Saturday, March 12, 2011

Prof Madya Dr. Harlina : Selarikan Bidang Kedoktoran Dengan Tuntutan Dakwah


Ikhlas dalam setiap pekerjaan adalah kunci kejayaan bagi Profesor Madya Dr Harlina Halizah Haji Siraj atau lebih mesra sebagai Dr Har. Tugas sebagai Doktor Pakar (Klinikal) Obstetriks & Ginekologi (O&G) di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sedikit pun tidak menghalang beliau untuk aktif bergiat dalam badan-badan NGO seperti Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).

Cita-cita untuk menjadi seorang doktor dan pendidik adalah impian beliau sedari kecil lagi. Kedua-dua cita-citanya itu berjaya dicapai yang mana kini beliau sudah hampir 20 tahun bergelar doktor dan pada masa yang sama menjadi tenaga pengajar kepada pelajar-pelajar perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hampir 14 tahun.

Baginya, untuk menjadi seorang doktor perlu mempunyai keinginan dan semangat yang tinggi dalam melakukan pekerjaannya kerana ia bukanlah suatu kerjaya yang mudah. Doktor perubatan ini bukanlah hanya semata-mata karier tetapi adalah satu komitmen yang berpanjangan lebih-lebih lagi untuk menjadikan ia satu medan dakwah.

"Sebagai doktor, saya merasakan ia bukanlah satu karier tapi satu komitmen yang beterusan. Ia adalah satu moduliti dakwah yang menyentuh tentang kehidupan manusia dari yang belum lahir iaitu semasa membentuk janin sampailah manusia meninggal dunia dan seterusnya menunaikan hak-hak pada si mati," Jelas Harlina yang merupakan anak ke-6 daripada 8 orang adik beradik.

Beliau sentiasa berpegang kepada firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud, "Sesiapa yang menghidupkan seorang manusia, maka seolah-olahnya dia telah menghidupkan manusia kesuluruhannya." Beliau tidak begitu puas dengan kerjayanya sebagai seorang doktor kerana doktor hanya perlu merawat manusia yang sakit tetapi apa yang beliau mahukan ialah mencegah daripada mengubati iaitu dengan melibatkan diri dengan bidang dakwah.

"Tugas doktor ini mempunyai empat prinsip etika yang perlu ditunaikan iaitu yang pertama ialah dengan tidak membuat kerosakan pada orang lain. Yang kedua ialah mesti sentiasa memanfaatkan orang lain dan yang keseterusnya mesti memegang prinsip keadilan serta yang terakhir ialah mempunyai prinsip autonomi dengan memberi hak yang sepatutnya kepada masyarakat dan tidak melakukan paksaan," kata Harlina.

Mementingkan Dakwah Kepada Masyarakat

Pada pandangannya, walau apa pekerjaan sekalipun, ia mesti diselarikan dengan ilmu. Alasan beliau untuk aktif melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan ialah kerana melihat ianya sebagai tugas dakwah yang penting. Sebagai umat Islam, tugas dakwah adalah tanggungjawab semua. Ia adalah bukti kecintaan umat manusia kepada Rasulullah kerana salah satu tugas Baginda ialah mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Begitu juga dalam karier beliau sebagai doktor, peluang untuk berdakwah itu terbuka luas dan jika beliau tidak menggabungkan dirinya dengan jemaah-jemaah JIM dan IKRAM, beliau merasakan dirinya mungkin mengalami masalah dari sudut menyusun gerak kerjanya.

Ditanya mengapa memilih kerjaya sebagai doktor pakar sakit puan, harlina menjawab kerana dirinya adalah seorang wanita dan lebih memahami keperluan seorang wanita dan juga ibu. Lagipun pada masa dahulu, doktor pakar sakit puan didominasi oleh kaum lelaki. Jadi beliau berasa ia menjadi tanggungjawabnya untuk menunaikan fardu kifayah tersebut.

Dengan tidak mengehadkan tugasnya dihospital sahaja, beliau juga berperanan membela nasib para wanita dengan memegang jawatan sebagai Naib Presiden dan Ketua Wanita dalam JIM serta sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan & Khidmat Masyarakat IKRAM. Sepanjang penglibatannya dalam JIM, dia mendapati banyak hak-hak yang tidak diberikan kepada wanita kini sedangkan mereka telah pun menunaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang ibu dan juga isteri dengan baik.Namun hak masih masih diketepikan.

"Bersama rakan-rakan saya dalam JIM, kami cuba meletakkan wanita ditempat yang sepatutnya sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Islam. Dalam komitmen saya itu, jika dilihat, yang hampir dengan bidang dan kepakaran saya ialah bidang sakit puan yang berkaitan dengan ibu-ibu.

Jadi, apabila mendapati makin ramai para ibu yang hamil luar nikah dengan nasib mereka yang tidak terbela lebih-lebih lagi kebanyakan kaum lelaki hanya akan lepas tangan malah ada yang dibuang keluarga, itulah yang mencetus idea buat kami untuk menubuhkan satu pusat perlindungan dan bimbingan remaja puteri Raudatus Sakinah."

Padanya, Raudatus Sakinah bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana beliau sendiri tidak mahu adanya pusat perlindungan sedemikian. Namun, apabila melihat situasi remaja hari ini yang berhadapan dengan suatu kekangan, beliau tidak mahu melihat mereka sebagai remaja bermasalah tetapi menjadi satu kelompok generasi yang perlu dibimbing dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Bijak Mengurus Masa

Pasti ramai yang ingin tahu bagaimana beliau mengurus dan membahagikan masa antara tugas sebagai doktor, pensyarah, aktiviti kemasyarakatan dan juga keluarga. Seperti insan lain yang mempunyai 24 jam sehari, beliau perlu bijak mengurus masa yang ada. Apa yang beliau lakukan ialah dengan meletakkan sesuatu perkara mengikut prioriti dan tidak mencari alasan untuk tidak melakukannya.

"Saya tidak berani untuk memberikan alasan kepada masyarakat walaupun saya berhak untuk berbuat demikian jika saya mahu tetapi apa yang akan saya jawab pada Allah nanti? Saya bimbang jika alasan saya itu tidak diterima oleh Allah," Tegas Harlina.

Beliau begitu bersyukur dikurniakan seorang suami yang cukup memahami. Walau sesibuk mana pun beliau dengan kerjaya, suaminya tetap menyokongnya dan menjadi asas kepada kehidupannya. Dalam melayari rumahtangga yang dibinanya hampir 20 tahun, beliau dan suami sama-sama melakukan kerja-kerja dakwah dan itulah yang sebenarnya mengikat hati mereka. Menurutnya, kesibukan berdakwah tidak sama dengan kesibukan bekerja. Sibuk bekerjaya boleh merenggangkan hubungan tetapi tidak dalam berdakwah.

Begitu juga anak-anak beliau yang dianggap begitu istimewa kerana mengerti akan tugas ibu mereka walaupun pada mulanya mereka perlu diterangkan akan tanggungjawabnya kepada masyarakat. Apa yang penting baginya ialah biar anak-anaknya bangga mempunyai ibu bapa sepertinya dan mereka tidak akan melakukan sesuatu yang tidak elok tetapi berusaha untuk membahagiakan ibu bapa mereka.

Beliau sentiasa yakin dengan pertolongan Allah. Selagi ada masanya untuk Allah, beliau percaya akan ada masa-masanya untuk anak-anak dan keluarga. Beliau kerap bercuti bersama keluarga dan ia memang perlu diperuntukkan. Beliau juga tidak sesekali lupa untuk menjenguk ibu dan mertuanya dan sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan mereka.

No comments:

Post a Comment