Saturday, February 19, 2011

Sumber Hukum Tidak Sahih Beri Kesan Terhadap Ibadah


Pelbagai sumber hukum yang mudah diperolehi dan tidak ditapis serta tidak dapat ditentukan kesahihannya boleh memberi kesan terhadap pelaksanaan ibadah haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Ismee Ismail berkata lebih membimbangkan pelaksanaan ibadah haji dengan ketiadaan ilmu akan menghalang jemaah daripada memperoleh haji mabrur.

"Penyeragaman dan penyelarasan hukum ini amat perlu supaya tidak timbul keraguan kepada bakal-bakal haji," katanya ketika berucap pada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-27 di sini, hari ini.

Muzakarah itu dirasmikan oleh Pengerusi TH Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamad Nor yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Muzakarah yang bertemakan "Ilmu Pemangkin Kemabruran Haji" selama tiga hari bermula hari ini dihadiri 332 peserta dari Malaysia dan lapan peserta dari negara serantau iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Ismee berkata antara objektif muzakarah itu adalah untuk menyeragam dan menyelaras penyampaian hukum-hukum berkaitan ibadah haji, umrah dan ziarah.

Selain itu, katanya muzakarah itu juga bertujuan meningkatkan keberkesanan bimbingan ibadah haji kepada jemaah haji. Beliau berkata kaedah penyampaian dan bimbingan perlu dipertingkatkan dari masa ke masa agar selari dengan kehendak semasa.

"Adalah perlu para pembimbing ibadah haji menyampaikan ilmu mengikut apa yang telah diputuskan oleh muzakarah haji dengan pendekatan dan nada yang sekata," katanya.

- George Town, 19 Februari 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

No comments:

Post a Comment