Monday, April 25, 2011

Kutukan bawa Marc kepada Islam

Tidak pernah dalam hidupnya sebelum ini ada sebarang ruang untuk Islam. Lebih-lebih lagi bapanya sendiri sering mengutuk dan menyerang dengan pelbagai kata-kata yang anti-Islam. Maka, sebagai anak ia sudah tentu memberi kesan terhadap Marc Springer.

Sementelah si bapa merupakan anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang tegas dan tidak boleh dikompromi. Maka si anak hanya menurut sahaja sebagaimana bentuk acuannya.

Namun tegas si bapa sebenarnya tidak bertempat. Ketika dia menyerang Islam, dirinya sendiri hidup dalam keadaan tunggang-langgang.

Kaki botol, panas baran dan sering menyebabkan seluruh keluarganya hidup dalam ketakutan. Ini menyebabkan Marc terpaksa mencari 'keluarga' baru di luar.

Tetapi keluarga baru di luar itu hanya membawa kepada kerosakan dan kebinasaan apabila Marc akhirnya dibesarkan dalam pengaruh kumpulan skinhead.

Dia sendiri menjadi ketua kumpulan yang terkenal dengan pelbagai pendirian pelik dan melawan arus itu. Dia akan melakukan apa sahaja mengikut nafsu.

Sehinggalah seorang rakan berbangsa Mexico pernah berkata: "Buat apa kamu buang masa dengan kumpulan yang tidak tentu hala itu sedangkan kamu sebenarnya seorang yang jauh lebih baik daripada mereka, kalau kamu tahu."

Namun kata-kata itu tidak dapat membunuh kebencian dan rasis yang tumbuh segar dalam dirinya.

Apabila perangai bapanya tidak pernah berubah malah bertambah teruk, Marc terus membuang dirinya keluar dari rumah.

Tidak ada keperluan untuknya pulang kepada keluarga kecuali Marc hidup bergelumang dan menjadi hamba kepada botol-botol arak, najis dadah dan sentiasa mencabar undang-undang.

Namun akhirnya buat pertama kali dalam hidupnya, iaitu ketika usia menginjak 23 tahun Marc mula 'memanfaatkan' kurniaan yang paling berharga dalam dirinya iaitu akal.

Beliau banyak bertanya kepada diri sendiri apakah kesudahan hidupnya itu. Ia secara langsung mengheret Marc kepada persoalan agama.

Ketika itu Marc sudah berkahwin dengan wanita yang sealiran dengannya - anggota skinhead. Walaupun sealiran namun terdapat perbezaan antara mereka berdua.

Ini apabila Marc cuba menangkis segala macam persoalan yang menyerang itu dengan amalan membaca.

Benarlah membaca itu merupakan jambatan ilmu. Ia berjaya membuatkan Marc meninggalkan watak-watak luaran dan dalaman skinhead dengan mempunyai ribuan koleksi buku dari karya penulisan falsafah Kant, Descartes kepada Tariq Ramadan sehingga kepada Edward Said.

Kebetulan pula pada saat itu, berlaku kebangkitan intifada di Palestin. Sebelum ini sebagaimana bapanya sendiri, Marc amat menyokong penubuhan negara haram Israel di wilayah Islam Palestin.

Walaupun mereka bukannya berbangsa Yahudi tetapi akibat kebencian terhadap bangsa Arab dan Islam menyebabkan Marc menyokong Israel.

Tetapi tidak lagi kini, Marc memberi sedikit peluang terhadap isu itu dengan cuba mengkaji semula konflik tersebut secara lebih dekat.

Beliau mula membaca sejarah Asia Barat dan perkembangan politik kebangsaan yang berlaku di wilayah itu. Namun Marc menghadapi kesukaran untuk memahaminya.

Sebabnya, syarat utama memahami konflik itu ialah perlu memahami agama-agama yang terlibat terutamanya Islam.

Lalu buat pertama kali Marc membuka hati mengenali Islam terutama dalam aspek sejarah dan kepercayaan.

Sesuatu yang tidak pernah diduga sebelum ini namun Marc lebih bergantung kepada sumber bacaan menerusi buku dan Internet.

Susunan SITI AINIZA KAMSAR

No comments:

Post a Comment