Sarawak itu adalahn yang pertama di Timur Tengah yangmenyasarkan untuk menarik para pelabur dari GCC.

Taib berkata konsep hab halal akan menjadi lebih menarik kepada masyarakatIslam di Eropah dan Amerika kerana ia menekankan mengenai makanan yang mematuhi syariah.

"Kami sedang mengusahakan penjenamaan bagi produk hab halal kami ke pasaran Eropah," katanya.

Bagaimana pun, Taib berkata kini masih terlalu awal bagi menetapkan sasaran berkaitan pelaburan dari Timur Tengah. Sungguh pun begitu, katanya maklum balas yang diterima membayangkan para pelabur Timur Tengah lebih menyedari mengenai peluang pelaburan di selatan Asia, khususnya Malaysia.

TMHH, satu projek di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) diilhamkan untuk memastikan Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2020, sambil bekerjasama seiring dengan wawasan dan sasaran program Transformasi ekonomi (ETP) negara.

Sehingga ini, kerajaan negeri Sarawak telah melabur sehingga RM1.3 bilion di Tanjung Manis untuk membangunkan dan memodenkan infrastruktur jaringan awamnya, yang menarik kepada komuniti pelabur Timur Tengah.

Ia merupakan satu projek impak ekonomi yang tinggi bagi keselamatan makanan dan telah diberi sokongan penuh kerajaan negeri, yang menyifatkannya sebagai projek keutamaan.

Pada masa yang sama, ia akan menempatkan Sarawak sebagai salah satu destinasi halal paling menarik di dunia.

TMHH menjangka menerima pelaburan RM10 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang di dalam pelbagai komponen seperti infrastruktur, pembangunan dan perniagaan industri dari sektor swasta.

- Abu Dhabi, 31 Januari 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

No comments:

Post a Comment