Soalan:
Dalam sebuah hadis, ada seorang sahabat nabi yang telah bersedekah dan sedekahnya telah diterima oleh orang kaya. Sungguh pun demikian, malaikat telah mendoakan kepada lelaki itu, mudah-mudahan sedekahnya akan menginsafkan si kaya agar dia juga turut bersedekah.
Jadi, apakah hukumnya jika seseorang itu memberi zakat kepada orang kaya. Adakah sah zakatnya? Bagaimana pula amalan di Selangor khususnya?
Jawapan:
Terima kasih kerana bertanya. Memang benar, ada sebuah hadis yang menyatakan kisah sedemikian. Hadis tersebut dikeluarkan oleh Imam Muslim dan diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.
Walau bagaimanapun, kita hendaklah membezakan di antara sedekah dan zakat. Berdasarkan maksud hadis, sedekah di dalam kisah ini lebih merujuk kepada sedekah sunat dan bukannya zakat.
Sementara itu, sedekah umumnya adalah sunat; sedangkan zakat adalah amalan fardu atau wajib. Menurut fuqaha', amal ibadah hendaklah menepati syarat dan rukunnya, baharulah amal ibadah itu dikira sah dan diterima di sisi Allah SWT.
Jika rukun dan syarat sahnya tidak dipatuhi, maka ia membawa kepada implikasi batal atau fasid (rosak) di sisi Allah SWT.
Menyentuh isu zakat, rukunnya adalah niat menunaikan zakat dan keduanya berlaku perpindahan milik harta daripada pembayar zakat (muzakki) kepada asnaf zakat (mustahiq).
Oleh itu, jika harta zakat itu tidak sampai kepada salah satu daripada lapan asnaf, ia membawa kepada tidak sahnya zakat tersebut.
Berbalik kepada persoalan utama, bolehkah zakat diberikan kepada orang-orang kaya? Adakah orang kaya termasuk ke dalam asnaf zakat? Hal ini memang menjadi perdebatan umum dalam kalangan masyarakat.
Ini kerana, lazimnya sedekah dan zakat memang sering dikaitkan dengan fakir dan miskin.
Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW ada menukilkan sebuah hadis yang mafhumnya: "Tidak ada bahagian zakat bagi seorang yang kaya dan seorang yang kuat yang mampu berkerja". (riwayat Abu Daud)
Sayid Sabiq di dalam kitabnya Anasir Kekuatan Di Dalam Islam, ada menukilkan sebuah kisah Nabi SAW dengan seorang pemuda Ansar yang diajar mencari kayu sehingga mampu berdikari dan tidak sekadar mengharapkan simpati demi sesuap makanan.
Ini menunjukkan Islam tidak meraikan orang yang kaya dan mampu berkerja; dengan suka meminta-minta.
Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW juga ada membuat pengecualian, bahawa zakat masih boleh diberikan kepada orang-orang kaya jika mereka memerlukan zakat, sesuai dengan kondisi diri mereka.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad dapat dijadikan sandaran yang mafhumnya: "Zakat tidak dihalalkan bagi orang kaya kecuali lima golongan ini, iaitu: (1) amil; (2) orang yang memberi zakat dengan hartanya sendiri (mualaf); (3) orang yang ikut berperang di jalan Allah SWT; (4) orang yang berhutang dan (5) orang miskin yang menerima zakat daripada seorang kaya (dan) kemudian dia menghadiahkannya kembali kepada orang kaya itu."
Para fuqaha' misalnya Imam Syafie dan Hambali menyatakan, dalil di atas membolehkan lima golongan kaya ini menerima zakat demi kemaslahatan diri mereka.
Ini kerana, masing-masing daripada lima golongan itu memerlukan zakat bukanlah atas kapasiti kemiskinan; melainkan memang perlu diberikan zakat atas tujuan tertentu.
Amil misalnya, diberikan zakat sebagai imbuhan sesuai dengan usaha dan kerja keras mereka menguruskan zakat dan para asnaf lainnya.
Mualaf boleh mendapat zakat, justeru ia bertujuan melunakkan hatinya agar lebih mendekati Islam dan dengannya ia mampu menarik lebih ramai kepada Islam.
Orang yang ikut berperang diberi zakat, kerana itu adalah tugas mulia di jalan Allah (fisabilillah) dan mereka tidak lagi sempat mencari rezeki. Orang yang berhutang pula dibantu demi meringankan beban dan mengelakkan mereka menjadi fakir dan miskin kerana hutangnya.
Orang yang dipulangkan zakatnya sebagai hadiah, sudah pasti lebih berhak menikmatinya kerana namanya pun bukan lagi zakat tetapi hadiah.
Kesimpulannya, golongan kaya masih boleh menerima bantuan zakat jika mereka termasuk dalam kategori yang diizinkan ini.
Walau bagaimanapun, dalam konteks amalan semasa di Selangor, sudah pastilah golongan fakir dan miskin lebih patut diutamakan. Hal ini sesuai dengan penyusunan Allah SWT di dalam al-Quran, iaitu zakat itu hendaklah terlebih dahulu diagihkan kepada fakir dan miskin, sebelum diikuti oleh lain-lain asnaf zakat yang lapan. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment