Tuesday, February 8, 2011

Syabas Untuk Kempen Hari Tanpa Beg Plastik


Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, beg plastik ialah suatu keperluan semasa membeli belah. Justeru itu permintaan beg plastik memang tinggi dalam kalangan pengguna dengan purata penggunaan lapan beg plastik seminggu seorang individu, namun apa yang membimbangkan ialah kegunaan beg plastik yang terlampau akan memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.




Menurut pakar, beg plastik memerlukan 100 hingga 500 tahun untuk dilupuskan sepenuhnya dan sekiranya ditanam atau dibakar pula akan mengeluarkan gas karbon dioksida yang boleh meningkatkan kadar pemanasan suhu bumi. Dianggarkan setiap rakyat Malaysia menghasilkan 19,000 tan sisa pepejal setiap tahun dan 24 peratus daripada jumlah itu ialah plastik.





GALAKKAN TEKNOLOGI HIJAU

Pelbagai usaha dilakukan kerajaan dalam memelihara alam sekitar, yang antaranya membangunkan teknologi hijau seperti yang dinyatakan dalam pembentangan bajet 2010. Aktiviti kesedaran seperti menghijaukan persekitaran dan amalan hidup mesra alam menjadi aktiviti utama di samping menjadikan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai Bandar Teknologi Hijau.


Atas kesedaran akan pentingnya menjaga alam sekitar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melancarkan Kempen Kurangkan Penggunaan Beg Plastik dan Hari Tanpa Beg Plastik. Bermula 1 Jan lepas, beg plastik tidak lagi dibekalkan secara percuma kepada pengguna di semua pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka dan premis perniagaan terpilih di seluruh negara pada setiap Sabtu. Untuk mereka yang masih mahukan beg plastik, akan dikenakan bayaran 20 sen setiap satu.



SEJARAH HARI TANPA BEG PLASTIK

Kempen "tanpa beg plastik" walaupun masih baru di Malaysia, bukanlah sesuatu yang asing, malah sudah dijalankan sejak tahun 2002. Contohnya, Ireland mengenakan cukai terhadap penggunaan beg plastik sejak tahun 2002 dan ia menunjukkan kesan yang baik apabila berjaya mengurangkan penggunaan plastik sebanyak 90 peratus.


Di Amerika Syarikat, San Francisco juga mengambil langkah yang sama manakala Los Angeles pada 1 Julai lepas mengharamkan penggunaan beg plastik dan mengenakan bayaran 25 sen untuk beg kertas bagi menggalakkan pengguna membawa beg sendiri ketika membeli-belah.


Di Malaysia, Pulau Pinang ialah negeri pertama yang melaksanakan kempen Hari Tanpa Beg Plastik pada 6 Julai 2009 di pasar raya hingga dapat menjimatkan lebih 1 juta beg plastik dalam masa empat bulan. Program ini kemudian dilanjutkan ke tiga hari seminggu iaitu setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu mulai 1 Jan 2010 dan pada tahun ini, Pulau Pinang mengorak langkah dengan memperkenal kempen 'Setiap Hari Tanpa Beg Plastik Percuma'.


Di sekitar Lembah Klang dan Selangor kebanyakan pasar raya besar seperti Tesco, Carrefour, Giant dan pasar mini seperti Speedmart, Seven Eleven dan beberapa premis perniagaan lain menyokong kempen ini dengan tidak menyediakan beg plastik kepada pengguna pada hari Sabtu.


Sekiranya pengguna masih mahu menggunakan beg plastik, mereka akan dikenakan bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik yang digunakan dan wang itu akan disalurkan kepada badan kebajikan atau untuk program kepenggunaan dan pemuliharaan alam sekitar.



ALTERNATIF BEG PLASTIK

Usaha dan komitmen yang diberikan semua pihak dalam menjayakan kempen ini perlu diambil kira sebagai permulaan yang baik ke arah memartabatkan kepentingan alam. Justeru, penggunaan beg yang mesra alam atau alternatif lain perlu dilaksanakan dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik.


Setiausaha Agung Persatuan Penyelidikan dan Pengurusan Alam Sekitar Malaysia (ENSEARCH), Geetha P. Kumaran berkata dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik, peruncit atau peniaga perlu beralih kepada penggunaan plastik yang
mudah diurai. "Langkah menukarkan penggunaan beg plastik kepada beg kertas tidak sesuai kerana kosnya yang tinggi. Beg kain adalah penyelesaiannya", katanya melalui e-mel kepada Bernama. Menurut Geetha, penyelesaian yang lebih baik mungkin boleh dilakukan melalui inovasi dan teknologi hijau.



INISIATIF YANG BAIK

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, seramai 128 daripada 170 responden bersetuju dan menyokong kempen berkenaan kerana dianggap langkah bijak dalam memelihara alam sekitar. "Sebagai pengguna kita seharusnya sedar tentang pentingnya menjaga kesejahteraan alam sekitar dan biasakan diri dengan membawa beg mesra alam dan hanya gunakan beg plastik jika betul-betul memerlukan. Pengguna juga tidak perlu meminta beg plastik jika hanya membeli barang dalam kuantiti yang sedikit", kata Nurul Aini Abdullah, seorang pengguna yang ditemui baru-baru ini.


Seorang jurujual, Jojo, berpendapat pengguna perlu dididik tentang amalan kitar semula kerana ia dapat menyelamatkan alam daripada pencemaran. Mengenai langkah kerajaan mengenakan bayaran 20 sen untuk setiap beg plastik, kebanyakan pengguna yang ditemui bersetuju dengan langkah itu kerana sekurang-kurangnya sebagai peringatan agar membawa beg sendiri semasa membeli-belah.


Geetha juga berpendapat bayaran 20 sen untuk setiap beg plastik perlu dikekalkan kerana kenaikan harga makanan dan beberapa barang keperluan. Namun tidak semua pengguna bersetuju dengan langkah yang diambil oleh kerajaan kerana berpendapat ia menyusahkan pengguna. Megat, seorang peniaga, berkata dia tidak menyokong langkah ini kerana pengguna bakal mengalami kesulitan sekiranya beg plastik tidak dibenarkan terutama ketika pengguna membeli makanan.


"Beg kertas boleh digunakan namun kurang sesuai kerana sifatnya yang tidak tahan lasak berbanding beg plastik. Lagipun kos beg kertas yang mahal menjadi faktor peniaga lebih suka menggunakan beg plastik", katanya. "Faktor lain yang menyebabkan kempen ini kurang dipersetujui ialah peraturan sesetengah pasar raya yang tidak membenarkan beg dibawa masuk untuk mencegah kecurian dan ini punca segelintir pengguna malas membawa beg sendiri," kata seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Kamaruddin.



TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Pengguna yang ditemui, rata-rata berpendapat bagi memastikan keberkesanan kempen ini, kerajaan harus memastikan ia dijalankan secara berterusan. Selain publisiti media, pihak yang bertanggungjawab perlu berganding bahu dengan badan-badan NGO untuk menyebarkan maklumat mengenai kempen ini secara meluas terutama di kawasan luar bandar.


Selain itu, pihak pengurusan di gedung membeli-belah juga perlu lebih tegas dan memberi sokongan padu terhadap kempen ini. Pelbagai alternatif yang lebih berkesan juga perlu difikirkan agar kempen ini mencapai matlamat. Jadi sekiranya anda ditawarkan beg plastik dengan harga 20 sen selepas ini, jangan ragu-ragu untuk menolak. Jadikan amalan membawa beg kitar semula jika anda pergi berbelanja.

- Kuala Lumpur, 7 Februari 2011

No comments:

Post a Comment