Thursday, January 6, 2011

Isteri Terkilan Suami Bayar RM 37000 Kepada Bomoh


0

Seorang pengurus pemasaran terkilan apabila suaminya memberikan kira-kira RM37,000 kepada seorang lelaki yang mendakwa bomoh kononnya untuk melindungi diri suaminya daripada nasib malang yang boleh membawa maut.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Loh, 44, berkata wang yang dikumpul bersama sejak sekian lama untuk tujuan pendidikan anak-anak mereka diberi kepada bomoh itu tanpa pengetahuannya pada Ogos lepas sebagai bayaran perubatan itu.

"Lelaki yang mengaku sebagai bomoh itu mendakwa diri saya mempunyai nasib malang yang boleh menyebabkan suami saya maut," katanya kepada pemberita di Biro Aduan Awam MCA di sini hari ini.

Loh berkata pada mulanya suaminya tidak mengaku mengambil wang itu dan beliau mula mengesyaki sesuatu apabila suaminya berhari-hari tidak pulang ke rumah.

"Anak saya telah menghubungi suami saya bertanyakan kenapa dia sudah lama tidak pulang ke rumah dan dia kata kerana saya mahu membunuhnya jika dia pulang ke rumah," kata Loh.

Beliau yang curiga dengan bomoh palsu itu membuat laporan polis pada 29 Ogos tahun lepas di Balai Polis Pandamaran, Klang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang pada 31 Dis lepas.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Datuk Michael Chong berkata beliau telah menerima sebanyak 32 aduan berkenaan kes penipuan yang membabitkan bomoh palsu sejak tahun 2006.

"Kalau lelaki hanya diminta wang, tetapi wanita bukan hanya wang malah tubuh badan mereka juga dengan tujuan kononnya memberikan aura supaya mereka kelihatan cantik," katanya.

- Kuala Lumpur, 5 Januari 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.
Komen Editor Berita iLuvislam.com

Sesungguhnya Nabi s.a.w datang kepada masyarakat yang mempercayai pawang-pawang dan tok nujum yang mendakwa mengetahui perkara yang ghaib. Mereka berkata mampu mengetahui perkara ghaib yang akan datang atau yang lepas dengan cara mereka berhubung dengan jin dan sebagainya. Rasulullah s.a.w memerangi perbuatan bomoh-bomoh seumpama ini dgn membacakan ayat:

"Katakanlah wahai Muhammad ; tidak ada yang mengetahui perkara yang gaib samada di langit dan bumi melainkan Allah." (65:An-Naml)

Allah telah menceritakan bahwa jin sendiri tidak tahu dengan kematian Nabi Sulaiman sehinggalah anai-anai memakan tongkat Nabi sulaiman a.s. dan Allah berfirman:

"Kalaulah mereka (jin-jin Nabi Sulaiman) mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak berada dalam azab yang menghina (berkerja susah payah berkerja walupun Nabi sulaiman sudah wafat)." (14:Saba)

Dr Yusuf Qardawi berkata:

"Sesiapa yang mendakwa mengetahui perkara yang gaib maka dia telah berbohong kepada Allah, kepada kebenaran dan kepada manusia."

Sesungguhnya telah tiba segerombolan manusia bertemu dgn Nabi s.a.w. Mereka menyangka baginda mengetahui perkara yang gaib, lalu mereka menyembunyikan sesuatu di tangan mereka. Mereka bertanya "Beritahu kamu apa yang ada dalam tangankami?" Nabi s.a.w menjawab dengan jelas:

"Aku bukannya tok nujum atau pawang yang mengetahui benda yang gaib. Sesungguhnya pawang atau tok nujum (yang mendakwa tahu perkara gaib) berada dalam neraka." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Percaya dengan cakap-cakap bomoh, pawang dan tok nujum yang mendakwa mengetahui perkara yang gaib adalah kekufuran.

Nabi s.a.w bersabda:

"Sesiapa yang berjumpa dengan tok nujum dan bertanya sesuatu yang ghaib, lalu percaya dengan kata-kata mereka maka tidak diterima solatnya selama 40 hari." (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi s.a.w bersabda:

"Sesiapa yang berjumpa dengan bomoh atau tok nujum, lalu bertanya pada bomoh tentang sesuatu dan lelaki itu mempercayai apa yang bomoh beritau tentang perkara-perkara ghaib maka dia telah kufur dgn ajaran Nabi Muhammad s.a.w." (Hadis Riwayat Bazzar-Jaid)

Nabi s.a.w pun tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib. Firman Allah s.w.t:

"Katakanlah wahai Muhammahad ; aku tidak mengatakan mempunyai khazanah-khazanah Tuhan, aku tidak mengetahui perkara yang ghaib..." (50: al-Anam)

No comments:

Post a Comment