Wednesday, March 2, 2011

Sucikan Hati Untuk Dapatkan Takwa


Satu ketika, aku duduk-duduk mendengar perbualan rakan-rakan. Macam-macam isu yang dibincangkan. Bermula dengan salam perkenalan hinggalah isu politik tempatan. Perbincangan menjadi semakin hangat bilamana ada yang menyokong dan membangkang. Yang menariknya semua bersepakat yang perbahasan dan perdebatan adalah dengan tujuan mencari penyelesaian bukannya mencari kemenangan.

Seorang sahabat menyuarakan sedikit kekesalan atas tindakan sesetengah orang yang membina masjid untuk tujuan pelancongan. Keliru masjid dengan pusat peranginan agaknya. Ataupun mungkin hendak meraih undi kononnya hendak memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam.

Tapi....

"Orang Islam sendiri pun ramai je yang tak pi masjid...nak pulak orang bukan Islam. Bukankah fokus kita patut bertumpu kepada orang Islam dahulu?"

"Hmm...kalau orang bukan Islam pi masjid...kang jadi headline Utusan pulak.."

"Pelik-pelik...pergi pun tak boleh, tak pergi pun tak boleh."

Demikian sedikit sedutan perbualan. Sinis.

Ada satu lagi topik menarik yang dibincangkan petang itu. Panjang ulasannya, tapi aku cuba kongsikan apa yang termampu.

Topik biasa yang selalu diulang sebetulnya. Tazkiyatun nafs. Pendidikan jiwa.

"Body builder perlukan disiplin yang ketat. Tiap-tiap hari kena pi gym. Angkat macam-macam. Berat pulak tu. Susah sungguh nak membentuk physical yang mantop.."

Tekun kami mendengar bicara seorang kawan.

"Spiritual kita pun sama lah...nak ada hati yang mantop perlukan disiplin penyucian hati. Kalau orang pergi gym, kita pergi gym jugak..Gym untuk body builder bukak pagi sampai malam. Tapi gym untuk orang beriman bukak setiap masa, cuma waktu puncaknya 1/3 hujung malam."

"Hangpa nak pi tak?"

Diam semuanya. Tersenyum tersipu-sipu pun ada. Hilang seketika kepetahan berhujah seketika tadi. Refleksi diri.

"Aku tutup ngan pesanan Syeikh besar ni. Menurut Syeikh Salim bin Eid al-Hilali di dalam kitabnya Manhajul Anbiya' Fi Tazkiyatin Nufus, proses tazkiyah ini akan berlaku dengan syarat kita bertakwa dan hanya akan dicapai dengan langkah-langkah berikut:

Al-Musyaratah ertinya membuat perjanjian seperti seorang usahawan pasti akan menandatangani perjanjian

Al-Muraqabah ertinya selalu mengawasi diri. Apabila seseorang telah mengikat perjanjian, harus baginya merasakan keperluan menjaga dan mengawasi perjanjiannya agar tidak dilanggar.

Al-Mujahadah ertinya bersungguh-sungguh dalam melakukan amalan.

Al-Taslim ertinya menerima segala ketetapan Allah.

Al-Ridha ertinya merasa bahawa segala pemberian Allah adalah yang terbaik buatnya"

Si kawan itu menutup bicaranya. Alhamdulillah sungguh bermanfaat dan mantap.

Musyaratah. Muraqabah. Mujahadah. Taslim. Redha.

- Artikel iluvislam.com

1 comment:

  1. Assalamualaikum, kebetulan mencari maklumat mengenai Muhasabah bg subjek Tasawwuf. Syukran ya Saudara.Maklumat yg berguna. Teruskan menulis.Moga kita sama2 berusaha menuju jalan tazkiyatunnafs.

    ReplyDelete