Sunday, February 6, 2011

Jangan Pinta Kematian Ayahmu!


Konflik antara ibu-bapa dan anak pasti terjadi. Walau bagaimana sabar dan bijaksananya kita mentadbir keluarga, satu ketika masalah ini akan muncul jua. Apatah lagi kita yang masih bermujahadah ini... tetap akan diuji Allah dengan karenah anak-anak. Anak-anak pelbagai wataknya.

Ada yang mudah mendengar, mudah dibentuk. Ada yang lemah, mudah terpengaruh... perlu diperkukuhkan selalu. Ada yang bijak, boleh diharap menjadi pengganti sewaktu diperlukan.

Dalam hal memilih jodoh misalnya, kekadang lebih sukar daripada memilih jodoh anak-anak berbanding memilih jodoh kita sendiri. Begitu juga dalam soal yang lain. Pandangan anak-anak perlu diraikan. Apa yang kita nampak, kekadang ditolaknya... bukan kerana dia derhaka, cuma belum sampai fikir dan congak mindanya ke tempat tuju fikiran kita. Masa perlu dihulurkan, perbincangan perlu diraikan. Jalan kita dahulu mungkin tidak relevan lagi dengan jalannya sekarang.

Apapun, prinsip dan syariat tetap sama. Mutlak sampai bila-bila. Pendekatan menegakannya sahaja yang mungkin berubah dan beza. Kebelakangan ini kerap pula saya menerima rintihan anak tentang saikap ibu-bapa. saya sungguh empati. Betapa kekadang saya juga pekak dan buta daripada rintihan anak sendiri. Kita perlukan hiadayah Allah untuk ketepatan dalam memimpin dan membuat keputusan. Sayang, cinta dan kasih tidak menafikan kebijaksanaan, ketegasan dan keadilan.

Untuk sahabatku di luar sana. Mari berkongsi rasa bersama masalah yang pernah dihadapkan kepada saya ini. Mudah-mudahan, ada kebaikan yang dapat dipelajari dan diteladani oleh kita semua... Kita sebagai ibu-bapa, mahupun kita sebagai anak.

[B]Soalan:[/B]

Saya seorang pelajar di IPTA. Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Apa yang merisaukan saya ialah semenjak akhir-akhir ini, sifat ayah sungguh berlainan. Rupa-rupanya dia mempunyai perempuan lain dalam hidupnya. Apa yang saya tahu, dia telah 'diguna-gunakan' oleh perempuan itu.

Hubungan ayah dengan kami adik beradik semakin renggang. Ayah sering pulang lewat, malah kadang kala tidak pulang langsung. Pelajaran kami adik beradik juga tidak dipedulikan. Sejak itu saya mula membenci ayah. Perasaan benci ini adakalanya menyebabkan saya mendoakan agar bapa saya mati sahaja. Saya tahu perbuatan saya ini salah, tetapi apakah yang harus saya buat dalam situasi ini?

[B]Jawapan:[/B]

Dalam Islam, kita dituntut supaya menghormati ibu dan ayah kita, tidak kira dalam dalam apa jua keadaan sekalipun. Bukan setakat tidak boleh menderhaka, malah jika kita tidak mendoakan kesejahteraan keduanya pun, kita sudah boleh dianggap anak yang derhaka. Itu kalau kita tidak doakan kesejahteraan mereka, jadi bagaimana pula kalau kita doakan kecelakaan ke atas mereka?

Bermakna itu lebih derhaka. Dan jika anda doakan agar ayah anda mati, maka tidakkah itu bermakna bahawa anda lebih jahat daripadanya? Saya akui masalah ini agak sulit ditangani oleh anda atas kedudukan anda sebagai seorang anak yang dikira masih terlalu muda untuk mengetahui punca sebenar masalah... Namun ini tidak bermakna anda tidak boleh memainkan peranan yang penting untuk setidak-tidaknya tidak menambah masalah lagi. Dan saya tegaskan, bahawa mendoakan supaya seseorang mati, (lebih-lebih lagi ayah anda sendiri) bukanlah sebahagian daripada cara menyelesaikan masalah ini.

Anda sendiri yang mengatakan bahawa ayah anda telah 'diguna-gunakan'. Jika itu memang benar patutkan beliau yang dipersalahkan? Ya, kalaulah benar dakwaan anda itu, ini bermakna ayah anda hanya menjadi 'mangsa' bukan pemangsa. Apabila menjadi mangsa, maka ibu dan keluarga anda turut menerima akibatnya. Kalau demikian, ayah anda wajar dibantu, bukan dibenci. Malah mungkin keadaannya lebih buruk dan teruk daripada apa yang anda deritai.

Jadi sekarang, persoalannya ialah bagaimana ingin 'menyelamatkan' ayah anda, bukan bagaimana hendak 'mematikan'nya? Dan sebagai seorang anak, anda punya banyak cara untuk membantunya. Dan inilah yang akan membawa kepada penyelesaian kepada masalah ini secara tidak lansung. Pertama, sekurang-kurangnya anda perlulah membantu diri anda sendiri terlebih dahulu. Yakni dengan cuba melawan perasaan kecewa, marah dan benci yang ada dalam diri anda itu. Stabilkan diri anda dan jalanilah hidup dengan sebaik-baiknya. Anda perlu faham bahawa masalah adalah 'rule of life' – hukum kehidupan yang perlu diterima oleh semua manusia.

Pandanglah ke kiri dan ke kanan anda, dan insafilah semua orang sedang berdepan dengan hukum kehidupan ini. Malah, ada diantara mereka yang lebih sukar lagi daripada anda. Mungkin bapa mereka meninggal dunia ketika mereka masih kecil dengan bilangan adik-beradik yang begitu ramai, ibu pula sakit-sakit. Tetapi anda tidak begitu... anda adalah lebih baik kerana ayah anda masih hidup, ibu anda masih sihat.

Tujuan saya menceritakan hal ini ialah untuk memberi semangat pada diri anda supaya tenang dan berpijak di bumi nyata dalam menghadapi sesuatu masalah. Jangan terlalu mengharap dunia akan jadi seperti yang kita idamkan. Dan jangan marah, jika anda dapati ayah anda atau siapa sahaja tidak bersikap seperti yang anda kehendaki kerana diri anda sendiri tidak bersikap seperti anda sendiri kehendaki... betul tak? Jadi, rasionallah. Hadapi kenyataan dengan sewajarnya.

Hakikat ini akan membantu ayah anda secara tidak lansung. Anda harus menjaga hati dan fikiran anda agar tidak terlalu tekan dengan masalah ini. Janganlah hendaknya tekanan masalah ini mengganggu tugas anda sebagai seorang pelajar IPTA yang menjadi harapan dan sandaran bukan sahaja oleh keluarga anda bahkan oleh masyarakat. Jangan tambah satu masalah lagi dalam keluarga anda... yakni dengan masalah anda sendiri! Cubalah belajar dengan baik. Tumpukan perhatian anda sepenuhnya. Anda sudah dikira dewasa untuk menganggap masalah ini sebagai cabaran bukan halangan.

Tentu anda punya adik-adik yang masih muda, tunjuklah teladan yang baik. Mereka melihat anda, maknanya jika anda 'stabil' dalam menghadapi cabaran ini, maka mereka juga akan mendapat suntekan semangat. Sebaliknya, jika mereka melihat anda goyah, mereka juga akan goyah dan mungkin terus patah.

Hendaklah anda menyedari hakikat bahawa mempunyai seorang ayah yang bermasalah adalah jauh lebih baik daripada tidak ada ayah langsung. Sekurang-kurangnya ayah anda masih pulang juga walaupun kadang-kadang terlewat. Maka sambutlah kepulangan dengan baik, jangan diboikot atau dipulau. Api tidak akan dapat dipadamkan dengan api. Teruskan peranan anda sebagai seorang anak. Dekatilah dirinya... Dan dengan kedudukan anda sebagai seorang siswa saya yakin anda adalah seorang anak yang diharapkannya.

Dia mempunyai rasa bangga, yakin dan hormat terhadap anda. Pergunakanlah kelebihan ini untuk mendekati dirinya. Bila sudah ada interaksi maka mudahlah anda berkomunikasi seterusnhya mula menyelami masalahnya. Insya-Allah, nanti anda mendapat gambaran masalah ini dengan lebih luas dan jelas. Nanti anda akan tahu apakah punca dan kenapa ia berlaku. Siapa pemangsa, kenapa ayah anda boleh terjerat dan apa umpan yang digunakan dalam keadaan ini? Sekurang-kurang ini akan menghilangkan kebencian anda terhadapnya kalau tidakpun menyelesaikan masalah ini secara keseluruhan.

