SATU-SATUNYA mukjizat Nabi Muhammad yang kekal hingga ke hari ini ialah al-Quran al-Karim. Nabi Muhammad SAW tidak meninggalkan dinar dan dirham, tetapi meninggalkan al-Quran dan sunnahnya.
Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, jika kamu berpegang kepadanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al-Quran dan sunnahku". (riwayat Imam Malik)
Generasi pertama Islam iaitu para sahabat ra menjaga al-Quran dengan sempurna. Mereka berusaha memahami makna al-Quran, membaca, menghafaz dan melakukan segala ajaran al-Quran.
Bagi menjamin generasi kemudian dapat menghayati al-Quran, mereka telah mengambil satu tindakan yang tepat dengan membukukan al-Quran.
Kehebatan al-Quran yang dijamin penjagaannya oleh Allah SWT telah terbukti dengan ramainya umat Islam menghafalnya.
Mereka menghafal al-Quran dengan niat yang ikhlas hanya kerana Allah bukan mengharap balasan atau ganjaran dari makhluk. Di mana sahaja ada umat Islam di situ akan ada kelas-kelas al-Quran atau kelas tahfiz al-Quran.
Satu kisah yang selalu diceritakan oleh seorang pengarang kitab-kitab Qiraat yang masyhur iaitu Sheikh Abdul Fattah al-Qadi dalam siri-siri ceramahnya berkaitan kelebihan al-Quran.
Beliau mengesahkan tentang seorang lelaki beragama nasrani yang mengajak kawannya yang beragama Islam menghadiri kelas pengajian kitab agama mereka.
Lalu kawannya yang beragama Islam bertanya apakah kelebihan kitab agama Nasrani ini? adakah ia dihafal oleh penganut peringkat bawahan, pertengahan atau paling tidak pun pendeta mereka?
Lelaki Nasrani menjawab, kitab agama mereka tidak dihafal oleh penganut peringkat bawahan, pertengahan mahupun pendeta tetapi hanya dibaca sahaja.
Penganut Islam menjawab, kalau begitulah keadaannya bagaimana aku boleh hadir mendengar kuliah agama kamu dan meninggalkan al-Quran sedangkan al-Quran dihafal oleh umat Islam dengan jumlah yang ramai di seluruh dunia bermula di peringkat kanak-kanak, orang dewasa dan alim ulamanya.
Di Malaysia, kelas menghafaz al-Quran yang pertama ditubuhkan pada tahun 1965 bertempat di Masjid Negara di bawah arahan almarhum Tunku Abdul Rahman.
Guru yang diamanahkan untuk mendidik generasi pertama menghafaz al-Quran di Malaysia ialah Datuk Mohamad Nor Ibrahim iaitu bekas Mufti Kerajaan Negeri Kelantan.
Bermula dari Masjid Negara pada 1965, pusat tahfiz al-Quran terus berkembang. Kini, setiap negeri di Malaysia mempunyai maahad tahfiz al-Quran yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Selain itu, pada hari ini juga banyak maahad tahfiz yang ditubuh dan diurus tadbir oleh pihak persendirian dan mendapat sokongan masyarakat setempat.
Sesungguhnya menghafaz al-Quran adalah satu tuntutan dalam Islam. Paling tidak pun, umat Islam hendaklah menghafaz surah-surah yang pendek untuk dibaca dalam sembahyang.
Semoga kita tidak termasuk dalam kalangan orang yang tidak ada langsung dalam jiwanya walaupun sedikit al-Quran dan terselamat dari perumpamaan yang disabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya orang yang tidak ada langsung dalam jiwanya al-Quran seumpama rumah yang runtuh". (riwayat Termizi dan Ahmad)
No comments:
Post a Comment