Friday, February 25, 2011

As-Syahid Abdul Qadir Audah (Hakim yang Syahid: 1324-1374 hijrah/ 1906-1954)


As-Syahid Ustaz Abdul Qadir Audah merupakan pakar undang-undang dan hakim yang berkeahlian dalam bidang Fiqh. Buku beliau yang terkenal, at-Tasyri’ al-Jina’i fil Islam Muqarrinan bil Qanun al-Wadhi’ telah menjadi fenomena dan mencipta perubahan yang besar pada pemikiran kaum intelektual di Mesir kerana buku ini telah memperlihatkan keunggulan Undang-undang syariat atas undang-undang konvensional. Ianya telah menjadi rujukan ulama’, ahli fikah, pengamal undang-undang dan pensyarah di pelbagai universiti.

Ustaz Abdul Kadir Audah merupakan tokoh gerakan Islam kontemporari, Daei Islam di zaman moden dan pemimpin besar Ikhwanul Muslimin. Kata-katanya didengar semua orang, mempunyai kedudukan yang tinggi pada Ikhwanul Muslimin dan rakyat Mesir secara umum. Beliau berperanan penting dan berpengaruh dalam perjalanan pelbagai peristiwa di Mesir setelah syahidnya Imam Hasan al-Banna pada 12 Februari 1949. Beliau memikul amanah besar sebagai wakil am Ikhwanul Muslimin bersama Mursyidul Am kedua, Ustaz Hasan al-Hudaibi. Ketika itu juga beliau mengundurkan diri daripada profesion kehakiman untuk menumpukan tugas dakwah Islam.

Ustaz Abdul Qadir Audah memiliki kedudukan khusus di hati ahli-ahli ikhwan, mendapat kecintaan, kehormatan, dan kemuliaan. Saya sebagai penulis di sini juga amat menyanjungi pengorbanannya di dalam menjalankan dakwah fisabilillah. Ustaz Abdul Qadir Audah termasuk orang-orang yang paling dicintai oleh Ustaz Imam As-Syahid Hasan Al-Banna dan namanya sering disebut-sebut di hadapan ahli-ahli ikhwan dengan bangga. Beliau juga amat rapat dengan Ustaz Hasan Al-Hudaibi, Mursyidul Am kedua Ikhwanul Muslimin.

Ustaz Abdul Kadir Audah termasuk orang-orang Ikhwan yang menyokong Revolusi 23 Julai 1952 dan berbaik sangka kepada Gamal Abdul Nasir dan memandang baik tindakannya kerana dia adalah perwira dari Ikhwanul Muslimin yang wajib diberi dukungan. Ini kerana beliau mengira Gamal Abdul Nasir merealisasikan kebaikan yang diisytiharkan di depan rakyat. Sokongan beliau ini telah mengundang kemarahan ramai Ikhwan dan para pecintanya. Namun setelah terserlah niat jahat Gamal Abdul Nasir, beliau menjadi orang yang paling lantang menentang segala pembohongan dan kezalimannya.

Ketika terjadi perselisihan antara Ikhwanul Muslimin dengan Gagasan Perwira Revolusi iaitu Gamal Abdul Nasir, Gamal Abdul Nasir telah meluahkan permusuhannya, pembohongannya, mengingakari semua janji dan persepakatan yang dibuat olehnya, mengkhianati amanah serta mengepung Ikhwanul Muslimin. Ustaz Abdul Qadir Audah ketika itu sebagai Wakil Am Ikhwanul Muslimin mengeluarkan manifesto bersejarah yang dpanggil Hadza Bayanu linnaas yang menyatakan menolak semua dakwaan Gamal Abdul Nasir, pembohongan, pendustaan, dan tuduhannya.

