Tuesday, February 1, 2011

Muhasabah Seorang Penulis


Alhamdulillah, tahun 2010 berlalu dengan pelbagai rencah rasa. Ada suka, ada duka, ada gembira dan tidak kurang juga yang lara. Namun dalam satu industri yang dianggap antara yang tertua di dunia ini yakni industri perbukuan, ianya seakan memperlihatkan satu sinar dan anjakan yang amat positif.

Kelahiran penulis-penulis baru dalam janru kreatif mahupun bukan kreatif walaupun tidak boleh dimetaforakan sebagai cendawan selepas hujan, akan tetapi cukup bagi memeriahkan industri yang sangat berprestij ini. Kelahiran para penulis baru ini menggambarkan bahawa di sana terdapat peningkatan dalam budaya dan selera membaca masyarakat masa kini di negara kita.

Antara buktinya adalah dapatan yang kita perolehi dari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (PBAKL) yang berlangsung sekitar bulan April tahun lepas dan Pesta Buku Kanak-Kanak Kuala Lumpur (PBKKL) yang julung-julung kalinya diadakan selepas negara kita merdeka selepas 53 tahun adalah, di sana ada keghairahan di wajah-wajah para pengunjung terhadap buku dan jumlah buku yang dibeli oleh mereka serta jumlah jualan yang saban tahun semakin meningkat.

Oleh yang demikian, mitos yang mengatakan bahawa menjadi penulis adalah satu kerja picisan yang tidak punya masa depan yang baik adalah tidak benar sama sekali. Sekali lagi tabu ini dicarikkan dengan bukti yang sudah dipamerkan oleh sebuah syarikat penerbitan buku bahasa Melayu, PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Bagi tahun 2011, dijangka beberapa orang penulis akan menerima nilai royalti yang mencecah RM200k berdasarkan nilai jualan buku tulisan mereka yang melebihi RM1 juta pada tahun 2010. Ini sudah cukup menunjukkan betapa buku-buku ini jika dipakej dan dipasar dengan cara yang betul serta sampai kepada khalayak masyarakat, buku-buku tersebut pasti akan laku. Nyatalah impian bagi menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat membaca bukan omongan kosong lagi kerana kita sedang menuju ke arah sana.

Namun dalam keghairahan menjadi penulis, terlebih dahulu para penulis mestilah tahu dan faham apakah yang menjadi keutamaan mereka tatkala berkarya. Walaupun sudah terbukti bahawa dengan menulis mereka mampu menjana pendapatan yang lumayan, dalam masa yang sama adalah menjadi kesalahan apabila mereka menjadikan tujuan habuan ringgit sebagai matlamat utama. Kerana dalam setiap tulisan punya tanggungjawab yang besar perlu ditanggung oleh penulisnya di dunia dan akhirat kelak. Apatah lagi sebagai khalifah Allah di muka bumi yang mempunyai taklifan dalam menyebarkan dakwah kepada Islam yang syumul.

Oleh yang demikian, suka saya memuhasabahkan diri sendiri serta rakan penulis sekalian dengan memetik tulisan Dr Aidh Abdullah al-Qarni, seorang penulis dan pendakwah yang cukup terkenal dengan buku mega best-seller-nya yang berjudul La Tahzan. Dalam buku kecilnya yang dialih bahasa dan diterbitkan oleh Al-Hidayah Publication, beliau meletakkan 10 kriteria yang menjadi karakter seorang penulis yang berjaya iaitu:

* Tidak akan menulis sebelum benar-benar menguasai masalah yang akan ditulis.

* Mengumpulkan idea-idea yang berserakan, meringkaskan ungkapan-ungkapan yang panjang, menyusun ciri-ciri penting dengan rapi, cermat dan kemudian menjelaskannya dengan terang. Inilah tujuan menulis yang sebenarnya.

* Menghayati apa yang ditulis, tidak terlalu singkat hingga membingungkan dan tidak terlalu berjela-jela sehingga membosankan.

* Menggunakan ungkapan yang baik, kata-kata yang mudah dicerna dan menjauhi kata-kata asing yang kurang dikenali pembaca.

* Menilai apa yang telah ditulis, merujuk menilai kepada orang yang lebih tahu, membincangkannya dan menguji analisa-analisanya. Setelah itu, baru menulis lagi dari awal.

* Mencari masalah-masalah yang belum banyak dibahas dan juga diperlukan orang ramai.

* Hanya menulis masalah-masalah yang sesuai dengan bidang keilmuan. Ertinya, jangan samapai menambah masalah-masalah yang tidak dikuasai. Oleh kerana perkara tersebut akan memalukan diri sendiri.

* Membuang daripada tulisan segala macam kebohongan, kesalahan, kata-kata kotor, cacian dan kata-kata yang menyakiti orang lain.

* Tidak mudah terpesona dengan apa yang ditulis atau berasa ujub dengan hasil karya sendiri. Sebab, itu adalah ujian.

* Menyebutkan nama-nama orang yang dinukil atau dikutip pendapatnya. Tidak mencuri atau menghapuskan karya orang lain. Allah berpesan dalam Surah Ali-Imran ayat 161 yang bermaksud: "Barang siapa yang berkhianat, maka pada hari kiamat dia akan datang membawa apa yang dikhianatinya itu."

Justeru, amat wajar kepada mereka yang sudah dan bakal menjadi penulis menjadi 10 kriteria ini sebagai sukatan dalam menjalankan amanah sebagai penulis. Samada menulis novel, cerpen, puisi, artikel, esei, rencana dan sebagainya.

Semoga yang kita tulis memberikan manfaat kepada ummah dan seterusnya menjadi saham di akhirat nanti sementelah Rasulullah pernah berpesan bahawa antara amalan yang akan terus menjana pahala selepas kita mati selain daripada doa anak soleh dan sedekah jariah yang kekal, ianya adalah ilmu yang bermanfaat.

Maka sebagai penulis, kriteria itulah yang wajar menjadi matlamat utama kita, menyampaikan ilmu dan semestinya ilmu yang membawa diri dan ummah kepada Allah taala. Dalam konteks ini kita perlu terus menulis bagi memastikan kelangsungan dakwah dengan penulisan ini terus mekar dalam masyarakat dan ummah.

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment