Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Thursday, January 20, 2011
Anak-Anak Perlu Disayangi
Tiadalah yang paling mengguris emosi saya setiap kali membaca berita di tanah air melainkan paparan bayi dibuang ibu. Percaya atau tidak, hampir setiap hari ada sahaja berita tentang jenayah "binatang buas" ini. Bertahun-tahun lamanya saya tinggal di "negara bukan Islam" tetapi saya tidak pernah sekalipun terbaca berita seumpama ini.
Sebagai seorang bapa yang tinggal berjauhan dengan anak kesayangan di benua yang berlainan, hati saya amat tersentuh. Bagaimanakah mungkin seorang manusia khususnya wanita yang berhati lembut sanggup membuang anak yang telah dikandung selama sembilan bulan sepuluh hari?
Apakah penyebab dan kronologi yang menjadikan hati mereka ini terlalu keras dan tidak berperikemanusiaan? Benarlah seperti yang dikata, dalam alam haiwan tiada manusia, tetapi dalam alam manusia banyak haiwan.
Saya tidak pernah bergaul dengan ibu bapa yang sanggup membuang anak, justeru apa yang saya nukilkan barangkali kurang tepat. Tetapi saya percaya terdapat dua faktor mengapa mereka sanggup membuang anak mereka sendiri.
Pertamanya, kerana anak tersebut dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Untuk mengelak malu, maka anak yang tidak berdosa tersebut dibuang.
Keduanya, mungkin kerana faktor kemiskinan. Maka ibu bapa tidak sanggup menjaga anak kandungnya sendiri dan membuangnya dengan harapan akan diambil dan mendapat penjagaan yang sewajarnya daripada pihak yang bertanggungjawab.
Anak-anak kecil adalah insan yang amat istimewa dalam hidup ini. Walau bagaimanapun cara mereka dilahirkan, sama ada daripada hubungan yang halal atau haram anak-anak tersebut adalah sentiasa suci, halal, dan murni.
Istilah "anak haram" di kalangan masyarakat Malaysia adalah suatu budaya negatif yang perlu ditukar sama sekali. Dalam ajaran Islam, semua manusia dilahirkan dalam keadaan bersih dan suci. Walaupun ibu dan ayah mereka bukan beragama Islam, mereka tetap dijamin masuk syurga andai mereka meninggal dunia sebelum baligh.
Bayi yang dilahirkan ke dunia tidak pernah terpalit dengan dosa. Sekiranya anak-anak kecil kita sudah pandai berdoa, maka aminkanlah doa mereka. Atau sekiranya kita membaca doa, galakkan mereka mengaminkan doa kita. Amin itu bermaksud Allahumastajib (اللهم استجب), Ya Allah perkenankan. Masakan mungkin tertolak doa daripada anak-anak kecil yang masih suci ini.
Anak-anak kita juga merupakan pelaburan yang terjamin pulangannya. Sekiranya kita mati kelak, semua amalan akan terputus melainkan tiga perkara. Salah satunya ialah doa daripada anak yang soleh tanpa mengira status anak tersebut.
Sekiranya anak yang soleh mendoakan ibu dan ayahnya selepas kematian mereka, doa tersebut dianggap sebagai bekalan yang akan mengalir terus ke dalam kubur mereka sehinggalah ke hari pertimbangan kelak. Ini ialah janji Allah yang mustahil dimungkiri. Justeru mengapa perlu dibuang anak-anak yang tidak berdosa tersebut.
Sekiranya malu dengan perhubungan luar nikah atau tidak mampu membesarkan anak-anak, membuang mereka merata-rata bukanlah jalan penyelesaiannya. Sebaliknya, berilah mereka kepada orang yang dipercayai atau kepada pihak yang berwajib. Mungkin doa mereka mampu membantu kita apabila kita telah tiada kelak.
Jika berkemampuan, adalah lebih elok jika menjaga mereka dengan baik, berilah mereka kasih sayang yang sewajarnya diberikan kepada seorang anak. Mereka tidak meminta untuk dilahirkan di dunia. Tetapi apabila sudah dilahirkan, mereka mempunyai hak untuk meneruskan kehidupan.
Semua manusia membuat kesilapan. Sekiranya terlajak, janganlah menambah lagi kesilapan dengan kesilapan yang lain. Bertaubatlah, dan bimbinglah mereka dengan baik sebagai peluang untuk memperbaiki diri.
Masyarakat di sekitar perlulah memberi sokongan untuk membantu golongan ini kembali ke pangkal jalan. Janganlah sesekali pinggirkan mereka kerana ia akan lebih merumitkan keadaan. Mereka amat memerlukan bimbingan dan sokongan semua untuk kembali menjalani kehidupan yang berlandaskan ajaran Allah.
Taboo "anak luar nikah" adalah produk persepsi negatif masyarakat ke atas pasangan terlajak. Hentikan sikap pesimis kepada mereka. Berikan harapan dan peluang kepada mereka untuk membaiki kesilapan. Kita hanyalah manusia biasa yang tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan.
Sedangkan Allah tetap mengampunkan semua makhluknya yang bertaubat dengan taubat nasuha, siapalah kita yang hanya makhluk ciptaan-Nya yang lemah terlalu ego untuk memberi kemaafan.
- Artikel iluvislam.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment