Sunday, March 13, 2011

Kita hanya mampu berdoa?


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Jika benar kau cintakan mereka, kau tidak akan tergamak membiarkan sahaja.

"Kami yakin, saudara-saudara seIslam kami masih dapat membantu kami.

Kami yakin saudara seakidah kami dapat menampung keperluan rakyat Palestin dan mencukupkannya.

Kami yakin juga, saudara seakidah kami di seluruh dunia dapat membantu kami untuk terus hidup dan tidak bergantung pada bantuan-bantuan dari negara bukan Islam, apatah lagi dari rejim Zionis.

Persoalannya, di manakah saudara-saudara kami?

Di manakah mereka di kala kami memerlukan mereka?"

- Pesanan dari Hamas -

Keadaan di Palestin amat memilukan. Umat Islam di Palestin tertindas, terbunuh, diperkosa, dihapuskan tempat tinggal, dikenakan 'catuan' barang-barang keperluan yang melampau dan berbagai-bagai lagi kekejaman yang dikenakan ke atas mereka. Dan suasana ini berterusan, terus, terus dan terus. Tiada penghujungnya. (Rujuk Qs. 2:120)

Namun kini, akhbar dan media massa sepi daripada berita tentang mereka. Seakan-akan keadaan di sana aman sentosa.

Itulah dia, masyarakat kita. Begitu mudah kita diperkotak-katikkan oleh media massa, sehinggakan cara kita berfikir dan informasi-informasi yang kita ketahui dikuasai dan dikawal oleh mereka.

Maka, jadilah isu Palestin itu satu isu yang ber'musim' sahaja.

Sedangkan sebenarnya, ia tidak.

Hanya mampu berdoa?

Sering kita dengar,

"Tidak ada apa yang dapat kita lakukan untuk mereka. Apa yang kita mampu hanyalah berdoa."

"Cukuplah buat kita sedekahkan kepada mereka sepotong doa. Itu sudah cukup buat mereka."

Kata-kata pasrah.

Tidak. Bukan niat saya hendak merendah-rendahkan mereka yang berkata sedemikian. Benar, doa itu penting. Saya tidak menafikannya. Namun benarkah, kita hanya mampu berdoa sahaja?

Hari-hari penduduk Palestin terpaksa berjuang untuk mempertahankan al-Aqsa.
Hari-hari mereka terpaksa mempertaruhkan nyawa demi membela maruah dan agama mereka.

Sedang kita, hanya bergoyang kaki dan berdoa sahaja?

Cukupkah?

Cuba letakkan diri anda di posisi mereka.

Kenali punca.

Kenali 'akar'nya dahulu.

Setiap perkara yang berlaku, pasti ada punca dan akarnya. Dan untuk kita mengetahui dan merancang usaha-usaha penyelesaian yang perlu kita ambil, amat penting bagi kita mengenal pasti puncanya terlebih dahulu. Ini perlu didahulukan bagi mengelakkan kita silap dalam bertindak dan dalam membuat rumusan, agar tindakan yang mahu direncanakan tepat, membasmi terus masalah daripada akarnya.

Maka suka saya bawakan satu fakta yang bagi saya menarik.

Menurut suatu perangkaan, umat Islam kita di sekitar Palestin, yakni di negara-negara Islam di Tanah Arab sahaja, kesemuanya berjumlah seramai 300 juta orang.
(Ini belum campur sekali dengan bilangan umat Islam di tempat-tempat lain, seperti di Asia, Eropah dll)

Sedangkan, bilangan orang-orang Yahudi di tanah Palestin hanyalah berjumlah 5 juta orang sahaja! (Nisbah, 1:60)

Dari segi saiz, umat Islam boleh diibaratkan seperti 'gajah' dan orang-orang Yahudi hanyalah seperti 'semut'!

Namun, mengapakah kekejaman terhadap umat Islam di Palestin sana tetap berterusan?

Tidak cukupkah lagi bilangan kita itu?

Mengapa 'gajah' masih tidak mampu untuk mengalahkan 'semut'?

Umat Islam masih tidak cukup kuat?

Persoalannya, mengapa?

United We Stand, Divided We Fall

Qs 49:10 -> 'Iman' faktor penyatu.

Ya, masalah sebenarnya umat Islam tidak bersatu. Apa gunanya kuantiti jika kita tiada kualiti?

Jika dilihat umat-umat Islam yang terdahulu, walaupun bilangan mereka lebih kecil, mereka tetap beroleh kemenangan demi kemenangan dalam peperangan-peperangan yang mereka hadapi (Ter'balik' dari situasi kita kini). Dan ini semua berjaya mereka capai atas 'keterikatan hati-hati' di antara mereka.

" Wahai Nabi (Muhammad)! Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika adadua puluh orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus (orang musuh); Dan jika ada seratus orang (sabar) di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan seribu orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti." [ Surah Al-Anfal (8): 65 ]

Dalam hal ini, suka saya menyentuh 'Peperangan Badar al-Kubra'.

Jika dilihat secara kasar, umat Islam berada dalam posisi yang amat 'kekurangan'. Mana tidaknya...

Peperangan berlaku pada bulan 'Ramadhan'.
Jumlah tentera Muslimin hanyalah '313 orang'.
Alatan perang amat-amatlah 'tidak seberapa'. (hanya 2 ekor kuda, 70 ekor unta)

Sedangkan tentera musyrikin Makkah?
1300 askar, dengan 100 ekor kuda, 600 perisai, dan bilangan unta yang terlalu banyak, sehinggakan tidak dapat dipastikan jumlahnya!

Namun akhirnya, pihak mana yang menang? Pihak Islam.

Mengapa?

Apakah 'edge' (kelebihan) yang ada pada umat Islam ketika itu berbanding kaum musyrikin yang ramai, dan lengkap alatan perangnya?