As-Syahid Abdul Qadir Audah menjalankan aktiviti dakwah dan tanggungjawabnya di dalam Jemaah Ikhwan Al-Muslimin sehinggalah beliau syahid di tiang gantung pada 7 Disember 1954 atas arahan Gamal Abdul Nasir yang sangat dendam kepada Ustaz Abdul Qadir Audah kerana kedudukannya dan kekuatan peribadi As-Syahid. Abdul Qadir Audah dijatuhkan hukuman mati bersama rakan-rakannya yang mulia iaitu: As-Syahid Muhammad Farghali, As-Syahid Yusuf Thal'at, As-Syahid Ibrahim Ath-Thayyib, As-Syahid Mahmud Abdul Latif, dan As-Syahid Hindawi Duwair.

Pelaksanaan hukuman gantung terhadap keenam-enam Syuhada' ini berlangsung satu demi satu di penjara Mesir selama 3 jam. Pada hari itu, kebencian dan kemurkaan memenuhi penjuru dunia Islam. Gamal Abdul Nasir secara zalim telah memilih untuk membunuh secara zalim keenam-enam pejuang Islam atas dasar kebencian. Ketika Penguasa mengiringi Abdul Qadir Audah bersama rakan-rakan syuhada' yang lain untuk dijatuhkan hukuman mati, Hakim As-Syahid Ustaz Abdul Qadir Audah maju ke tiang gantungan dengan berani dan hatinya mendekatkan diri kepada Allah dengan menerima takdirnya. Perkataan terakhir yang beliau ucapkan sebelum pelaksanaan hukuman mati ialah: "Darahku akan menjadi laknat atas pemimpim-pemimpin revolusi".

Allah mengabulkan doa As-Syahid Abdul Qadir Audah dan tiada seorang pun di antara orang yang zalim ini selamat dari seksaan Allah di dunia. Mereka mengalami tragedi secara berturut-turut. Gamal Salim, yang merupakan Ketua Mahkamah telah menderita penyakit Saraf. Saudara Gamal Salim iaitu Shalah Salim juga dihukum Allah dengan ginjalnya tidak berfungsi hinggakan air kencing tertahan serta mati keracunan. Syamsu Badran dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Kaunselor Abdul Hakim Amir mati bunuh diri. Hamzah Basyuni terlanggar trak hingga tubuhnya koyak-rabak bertebaran di tanah. Al-Askari Ghunaim ditemukan mati di tengah kebun. Ash-Shaul Yasin pula telah diserang untanya sehingga retak tulangnya dan mati. Dan banyak lagi pemimpin-pemimpin yang zalim dihukum Allah atas kezaliman mereka. Kita lihatlah Allah menunjukkan Kekuasaan-Nya terhadap mereka yang berani melakukan kezaliman. Gamal Abdul Nasir yang masih hidup, maka kehidupannya dipenuhi dengan ketakutan dan keresahan tidak kira dalam lena atau terjaga. Bahkan kuburnya digenangi aliran air. Semua ini patut menjadi iktibar bagi orang-orang yang menginginkan kezaliman agar bertaubat kepada Allah.

Kita lihatlah dengan mata kepala kita akan ayat-ayat Allah pada diri orang-orang yang berbuat zalim keji kepada Ikhwanul Muslimin. Raja Faruq yang memerangi Ikhwan pada tahun 1948, akhirnya dipecat dan diusir pada tahun 1952. Gamal Abdul Nasir yang menindas Ikhwan pada 1954, yang terjadi setelah itu ialah peperangan hari Selasa terhadap Mesir oleh Israel yang menduduki Sina' dan Port Said. Mereka (pihak Mesir) menyerang lagi pada tahun 1965 dan hal ini menjadi sebab kekalahan bagi mereka pada tahun 1967 yang menyebabkan kematian Abdul Hakim Amir. Dan setelah itu disusuli dengan kematiannya.

Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada orang alim, aktivis Islam, hakim yang adil, Ahli Fiqh, mujahid, dan As-Syahid Ustaz Abdul Qadir Audah agar mengumpulkan kita semua dengan para Nabi, para Solihin,para Siddiqin, dan Syuhada'.

No comments:

Post a Comment