Tuesday, February 8, 2011

Media Sosial Semakin Menjadi Pilihan


Platform rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter akan terus memainkan peranan kritikal dalam penganjuran pergerakan sosial dan sivil di negara-negara Arab, terutama di kalangan golongan belia, menurut satu laporan.

Diterbitkan oleh Dubai School of Government (DSG), Laporan Media Sosial Arab (ASMR) berkata penembusan rangkaian sosial mencatatkan peningkatan tinggi
di dunia Arab.

Pertumbuhan tertinggi dicatatkan di kalangan belia berumur 15 dan 29 tahun, yang merupakan satu pertiga daripada jumlah populasi di dunia Arab, katanya.

Laporan itu menyatakan, sebagai contoh, jumlah pengguna Facebook di dunia Arab telah meningkat sebanyak 78 peratus, daripada 11.9 juta pada Januari 2010
kepada 21.3 juta pada Disember 2010, dengan 75 peratus komuniti Facebook di rantau Arab meliputi demografi ini dan memacu pertumbuhannya.

Fadi Salem, felo dan pengarah Program Tadbir Urus dan Inovasi di DSG, berkata apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir menunjukkan kuasa media sosial
dalam menggerakkan pergerakan awam di dunia Arab.

"Bukan satu kebetulan bahawa Tunisia menyaksikan peningkatan mendadak sebanyak 8 peratus dalam jumlah pengguna Facebook pada dua minggu pertama
Januari 2011, ditambah dengan peralihan dalam trend penggunaan daripada sekadar untuk tujuan sosial kepada politik," katanya.

Pasukan penyelidik yang ditugaskan untuk program itu telah memantau trend pertumbuhan dan penggunaan platform sedemikian di dunia Arab pada 2010.

Fadi berkata 225 juta penduduk negara-negara Arab kini adalah di bawah umur 30 tahun, jumlah populasi yang besar ini telah diperkasakan dan memanfaatkan
platform itu dalam segala segi kehidupan mereka.

"Teknologi rangkaian sosial telah menghubungkan aliran maklumat di kebanyakan negara Arab dan meningkatkan pencapaian dan impak maklumat di
kalangan masyarakat dan kerajaan, secara efektif" katanya.

Ditubuhkan pada 2005 dengan kerjasama Harvard Kennedy School, DSG ialah sebuah institusi penyelidikan dan pengajaran mengenai dasar awam di dunia Arab.

- Kuala Lumpur, 8 Februari 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

No comments:

Post a Comment