Wednesday, January 5, 2011

Islam Pak Kadok


Sabda Rasulullah S.A.W. : "Akan muncul di akhir zaman nanti, suatu kaum yang terdiri dari orang-orang muda yang masih mentah fikirannya (cetek faham agamanya). Mereka banyak mengucapkan perkataan Khairil Bariyah (firman Allah dan hadis Rasul), tetapi iman mereka masih lemah. Pada hakikatnya mereka telah keluar agama seperti anak panah yang lepas dari busurnya. Di mana sahaja kamu dapat menemuinya, maka hapuskanlah mereka itu, siapa yang dapat menghapus mereka, kelak akan mendapat pahala di hari kiamat. " (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Buka sahaja dimana-mana forum mahupun difacebook kini dan amat mudah kita melihat ramainya golongan seperti ini menjuarai gelanggang cerita dan debat agama. Cerita agama kini bukan cerita yang seharusnya menjadi bahan didikan yang mendahulukan ilmuan tetapi menjadi topik dan bahan sembang yang hangat seperti menjaja kacang putih dan kacang botak.

Tanda-tanda kiamat telahpun banyak dan tidak hairan kaum seperti ini juga semakin banyak. Kerana itu sabda Rasulullah yang menyeru supaya golongan ini dihapuskan. Dihapuskan disini janganlah kita ertikan ke tahap membunuh atau memancung kepala mereka. Itu namanya tak ada beban mencari beban. Menghapuskan golongan ini bermaksud kita mencegah dan mengutuk budaya ini supaya ia terhapus daripada budaya dan masyarakat Islam itu sendiri.

Sekiranya kita membiarkan golongan ini berleluasa, tanpa ada tindakan menghalang dan membasmi, maka mereka inilah yang akan menyuburkan kelahiran manusia-manusia fasiq yakni golongan yang berdusta dan mendustakan agama. Mereka bukan sahaja terkeluar daripada agama malah boleh menyebabkan ramai lagi umat Islam yang akan terikut keluar pemikiran mereka dari pemahaman Islam yang sebenar.

Islam Pak Kaduk

Cerita Pak Kaduk adalah cerita masyhur orang Melayu yang diwarisi turun termurun. Di zaman moden ramai yang tidak menghargainya mungkin kerana cerita Pak Kaduk tidak membantu dalam membina kelebihan. Pak Kaduk itu sendiri kisahnya adalah seorang yang tidak berilmu dengan tindakannya yang banyak menyusahkan diri sendiri.

Di sini cerita Pak Kaduk adalah kisah yang paling sinonim. Pak Kaduk menang sabung kampung tergadai. Demikianlah juga kisah orang kita yang menang debat tetapi agama tergadai. Ramai orang amat sukar berbincang ilmiah dan selalu ingin menang berdebat dan sudahnya beratus-ratus hadith dan ayat Al-Quran menjadi dalil dan bahan sokongan isi debat mereka.

Adakah mereka ini orang yang mahir atau memahami agama? Tidak dinafikan ada golongan yang tahu dan mengetahui tetapi golongan yang tidak mengetahui itu lebih ramai. Ramai yang menjadi 'Ustaz Google' dan 'Ustaz Search Engine' untuk mendapatkan nas dan dalil dari blog dan website sebagai bahan aktiviti perang mulut yang tidak berfaedah. Adakah mereka ini membuat pengesahan bahawa huraian dan sumber itu adalah betul? Adakah hadith yang diambil itu adalah sahih atau daif? Adakah benar huraian ayat Al-Quran itu mereka cerakinkan dengan kaedah yang betul? Adakah mereka merujuk orang yang mahir dalam agama sebelum mereka mengeluarkan pendapat yang bakal dibaca dan dirujuk orang lain sebagai panduan? Adakah mereka ingat Islam ini agama yang tidak ada kaedah?

Jadi apa bezanya mereka ini dengan Pak Kaduk? Menang bercerita tetapi kesan kerosakan daripada huraian agama itu membuatkan agama tercinta ini semakin tergadai. Bukankah perosak agama ini harus kita basmi supaya ia tidak berleluasa?

Apakata Jika Anda Tergolongan Dalam Golongan Ini?

Saya sendiri adalah salah seorang yang dahulu turut tergolong dalam golongan ini. Sungguhpun saya mempunyai asas agama dan mempelajari ilmu syariah, fekah, tauhid dan sebagainya dibangku sekolah dan kolej, tetapi saya sedar saya bukanlah pakar. Ada orang yang lebih pakar dan mahir harus dirujuk untuk mempastikan saya tidak mengeluarkan huraian salah yang mana boleh jadi menjadi rujukan sesat bagi orang kurang bijak.

Tanyalah diri anda adakah anda pernah melakukan perkara sedemikian rupa? Sekiranya ada, maka tidak susah benar untuk membetulkan keadaan. Tidak juga ia bermaksud anda harus berhenti daripada berdakwah dan menyebarkan syiar Islam ini. Apa yang anda perlu lakukan adalah mendalami ilmu agama itu dan merujuk kepada orang yang mahir serta berguru.

Hakikatnya apabila kita makin mendalami agama itu, maka fahamlah kita semakin banyak yang kita tidak tahu dan perbetulkan. Satu-satunya perkara yang menyukarkan kita memahami perkara ini ialah ego dan minda yang terjajah. Kita banyak terfikir bahawa apabila kita diam, mengalah dan memberi muka, maka kita adalah orang yang kalah. Tapi kita selalu lupa bahawa kemenangan dalam Islam bukanlah kisah menang berdebat dan bercerita tetapi kemenangan dalam kebenaran.

Perjuangan Itu Sukar

Perjuangan itu bukanlah satu kisah atau terma yang menggambarkan perkara santai dan menyeronokkan. Ia menggambarkan satu kepayahan, kesabaran, kesungguhan, usaha yang mantap, kebijaksanaan dan tawakkal. Kerana itulah umat akhir zaman ini dijanjikan dengan pahala yang besar kerana perjuangan itu sukar dan sentiasa dipenuhi dugaan.

Salah satu kesukaran ialah peperangan melawan nafsu dan kelemahan diri. Hari ini anda melihat sahabat-handai dan orang lain membina kejayaan melalui kekayaan. Jauh disudut hati teringin memiliki dan berjaya. Tapi anda sendiri tahu bahawa kejayaan dalam hidup itu mempunyai definisi yang lebih besar.

Sekiranya anda tidak mampu menanggung dugaan perjuangan akhir zaman, usahlah anda menyerahkan diri untuk ketahap itu. Ini adalah kerana anda sendiri boleh lemas dalam perjuangan yang akhirnya merosakkan agama. Buat apa yang termampu. Sokong dan bantu mereka yang mempunyai kekuatan. Usah cuba menjadi 'hero' atau panglima kerana itu lebih kepada 'syok sendiri'. Kisah perjuangan dan keperwiraan bukan kisah mencipta pangkat atau 'title' sendiri.

Al-Quran itu turun secara 'munajjaman' yakni beransur-ansur. Dalam perjuangan kita juga harus beransur-ansur dan berstrategi. Usah terjun ke gelanggang sekadar untuk mati atau jadi bahan belasahan. Lakukanlah sesuatu perkara itu dengan praktikal dan memberi kesan yang hakiki. Semoga niat kita untuk berubah dan menyumbang dengan keikhlasan diberkati Allah. Selalulah berdoa semoga mendapat petunjuk agar tidak terpesong, sesat dan menyesatkan.

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment