Thursday, January 20, 2011

Keputusan Kemasukan Ke MRSM Esok


Sejumlah 41,117 pelajar yang memohon memasuki Tingkatan Satu dan Empat Maktab Rendah Sains Mara(MRSM) boleh menyemak
kedudukan permohonan mereka mulai esok melalui laman web www.mara.gov.my. Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Ibrahim Ahmad berkata para pelajar boleh membuat semakan itu dengan menggunakan nombor surat beranak atau kad pengenalan.

"Mara menawarkan 3,500 tempat bagi pelajar Tingkatan Empat, dan 6,500 tempat untuk pelajar Tingkatan Satu bagi sesi tahun ini, iaitu dari segi keseluruhan pertambahan 3.3 peratus atau 330 jumlah tempat jika dibanding tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya sehingga tarikh tutup permohonan pada 30 November tahun lepas, 25,244 permohonan diterima dari pelajar untuk melanjurkan pelajaran ke Tingkatan Satu di MRSM.

Beliau berkata bagi Tingkatan Empat, 15,873 permohonan diterima sehingga tarikh tutup 8 Januari, dan menurutnya jumlah permohonan keseluruhan mencatat peningkatan 3,907 permohonan atau 7.5 peratus berbanding tahun lepas yang hanya mencatatkan 38,020 permohonan.

Ibrahim berkata pelajar Tingkatan Satu dan Empat akan mendaftar serentak pada 7 Februari ini di semua 46 buah MRSM di seluruh negara, kecuali pelajar MRSM Mukah, Sarawak yang akan mendaftar pada 7 Mac nanti.

Beliau berkata pelajar yang tidak menerima sebarang jawapan daripada Mara selepas April ini dianggap tidak berjaya dalam permohonan mereka.

Menurutnya surat tawaran kemasukan, buku panduan serta borang kemasukan boleh dicetak menerusi portal berkenaan, dan ibu bapa dinasihatkan merujuk buku panduan dan mengisi borang kemasukan bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran.

Ibrahim berkata sehingga ini 32,601 pelajar sedang mengikuti pengajian di Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima di MRSM di seluruh negara. Beliau berkata pada 10 Januari lepas, sejumlah 540 pelajar ditawar ke Tingkatan Satu di bawah program Ulul Albab di tiga MRSM, iaitu MRSM Kota Putra (Terengganu), MRSM Gemencheh (Negeri Sembilan) dan MRSM Kepala Batas(Pulau Pinang).

"Program yang diperkenalkan sejak 2009 itu menggabungkan tahfiz Al-Quran dan sistem pendidikan aliran sains tulen bagi melahirkan golongan cendekiawan Islam," katanya.

- Kuala Lumpur : 20 Januari 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

No comments:

Post a Comment