Semua itu akan membetulkan persepsi seterusnya sikap anda terhadap ayah anda. Dan barulah nanti anda tahu benar-benar apakah ruang lingkup masalah itu. Apakah sebab dan kesannya. Ingatlah, masalah yang sudah kita tahu, kata pepatah, adalah separuh selesai. Ya, setakat ini saya kira anda sudah faham bahawa saya ingin mengajak saudara supaya menyelesaikan masalah ini berdasarkan sumber yang ada pada diri anda sendiri. Lingkungan penyelesaian yang cuba saya ketengahkan ialah... bertindaklah dengan kuasa dan pengaruh yang ada pada diri anda sendiri.

Dalam konteks ini, saya ingin mengingatkan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda bahawa doa merupakan senjata yang ampuh bagi orang mukmin. Di sini anda telahpun mempunyai 'senjata' untuk menangani masalah ini. Cuma senjata itu nampaknya sudah tersalah guna. Senjata itu digunakan untuk menikam ayah anda, yang sebenarnya turut menikam diri anda sendiri. Daripada anda berdoa kematian ayah, bukanlah lebih tepat berdoa untuk keselamatannya?

Doakan ayah anda dari dianiaya orang, 'diguna-gunakan' dan sebagainya. Ingatlah, doa anak yang soleh terhadap ayahnya pasti dimakbulkan Allah sama ada ayah itu masih hidup atau mati. Sama ada ayah itu masih siuman atau telah 'diguna-guna'. Jika benar ayah anda diguna-gunakan, bermakna dia telah disihir. Hanya kuasa Allah sahaja yang mampu melawan kuasa jahat yang didalangi oleh syaitan itu. Oleh itu apa yang mampu anda lakukan ialah berdoa, sembahyang hajat dan bacalah ayat suci al-Quran serta beramallah dengan niat melawan sihir yang sedang membelenggu ayah anda itu. InsyaAllah, dia akan sembuh semula dan menjalankan tanggung jawab sebagai ketua keluarga.

Perasaan benci tidak pernah menyelesaikan masalah. Bagaimana anda hendak mengikhlaskan diri berdoa untuk ayah, sedang perasaan benci ada dalam diri anda? Wajar saya ingatkan, perasaan benci mesti terlebih dahulu dibuang sebelum anda berdoa untuk kesejahteraannya. Doa yang dipanjatkan berserta rasa benci tidak akan diperkenankan.

Rasulullah saw pernah bersabda bahawa doa seorang ibu terhadap anaknya adalah doa yang paling makbul. Ketika ditanya mengapa? Rasulullah saw menjawab, "kerana ibu paling menyayangi anaknya." Oleh itu saya mengingatkan , sayangilah ayah anda walau apa jua keadaannya. Berbuat baik terhadap ayah bukanlah kerana kebaikan yang telah, sedang dan akan dicurahkannya tetapi kerana itu perintah dari Allah. Jika anda benar-benar cintakan Allah, maka berbuat baiklah kepada ibu bapa tanpa melihat apa jua keadaannya.

Permasalahan orang tua, lebih manis jika orang tua yang menyelesaikannya. Anda terlalu muda untuk menangani masalah ini secara langsung. Ibu, bapa saudara serta sanak-saudara yang lain mungkin juga sedang memikirkan bagaimana menyelesaikan masalah ini. Berilah mereka masa. Peranan anda pula ialah apabila sesekali ayah balik, tunjukkanlah kemesraan tanpa apa-apa perubahan. Ceritakan masalah kepadanya tanpa mendesak-desak apalagi menggugut. Ini supaya dia rasa dihormati sebagai ayah terhadap anak-anak-anaknya, Jadi andalah terlebih dahulu mesti menunjukkan yang anda masih anak yang menyayanginya.

Mungkin dengan cara ini akan menyedarkannya bahawa kehadiran seorang 'perempuan' lain dalam hidupnya boleh dan akan memungkinkan dia kehilangan anak-anak yang disayanginya. Tidak mustahil selepas itu nanti, dia yang sebenarnya dalam dilema terpaksa membuat pilihan...apakah memilih anak-anaknya atau memilih 'perempuan' itu. dan jika anda telah menyayangi, mengasihi dan mendoakan kesejahteraannya, saya tidak teragak-agak lagi buat menyatakan bahawa ayah anda akan memilih anda.

Anak ku,

Barangkali ayah kita bukan seorang yang baik, tetapi sebagai anak kita mesti dapat melihat dan menghargai kebaikan ayah kita!
-Artikel iluvislam.com-

No comments:

Post a Comment