Ya, pihak lawan mungkin mempunyai senjata-senjata yang lebih hebat, alatan-alatan perang yang lebih maju, malah mungkin bilangan tentera yang lagi ramai berbanding umat Islam.

Namun kita? Kita punyai Allah. Yang Maha Perkasa, Yang Tidak Terkalah.

Maka, adakah sesiapa yang dapat mengatasi maupun menandingi kehebatan dan kekuasaan-Nya?

Siapakah yang dapat menghalang kemenangan bagi umat Islam, jika Dia berkehendak sedemikian?

Namun, salahnya pada kita. Kita tidak mahu bersatu.

Kita tidak mahu sama-sama berganding bahu dalam menjunjung perintahNya.

Solusi: Umat Islam harus segera bertindak! Kita perlu bersatu... Bagaimana?

" Dan taatilah Allah dan rasulNya dan janganlah kamu berselisih, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan kekuatanmu hilang dan bersabarlah. Sungguh, Allah berserta orang-orang sabar." [Surah Al-Anfal (8): 46]

" Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim sama seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri." [HR. Bukhari]

Bagaimana kita mahu umat Islam memperjuangkan hak saudara-saudaranya di Palestin, jika ramai umat Islam masih belum mengasihi dan mengambil peduli nasib saudara-saudara yang seaqidah dengan mereka?

Bagaimana kita mahu umat Islam bersatu, dan sanggup menolak ke tepi perbezaan di antara mereka, sedangkan 'tali' persamaan yang mengikat di antara kita masih tidak kuat dan tidak kukuh, yakni iman-iman di dada kita?

Ya, bagaimana?

Maka, mahu tidak mahu, solusinya tidak lain tidak bukan kita perlu membawa masyarakat kita kembali pada Allah.

Memperkemas dan 'saling' memperkukuh iman-iman di dada kita. Membina kembali 'tali' penghubung dan pengikat yang paling ampuh, di antara kita umat Islam.

Kerana, 'IMAN' yang menyatukan kita.

"Dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana." [Surah al-Anfal (8): 63]

Hanya Dia sahaja yang dapat menyatukan hati-hati kita, hati-hati orang mukmin.

Hanya Dia sahaja yang dapat mengikat hati-hati umat Islam, walaupun berbeza latar, keturunan, warna kulit, 'kelompok' maupun bangsa.

Hanya Dia sahaja yang dapat memberi kemenangan ke atas umat Islam, walau siapapun pencabar kita.

Maka, kepada 'siapa' lagi harus umat kita kembali dan memohon pertolongan?

Dan dari segala apa-apa tindakan dan usaha yang perlu diambil, saya kira, ini merupakan tindakan yang 'paling utama'. Iaitu, membawa umat Islam KEMBALI kepada Allah, BERSATU (bekerjasama) dalam memperjuangkan agamaNya, dan kesatuan itu terikat atas dasar 'keIMANan' di antara kita.

Ya, ia merupakan solusi utama bagi permasalahan-permasalahan di Palestin. Langkah yang pertama yang perlu diambil sebelum mengambil tindakan-tindakan yang lain.

Maka, masihkah kita hanya mampu berdoa sahaja?

Cukupkah kita dengan hanya melihat dan membiarkan sahaja?

Sedangkan jika hanya umat Islam di Palestin diharapkan, amat-amatlah sukar kerana suasana amat menekan mereka, malah bekalan-bekalan dan peralatan-peralatan mereka amatlah kekurangan.

Dan kitalah yang sebenarnya perlu bangkit. Bangkit dari lena kita. Bangkit dari tido yang panjang.

Ketepikan dan berlapang dadalah akan perbezaan-perbezaan yang ada di antara kita. Tuhan kita sama. Matlamat kita sama. Dan ikatan imanlah yang mengikat hati-hati kita.

Mari kita bersatu. Bangun serentak bersama-sama, membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis.

Selain itu, tetaplah kita terus-menerus sebarkan kesedaran kepada masyarakat akan isu-isu di Palestin. Ya, ia amat penting juga sebagai wacana kebangkitan dan penyatupaduan umat.

Dan sudah pasti, jangan lupa doa dan tawakkal sesudah berusaha.
Sesungguhnya, Dia juga yang menentukan, sama ada usaha kita itu berhasil, atau tidak punya apa-apa makna.

Dengan usaha kita bersama ini, pasti umat Islam akan bangkit kembali!

InshaAllah!

Maka apa tunggu-tunggu lagi? Jom sama-sama kita bertindak!

Ayuh umat! Mari bangkit!

"Serentak kita maju, ke hadapan kita bergerak!"

"Berangkatlah kamu baik dengan keadaan ringan maupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." [Surah Al-Anfal (9): 41]

Demi al-Aqsa Tercinta

Wahai manusia,

Demi al-Aqsa tercinta,

Jangan sekali kau kata kau tiada daya,

Diam seribu bahasa,

Mampu berdoa cuma?

Namun,

Apakah erti doa,

Jika usahanya tiada.

Rumah Allah itu kian dirobek,

Saudara seakidah kita pula,

Terus dibunuh, dan diperkosa,

Sungguh kejam, sedangkan mereka juga manusia.

Namun kita,

Hanya mampu melihat dan membiarkan sahaja?

Tergamakkah kita?

Bangkitlah kalian,

Demi al-Aqsa tercinta.

Tepuk dada,

Tanya hati,

Sudahkah cukup aku berusaha?

Rujukan :
1. "Hamas Pejuang Kota Baitul Muqaddis", karangan Maszlee Malik.
2. "Ar-Raheeq Al-Makhtum"- Sirah Rasulullah s.a.w., karangan Shaikh Sofiy Al-Rahman Al-Mubarakfuri.



-Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment