Wednesday, February 16, 2011

Sebelum Kita Tua


"Sabar pakcik..sabar..," kata seorang pelajar dari CUCMS, sambil mengesat jejeran air mata (dan air yang keluar dari mulut) pakcik ini.

Pakcik ini baru berumur 51 tahun, dan menghidap strok sejak 2 tahun yang lalu. Dahulu, beliau merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya. "Bisnes sana sini. Sekarang apabila jadi begini, keluarga dan kawan semua abaikan. Seorang kawan Cinanya sahaja yang selalu melawat pada tiap-tiap minggu."

Lapan orang anaknya, termasuk isterinya pernah sekali datang melawat, tetapi apabila melihat keadaannya yang tidak dapat bergerak, malah kepala pun tidak dapat digerakkan, mereka pulang dan tidak datang lagi sampailah sekarang.

"Pakcik ini menangis kerana dia terharu dikunjungi orang lain yang bukan anaknya, yang langsung tiada talian kekeluargaan. Di sini mereka bukannya mahu duit anda, apa yang mereka mahu hanyalah kasih sayang" pesan Abdullah Noel, Naib Pengerusi yang juga Pengasas Pusat Jagaan Siti Nor Aini.

Emas yang Tidak Berharga

Ada seorang penghuni di sini mempunyai 13 orang anak, tetapi tiada seorangpun yang sanggup menjaganya. Apakah terlalu susah untuk menjaga seorang bapa, sehingga terpaksa dihantar ke pusat jagaan (baca: rumah orang-orang tua)? Apakah terlalu mahal kosnya menjaga seorang bapa, berbanding kos seorang bapa menjaga anak-anak?
Be it 1, be it 10, or be it 13, kalau anak tidak punya rasa tanggungjawab, semuanya menjadi susah.
Khairul Amil, Naib Presiden iLuvislam.Com

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun) [Al-Israa, ayat 23]

Pusat Jagaan Siti Nor Aini

iLuvislam.Com dan Chapters Images telah memulakan Kempen Cycling4Charity (C4C) semasa ziarah pertama ke Pusat Jagaan Siti Nor Aini di Kajang, dengan disertai oleh Keluarga Encik Ahmad Fakri dan Puan Jamilah serta pasukan Young Mercy dari CUCMS.

Pusat Jagaan Siti Nor Aini ditubuhkan pada tahun 2005, oleh Pengasasnya, Abdullah Noel dan isterinya Siti Nor Aini, yang pada ketika itu mereka belum memeluk Islam. Mereka sekeluarga memeluk Islam pada tanggal 09.09.09.

"Saya menghidap minor stroke. Bila terlantar di hospital dan melihat ramai pesakit yang ditinggalkan keluarga, saya merasakan ini adalah peluang untuk orang sakit seperti saya gets patience from patients," kata Abdullah Noel.

Sehingga berita ini ditulis, pusat jagaan ini dihuni oleh 26 orang-orang tua, yang semuanya adalah lelaki, dan dijaga sepenuhnya oleh keluarga Abdullah Noel. Dan sehingga ini juga, selain sumbangan persendirian, Pusat Jagaan Siti Nor Aini hanya menerima sumbangan RM10000 untuk untuk setiap 6 bulan daripada Pusat Zakat Selangor. Dan kos operasinya pula mencecah RM15000 sebulan.

Bagi individu mahupun organisasi yang bersedia menyumbang untuk Pusat Jagaan Siti Nor Aini, sila hubungi Encik Abdullah Noel di nombor 010-253-6750. Untuk maklumat lanjut berkenaan pusat jagaan ini, sila lawati www.sitinoraininursinghome.com .

No comments:

Post a Comment