Melakukan kebaikan terhadap alam sekitar yang menjadi elemen utama alam ini adalah sebahagian daripada tuntutan untuk menjadi hamba yang bertakwa dan diredhai Allah.
Jaga Alam Sekitar
Sebagai orang Islam, kita perlu memahami bahawa segala usaha untuk memelihara atau membaik pulih alam sekitar adalah sama halnya dengan usaha menjaga agama. Ini adalah kerana segala kemungkaran dan dosa mencemari dan memusnahkan alam sekitar sebenarnya mengganggu intipati hidup beragama kerana secara tidak langsung menodai kewujudan manusia di muka bumi ini.
Perbuatan merosakkan alam sekitar adalah sama seperti menafikan sikap adil dan ihsan, sedangkan kedua-dua sikap ini merupakan perintah Allah yang perlu dilaksanakan.
Perbuatan mencemar dan merosakkan alam sekitar juga menodai fungsi kekhalifahan yang telah dibebankan kepada manusia. Ini kerana bumi bukan milik manusia untuk dia berbuat sesuka hati tetapi bumi ini adalah milik Allah yang dipinjamkan kepada manusia yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah di atasnya.
Oleh hal yang demikian manusia perlu ingat bahawa ia dilantik sebagai khalifah Allah di atas muka bumi yang juga milik Allah. Maka tidak sepatutnya manusia bertindak seperti raja yang seolah-olah tidak akan diminta pertanggungjawabkan di atas segala yang telah dikerjakannya.
Ilmu etika atau akhlak (tasawuf) adalah satu bidang ilmu yang sangat berkait rapat dengan alam sekitar.
Sememangnya kod etika pemeliharaan dalam bahasan etika atau akhlak dianggap sebagai salah satu rukun tasawuf.
Sebagaimana definisi oleh golongan tasawuf bahawa 'kejujuran berserta kebenaran, dan etika (akhlak) berserta ciptaan,' sudah pasti alam sekitar adalah sebahagian daripada ciptaan yang dinyatakan tersebut.
Allah s.w.t juga telah berfirman di dalam al-Quran:
إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ
"Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya (berbuat kebaikan)"
(Surah An-Nahl 16: Ayat ke 128)
No comments:
Post a Comment