Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Thursday, April 28, 2011
Kembali Kepada Allah
Dari Ibnu Umar ra katanya; Rasulullah SAW memegang bahuku lalu ia bersabda: "Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara)". Dan adalah Ibnu Umar ra berkata: "Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau". (al-Bukhari)
Dunia adalah tempat untuk manusia beramal dalam sekian waktu yang ditentukan dan bukanlah tempat untuk bermukim, bersenang lenang sepanjang hayat kerana kedudukan seseorang itu di dunia ini adalah seperti pedagang atau pengembara yang akan pulang ke kampung halaman tempat asalnya iaitu alam akhirat yang kekal abadi.
Untuk itu, setiap amal ada waktunya di mana apabila luputnya waktu sesuatu amal sudah tentu waktu itu tidak akan berulang kembali. Oleh itu orang yang mengerti nilai waktu akan menyedari bahawa waktu itu sebenarnya adalah umurnya yang jika habisnya suatu detik waktu maka berkuranglah jangka hayatnya dan berkurang pula tempoh amalnya. Selepas itu kekecewaan dan penyesalan tidak berguna lagi.
Oleh itu seseorang yang inginkan kebahagian yang kekal abadi hendaklah memelihara waktunya daripada terbuang dengan percuma atau sebelum tiba waktu yang menghalang seperti sibuk, sakit dan sebagainya. Manusia yang mengejar dan menghabiskan masa dengan mencari "sesuatu yang tidak diciptakan oleh Allah di dunia" (kebahagiaan yang hakiki) adalah manusia yang rugi dan perbuatan yang sia-sia.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu malaikat berhubung peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan akan dilalui, apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, malaikat bertanya: "Ya Tuhanku! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Ya Tuhanku! Darah seketul ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Ya Tuhanku! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seseorang anak, malaikat bertanya lagi: Ya Tuhanku! Adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelakikah atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya? (Selepas malaikat mendapat jawabnya) maka ia menulis seperti diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya." (Hadis Riwayat Anas r.a)
Sebagai seorang yang beragama Islam, kita wajib mempercayai dan bersyukur terhadap kurniaan Allah. Ini kerana beriman kepada qada dan qadar merupakan rukun iman yang ke-6 dan menyangkalnya boleh mengakibatkan terbatalnya iman kita.
Sesungguhnya takdir manusia telah ditentukan sedang ia masih di dalam kandungan ibunya. Namun ini bukan alasan untuk umat Islam hanya berpeluk tubuh tanpa berusaha dan berdoa. Sebaliknya umat Islam harus menggunakan alasan ini untuk lebih kuat berusaha dan berdoa dalam mengecapi kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنتُمْ أَمْوَاتاً فَأَحْيَاكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 28)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment