Tuesday, March 15, 2011

Yusuf Islam Jalin Kerjasama Dengan MDEC Hasilkan Video Muzik


Penyanyi dan penggubah lagu, Yusuf Islam menjalin kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) untuk
menghasilkan video muzik lagu terbarunya berjudul 'My People'. Yusuf berkata beliau menulis lagu itu berikutan kebangkitan rakyat Mesir sebagai lambang kepada mereka yang memperjuangkan kebebasan dan hak asasi manusia menerusi cara yang tidak membabitkan keganasan.



"Korus lagu ini dinyanyikan oleh beratus-ratus orang dari seluruh dunia termasuk Malaysia. Kami sekarang sedang membuat rakaman video mengenai apa yang berlaku di Kuala Lumpur dan saya harap ia akan dapat disiapkan sebelum akhir minggu ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Yusuf, yang sebelum ini dikenali sebagai Cat Stevens, tiba di sini Sabtu lepas atas jemputan Anggota Parlimen Kulim-bandar Baharu, Zulkifli Nordin. Ketibaan beliau untuk melawat Bangunan Parlimen di sini disambut mesra oleh kalangan Anggota Parlimen.

Yusuf berkata video muzik itu yang akan memaparkan ciri-ciri animasi kini di peringkat akhir pembikinan. Beliau berkata semasa berada di sini, beliau akan mengadakan perbincangan dengan para pegawai Kementerian Pelajaran dan menceritakan pengalamannya menyampaikan pendidikan di sekolah yang pelajarnya beragama Islam di United Kingdom.

"Pengalaman kami sebenarnya sangat berguna kerana kami tinggal dalam masyarakat pelbagai budaya dan oleh itu, sukatan pelajaran yang kami wujudkan amat positif ke arah mendidik anak-anak dengan nilai moral dan pendidikan yang baik," katanya.

Sukatan pelajaran itu, katanya memenuhi keperluan kanak-kanak sehingga usia 12 tahun, mengintegrasikan pengetahuan am dengan asas moral yang sesuai untuk semua dan bukan hanya kepada sekolah dengan pelajar beragama Islam. Yusuf akan berlepas pulang pada Jumaat ini.

- Kuala Lumpur, 15 Mac 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

No comments:

Post a Comment