Wednesday, March 23, 2011

Keputusan SPM Terbaik Sepanjang Empat Tahun

Seramai 9,239 calon berjaya mendapat keputusan gred cemerlang (A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas berbanding 7,987 calon pada 2009 iaitu peningkatan seramai 1,252 calon. Keputusan itu adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd. Ghafar Mahmud semasa mengumumkan analisis keputusan SPM di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 363 calon berjaya mendapat A+ bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 214 calon pada 2009 dan calon yang mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau gred C bagi semua pelajaran juga meningkat iaitu daripada 60,114 calon kepada 68,114.

"Bilangan calon yang memperoleh pencapaian semua A, meningkat bagi calon yang mengambil sembilan dan sepuluh mata pelajaran sementara pencapaian calon yang mendapat semua A bagi yang mengambil 11 dan 12 mata pelajaran adalah menurun," katanya. Katanya bilangan calon yang gagal atau memperoleh gred G bagi semua mata pelajaran pula katanya, menunjukkan penurunan seramai 104 calon iaitu seramai 2,773 pada tahun lepas berbanding 2,877 pada 2009.

"Jadi calon yang mendapat gred Cemerlang Tertinggi adalah masih terlalu sedikit berbanding bilangan calon yang gagal semua mata pelajaran iaitu 2,773 calon," katanya. Abd Ghafar berkata pencapaian calon sekolah swasta dan calon sekolah tajaan agensi selain kementerian, seramai 40 calon berjaya memperoleh gred cemerlang semua mata pelajaran berbanding 41 calon pada 2009.

Bagi calon yang berkeperluan khas pula, 319 calon berjaya mendapat sijil SPM dan daripada jumlah itu tujuh calon mendapat keputusan semua A bagi semua mata pelajaran yang diduduki. Mengenai pencapaian mata pelajaran pula 55 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus untuk gred cemerlang, 39 lagi stabil dan sembilan menurun. Bagi gred kepujian (B+,B,C+,C) sebanyak 18 mata pelajaran meningkat, 43 stabil manakala 42 menurun dan kategori lulus pula (D dan E) sebanyak lima mata pelajaran adalah stabil dan 31 lagi menurun melebihi tiga peratus.

- Putrajaya, 23 Mac 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

Sumber imej : Google Image
Fikirkan.

Tahniah diucapkan kepada semua calon SPM 2010. Semoga berjaya mendapat keputusan yang diidamkan selaras dengan apa yang anda usahakan

No comments:

Post a Comment