Thursday, January 6, 2011

Kos Perkhidmatan Haji Dikawal


Lembaga Tabung Haji (TH) diminta mengambil langkah sewajarnya mengawal kos perkhidmatan haji bagi jemaah haji Malaysia berikutan peningkatan kos penginapan di Tanah Suci ekoran perkembangan pesat di sana, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata kos meningkat dari setahun ke setahun berikutan hotel baru dibina, penyewaan dan makanan, pengurusan dan juga tenaga manusia, menyebabkan kos semakin meningkat dari setahun ke setahun.

"Dalam hal ini, perancangan teliti perlu dibuat TH bagi memastikan peningkatan kos dari segi penginapan di Tanah Suci tidak terlalu mendorong ke arah menaikkan wang bayaran haji," katanya ketika berucap di Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji 1431H di Lembaga Tabung Haji, di sini hari ini.

Jamil Khir dalam pada itu juga meminta pengurusan TH agar tidak terlalu fokus kepada satu cabang iaitu pengurusan mengerjakan haji tetapi berusaha meningkatkan lagi jumlah pendeposit yang kini mencecah kira-kira 5.7 juta.

"Selain daripada tunaikan ibadat haji, mereka (TH) juga perlu fokus kepada usaha menjadikan TH sebagai tempat orang suka menyimpan duit dengan memberitahu mengenai kadar dividen dan bonus yang akan diberikan.

"Disebabkan itu, tidak kira berapa jumlah minimum simpanan mereka (pendeposit) tetapi mereka adalah merupakan deposit TH dan TH bertanggungjawab untuk menjaga amanah mereka selain menarik lebih ramai pendeposit," katanya.

- Kuala Lumpur, 6 Januari 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

No comments:

Post a Comment