Thursday, April 28, 2011

Demi Pena






Penulisan mendapat tempat yang terpenting dalam Islam. Berbagai Ilmu Pengetahuan yang berguna dapat disampaikan kepada orang ramai menerusi Penulisan. Penulis menjadi penghubung dalam bidang keilmuan dari generasi ke generasi.

"Nun, demi pena dan apa-apa yang mereka tuliskan"

Penulisan merupakan salah satu bentuk pengabdian manusia sebagai makhluk kepada Tuhannya yaitu Allah S.W.T., dengan tujuan untuk mencari dan menikmati keredhaan-Nya. Penulis Islam berusaha untuk melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. dan berkeperibadian Muslim.

Penulisan mempunyai kaitan yang rapat dengan pembacaan. Penulisan adalah bahan bacaan yang amat berguna untuk memajukan akal fikiran manusia. Kita bersyukur kepada Allah S.W.T. karena ayat pertama sekali diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.adalah ayat mengadungi arahan untuk
membaca;

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah. Yang mengajarkan (menulis) dengan pena. Yang mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya." (Maksud ayat 1-5 s.al-Alaq)

Seseorang yang ingin menjadi penulis yang berjaya ,mestilah banyak membaca, tabah menghadapi cabaran silih berganti, sabar, tidak lekas berputus asa dalam menghadapi segala halangan dan rintangan. Perasaan seseorang penulis mungkin terganggu bila tulisannya ditolak atau tidak diterbitkan. Jangan berputus asa, terus menulis Insya-Allah disatu masa nanti anda akan berjaya.

Ide penulis biasanya dipengaruhi oleh pengalaman hidup penulis itu sendiri. Bahan tulisan juga boleh diperoleh menerusi hasil bacaan buku-buku berkenaan, akhbar, majallah, Radio/TV, perbincangan pakar dalam bidang tertentu, dan dari sumber-sumber lainnya termasuk internet.

Menerusi Internet kita memasuki Dunia Luas tanpa batas bangsa dan negara, inilah yang diinginkan Islam.

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan. Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia diantara kamu disisi Allah, ialah orang yang lebih taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi amat mendalam pengetahuannya." (Maksud ayat 13 s.al-Hujurat)

Marilah kita terus menulis dan melatih diri untuk menjadi penulis yang bertaqwa mengharapkan keredhaan-Nya, sehingga apa yang kita tuliskan itu akan berguna untuk kepentingan seluruhnya.

نٓ‌ۚ وَٱلۡقَلَمِ وَمَا يَسۡطُرُونَ 1 مَآ أَنتَ بِنِعۡمَةِ رَبِّكَ بِمَجۡنُونٍ۬ 2 وَإِنَّ لَكَ لَأَجۡرًا غَيۡرَ مَمۡنُونٍ۬ 3 وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ۬ 4
Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis; (1) Engkau (wahai Muhammad) dengan sebab nikmat pemberian Tuhanmu bukanlah seorang gila (sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik, bahkan engkau adalah seorang yang bijaksana). (2) Dan sesungguhnya engkau tetap beroleh pahala yang amat besar, yang tidak putus-putus, (sebagai balasan bagi menjalankan ajaran Islam); (3) Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. (4)
(Surah Al-Qalam 68: Ayat 1 Hingga 4)

No comments:

Post a Comment