Thursday, January 6, 2011

Islam Di Hati


Izzati. Indah nama itu. Secantik dan semulia akhlak insan yang menjadi pemegangnya. Menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPIS) memang merupakan impiannya sejak sekian lama. Sudah hampir tiga tahun dia berdoa agar dirinya nanti dihantar ke suatu tempat yang dia kira cukup Islamik, agar mudah untuk dia mengubah diri serta jalan hidupnya.

Bukan selama ini dia tersesat, cuma ingin menjadi seseorang yang baru, berbeza dengan dirinya yang dahulu. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar. Mengalir air mata suci daripada sepasang mata yang sering melemparkan pandangan bening itu. Begitu dia bersyukur apabila doanya dijawab. Subhanallah. Allah itu Maha Berkuasa.

Enam bulan pertama berada di IPIS sudah cukup untuk mengubah sedikit sebanyak dirinya. Usahkan penampilan, cara pergaulan dan percakapannya juga sudah berubah sama sekali. Dia kini seorang yang serba baru. Meskipun begitu, dia tidak pernah lupa akan asal usulnya. Siapa dia,dan dari mana dirinya.

Setelah genap enam bulan berada di IPIS, sudah tibalah masanya untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Terpalit juga rasa sedih di hati untuk meninggalkan IPIS yang kini sudah menjadi sebahagian daripada jiwanya.

"Assalamualaikum…Izzati dah sampai! Mak, Ayah!", terdengar suaranya yang lantang memecah keheningan subuh.

"Wajah insan tersayang kini sudah berada di depan mata. Apalagi, pergilah peluk!", gertak jiwa kecilnya. Tidak dapat digambarkan gembiranya rasa hati apabila dapat mengucup pipi ibu serta ayah tercinta.

Perubahan Izzati sedikit sebanyak telah mempengaruhi orang di sekelilingnya.Ada yang boleh menerimanya dengan baik.Tidak kurang juga yang memandang serong terhadapnya. Tetapi bukan itu yang Izzati risaukan. Kini, dia sudah ada tanggungjawab besar yang akan disoal di akhirat kelak. Tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu yang ada padanya. Ilmu yang masih sedikit itu ingin dia kongsikan bersama, dengan harapan mereka akan turut merasakan betapa manisnya hidup berlandaskan acuan Islam sejati.

Perjuangan Izzati tidak mudah. Untuk mengubah keluarga sendiri pun dia masih tertatih-tatih. Walaupun begitu dia tidak pernah putus asa. Hampir setiap hari, ada sahaja kedengaran suaranya memenuhi ruang rumah dengan nasihat serta pengajaran yang penuh bermakna.

Ada kalanya kaum keluarga mendengar dengan penuh perhatian dan terkadang Izzati seperti berbicara sendirian kerana mungkin orang-orang di sekelilingnya sudah bosan dengan tazkirah yang agak sama setiap hari. Namun sikap sedemikian langsung tidak melunturkan semangat Izzati untuk terus berdakwah.

Hari itu Izzati pergi menziarahi neneknya yang kurang sihat di kampung. Alangkah gembiranya Izzati apabila dia menemui seorang sahabat lama yang dahulunya turut bersamanya bermain teng-teng dan meneruskan perjuangan bersama sehingga ke sekolah menengah.

Namun dalam kegembiraan tersebut, timbul sedikit kesedihan di hati Izzati. Lia yang dikenalinya dahulu sudah berubah sama sekali. Tudung tidak lagi menutup rambutnya. Rambutnya kini pula sudah dihiasi dengan segala jenis macam warna yang menyakitkan setiap mata yang memandang. Belum lagi ditambah dengan tindikan-tindikan di telinga. Baju yang dikenakan pula amat nipis dan ketat. Pergaulan dengan lelaki? Tidak mampu Izzati untuk membicarakan perihal Lia yang selanjutnya.

"Lia, kenapa Lia berubah? Kenapa Lia tak pakai tudung? Rambut Lia ni...Dulu kan cantik..Lia dah lain sangat. Janganlah macam ni Lia. Zati rindu Lia yang dulu. Lia yang lembut, sopan, pemalu, yang jaga aurat dan yang paling penting, jaga pergaulan...", keluh Izzati kepada sahabatnya itu pada suatu petang yang sunyi.

Lia hanya mendiamkan diri. Mungkin sedikit terkesan di hatinya apabila kata-kata seperti itu diucapkan oleh sahabat karibnya sendiri. Dia akui bahawa kata-kata Izzati itu benar semuanya. Tetapi suasana di kampung memang telah banyak mempengaruhi gaya hidup Lia. Bergaul dengan remaja sebayanya yang bermasalah betul-betul telah menjadikan Lia seorang insan yang berbeza dengan dirinya yang dahulu. Dengan nada yang agak keras, Lia menjawab segala persoalan yang diajukan Izzati padanya.

"Zati...Zati kena ingat. Ini kampong, bukan macam tempat Zati. IPIS tu Islamik. Memanglah senang Zati nak kekalkan diri Zati yang baik ni. Kampung ni..macam-macam ada. Orang-orang yang tinggal dalam kampung ni bukan sembahyang sangat pun. Kalau yang dah tua-tua itu pun tak dapat nak jadikan contoh, macam mana kita orang yang muda ni nak jadi baik? Zati patut ajar yang tua-tua tu dulu, baru ajar Lia. Zati cakap senanglah. Nanti kalau Zati dah lama kat sini, mesti Zati pun berubah. Takkan bertahannya diri Zati yang sekarang ni, percayalah cakap Lia. Zati janganlah nak jadi hipokrit, buat-buat baik kat sini semata-mata nak tunjuk pada semua orang. Lia tahu Zati ni siapa. Pasal tudung dan rambut tu, tempat ni lain Zati. Kalau kat IPIS, Zati wajib pakai tudung labuh, kat sini tidak ada peraturan macam itu. Jangan pula Zati nak wujudkan peraturan sendiri! Ini bukan IPIS!"

"Astarghfirullahalazim… Lia! Kenapa Lia cakap macam itu? Islam itu ada di mana-mana Lia. Bukan dekat IPIS sahaja. Sebagai umat Islam sejati, sudah menjadi kewajipan kita untuk mematuhi segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah walau di mana pun Lia berada. Jangan jadikan suasana kampung ini sebagai alasan untuk Lia berubah.Lia. Kalau orang di sekeliling Lia tidak mampu untuk mendidik Lia, Lia patut didik dan kuatkan diri sendiri. Memang tidak mudah Lia. Zati pun tak rasa mudah untuk kekal begini. Tetapi, itulah hakikatnya. Kita tidak akan mampu untuk berubah sekiranya kita sendiri tidak berusaha. Ingat Lia, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu umat itu sehingga mereka sendiri berusaha untuk berubah.


Berlinang air mata suci Izzati tatkala mengucapkan kata-kata tersebut. Sungguh tidak disangka, begitu cepat Lia berubah. Baru enam bulan mereka berjauhan, dan Lia sudah jauh pergi meninggalkan agamanya.

"Ala...Janganlah Zati nak buat-buat suci kat sini.Tempat ni lain Zati. Lain! Zati pakai macam ni, tudung-tudung yang macam ‘khemah bergerak’ ni, Zati ingat orang sanjung Zati ke? Budak-budak kampung ni, hari-hari mengumpat pasal Zati. Zati datang je dia orang gelarkan Zati 'khemah bergerak’. Kelakarlah Zati, janganlah pakai macam ini lagi Zati. Tak sesuai kat sini. Kita dekat kampung, buatlah macam cara kampung. Nanti, kalau Zati dah balik IPIS, sesuailah Zati pakai macam ni. Memang wajib dekat sana kan?". Dengan nada selamba Lia senang sahaja mengucapkan kata-kata tersebut.

Izzati seakan hampir pengsan apabila mendengar kata-kata seperti itu diucapkan oleh sahabat baiknya sendiri. Bertambah pilu dan sedih hatinya. Bukan kerana gelaran 'khemah bergerak' itu atau umpatan orang kampung, tetapi kerana cara hidup sahabatnya yang kini semakin jauh dari Allah.

Dalam diam hati Izzati berdoa agar dosa-dosa sahabatnya itu diampunkan oleh Allah dan dibukakan semula pintu hatinya untuk kembali kepada cara hidup Islam yang sebenar. Sungguh kasih dia pada sahabatnya ini sehingga tidak sanggup dia untuk melihat Lia terseksa di akhirat kelak. Azan maghrib yang berkumandang menyedarkan Izzati. Cepat-cepat dia menyeka air matanya dan segera membetulkan tudungnya.

"Lia, jom balik…Dah masuk waktu maghrib, mari kita solat. Hari ini kita baca surah An-nisa' serta tafsirannya sekali".

Izzati terkenangkan saat-saat indah dahulu, di mana dia dan Lia seringkali membaca al-Quran bersama-sama dan mentadabbur di surau berhampiran rumah neneknya. Sungguh indah waktu itu.

"Jom Lia.." Izzati menarik lembut tangan sahabatnya itu.

"Takpe, Zati pergilah! Hati Lia tak berminat nak buat semua tu. Lia nak keluar dengan kawan-kawan Lia kejap lagi ni. Bila Lia dah dapat seru nanti Lia solat. Kita masih muda Zati, masih banyak masa untuk kita. Zati ni macam orang tualah, sibuk beribadah macam dunia ni dah nak kiamat. Kalau orang tua, memang patutlah buat macam itu, umur pun dah tak panjang. Kita ni muda lagi…"

Astarghfirullahalazim. Pedih sekali hati Izzati mendengarkan kata-kata sahabatnya itu. Izzati sudah tidak mampu lagi berdiri di situ, dia segera berlalu. Kudratnya sudah lama habis. Lemah dirinya apabila mendengarkan kata-kata Lia. Izzati hanya mampu berdoa meminta keampunan kepada Allah di atas kelemahannya yang tidak mampu untuk membantu sahabatnya itu. Dia pergi meninggalkan Lia dengan linangan air mata di pipi.

Setelah hampir dua bulan bercuti, kini Izzati akan kembali semula ke IPIS untuk semester kedua. Perjuangannya kali ini pasti lebih sukar. Azamnya kali ini lebih tinggi. Bila dia kembali lagi nanti, dia akan cuba yang lebih baik.

"Zati!" Terdengar sayup-sayup suara Lia memanggilnya dari jauh.Zati menoleh ke belakang. "Lia...dah lama tak jumpa Lia. Zati nak balik dah ni, nanti Zati datang sini lagi. Ingat Lia, Islam itu ada di mana-mana. Bukan di IPIS saja.Di sini juga..di HATI. Assalamualaikum…" ucap Izzati sambil meletakkan kedua-dua tangan sahabatnya di dadanya.

Kemudian Izzati berlalu pergi. Dengan linangan air mata, dia berharap agar pintu taubat masih terbuka untuk sahabatnya itu. Lia hanya terdiam dan tergamam. Masih cuba untuk memahami kata-kata Izzati tadi.

No comments:

Post a Comment