Tuesday, February 8, 2011

Banduan Dilatih Cari Kerja Menggunakan Portal Jobs Malaysia


Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia akan melatih banduan menggunakan portal Jobs Malaysia bagi mencari pekerjaan selepas tamat tempoh hukuman. Timbalan Menteri berkenaan Datuk Maznah Mazlan berkata program itu bertujuan mempercepatkan mereka mendapat pekerjaan apabila bebas kelak.


"Melalui latihan ini, diharapkan mereka dapat membiasakan diri untuk menggunakannya (Portal Jobs Malaysia) apabila bebas selain mereka boleh ke kiosk portal untuk pendedahan lanjut. "Apabila mereka bebas, sudah ada pekerjaan dan majikan yang menanti mereka," katanya kepada pemberita selepas menandatangani dokumen kerjasama dan pernyataan hasrat yang membolehkan mereka menggunakan portal Jobs Malaysia dengan Jabatan Penjara di Penjara Wanita Kajang, di sini, hari ini.

Selain itu, Maznah berkata sebagai langkah untuk memastikan setiap bekas banduan mempunyai sijil kemahiran, kerjasama dengan badan bukan kerajaan dan pihak tertentu akan dilakukan."Ada juga banduan yang tidak dapat menamatkan kursus apabila sudah bebas.


Oleh itu diharapkan apabila keluar akan ada yang mendidik supaya mereka dapat menamatkan kursus sekaligus memperoleh sijil-sijil kemahiran," katanya. Beliau berkata selain itu, Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji bidang-bidang baru bersesuaian dengan perkembangan teknologi untuk dilatih kepada banduan bagi melengkapkan pakej kemahiran yang ada.


Sementara itu, Ketua Pengarah Penjara Datuk Wira Zulkifli Omar berkata terdapat 35,892 banduan di 39 penjara di seluruh negara termasuk Pusat Pemulihan Akhlak dan Sekolah Henry Gurney. "Setakat ini seramai 9,296 bekas banduan telah bekerja dalam bidang-bidang kemahiran yang dipelajari," katanya.


Zulkifli berkata antara latihan kemahiran yang diberikan ialah dari Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) seperti menjahit, membuat perabot, kimpalan dan masak serta kursus di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) seperti landskap dan tukang paip.


Beliau berkata bagi kursus di bawah SKM dari tahun 1995 hingga 2010, seramai 1,898 banduan mendapat sijil manakala 1,173 banduan menerima sijil bagi kursus CIDB dari tahun 2004 hingga tahun lepas.

- Kajang, 8 Februari 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

No comments:

Post a Comment