Thursday, April 28, 2011

Samudera Cubaan Dunia





Daripada Abu Hurairah ra berkata; Rasulullah saw bersabda: "Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah swt berfirman kepada mereka, "Apakah kamu tertipu dengan kelembutan Ku? Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku? Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendikiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)". (Hadis Riwayat Tarmizi)

Dunia adalah tempat untuk manusia beramal dalam sekian waktu yang ditentukan dan bukanlah tempat untuk bermukim, bersenang lenang sepanjang hayat kerana kedudukan seseorang itu di dunia ini adalah seperti pedagang atau pengembara yang akan pulang ke kampung halaman tempat asalnya iaitu alam akhirat yang kekal abadi.

Golongan yang dimaksudkan di dalam hadis ini ialah orang­-orang yang menjadikan agama sebagai alat untuk mendapat keuntungan dunia. Mereka rela menggadaikan agama untuk meraih keuntungan dunia. Dan apabila bercanggah kepentingan dunia dengan hukum syarak mereka berani mengubah hukum Allah dan memutarbelitkan kenyataan. Mereka juga pandai mengemukakan hujah-hujah yang menarik dan alasan­-alasan yang memikat hati, tetapi sebenarnya hujah-hujah dan alasan tersebut hanya semata-mata timbul dari kelicinan mereka memutarbelitkan kenyataan. Mereka menipu orang lain dan juga menipu diri mereka sendiri.

Mereka akan dilanda kekusutan pemikiran yang sangat tajam sehingga orang alim yang banyak pengalaman pun akan kehabisan akal dan buah fikiran. Mereka menghadapi masalah-masalah yang meruncing dan akan menemui jalan buntu dalam permasalahan yang dihadapi.

Kalau kita perhatikan dunia Islam hari ini, keadaannya tidak begitu jauh daripada gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Ulama yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ulama su' yang menjual agama mereka dengan harta benda dunia, bukan ulama akhirat yang mewarisi tugas para Nabi dan yang meneruskan penyebaran dakwah dari masa ke semasa. Ulama jenis ini bercakap menggunakan ayat suci al-Quran semata-mata demi kepentingan sendiri, selain sanggup memutar belit ayat suci Allah SWT bagi meraih keuntungan dunia.

Dunia adalah bagaikan lautan dan kapal yang belayar di atasnya, keadaan laut penuh ujian dan cubaan, tetapi kapal tetap perlu terus berlayar dan mengambil keperluan yang sewajarnya, nakhodanya perlu cekap meneruskan haluan tepat ke destinasi, dan panduannya telah ada dari pencipta Alam ini. Janganlah biarkan kapal itu tenggelam dan janganlah kita biarkan kapal itu hanyut tanpa tujuan dan haluan. Wajiblah kita menetapkan haluan dan terus menuju ke destinasi abadi, boleh kan?

وَهُوَ ٱلَّذِى سَخَّرَ ٱلۡبَحۡرَ لِتَأۡڪُلُواْ مِنۡهُ لَحۡمً۬ا طَرِيًّ۬ا وَتَسۡتَخۡرِجُواْ مِنۡهُ حِلۡيَةً۬ تَلۡبَسُونَهَا وَتَرَى ٱلۡفُلۡكَ مَوَاخِرَ فِيهِ وَلِتَبۡتَغُواْ مِن فَضۡلِهِۦ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ
Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya dan supaya kamu bersyukur
(Surah An-Nahl 16 : Ayat ke 14)

No comments:

Post a Comment