Dalam jauh sebuah perjalanan, Allah amanahkan sebuah perjuangan, terimalah ia dengan kekuatan, bukan menolak dengan alasan, kadang-kadang sakit yang mendatang, kadang-kadang cemerlang dan gagal dicapai, namun itulah ujian, letakkan harapanmu pada Penciptamu dan bukan pada ciptaanNya, kerana disitulah letaknya ketenangan yang hakiki....
Tuesday, March 15, 2011
Bebaskan Diri
Pemikiran berasaskan Tauhid (Tauhidic Mindset) perlu ada pada setiap kita. Bila pemikiran Tauhid ini kukuh secara otomatik kita akan merujuk kepada syariat dalam apa jua kelakuan dan tindakan. Bila kita yakin Allah Maha Bijaksana, tergamakkah kita mendahului 'kebijaksanan' kita dengan membelakangkan kebijksanan-Nya? Bahkan kita akan sentiasa memastikan kebijaksaan kita yang kecil dan kerdil ini tunduk kepada kebijaksanaan-Nya yang tiada bandingan dan tandingan itu. Hati akan sentiasa terdetik, apa 'kata' Allah dalam setiap situasi dan kondisi yang sedang kita hadapi.
Ikatan yang Membebaskan
Akidah berasal dari perkataan "Aqada" yang membawa maksud ikatan. Aqidah Islam adalah ikatan manusia dengan syariat-syariat Islam yang menjurus kepada kebebasan dari kejahilan dan kekosongan jiwa tanpa matlamat. Aqidah Islam membuatkan kita bebas dari akhlak yang buruk serta lain-lain keburukan kerana kita terikat dengan yang Maha Bijaksana yakni Allah Swt.
Seorang sahabat, pernah menghadiahkan saya sebuah buku 'Halal Dan Haram Dalam Islam' karangan Dr. Yusuf Qaradhawi – dan saya merasa buku yang sarat ayat Quran dan hadis itu sangat berguna sebagai teman rapat dalam kehidupan. Menurut ulama, iman itu bukan sekadar kepercayaan dan keyakinan, tetapi tindakan dan kepatuhan. Sungguhpun kekadang kita belum nampak 'hikmah' dan kebaikan di sebalik hukum syariat – dan ketika itu hati kita bertanya, kenapa begitu, tidak begini?
Yakinlah, bahawa saat itu sebenarnya akal kita 'tidak sampai' buat menjangkau kejituan dan kemurnian syariat. Bukan syariat itu tidak indah, tetapi akal dan hati kita yang rabun atau buta... seperti kelelawar yang tidak dapat melihat pada waktu siang. Bukan siang yang tidak cerah, tetapi mata kelawar yang tidak mampu menatapnya! Jadi setiap kali terasa begitu katakan pada diri, "ya allah, aku tidak nampak lagi di mana hikmah-Mu menetapkan demikian. Ilmuku yang terbatas tidak mampu menjangkau ilmu-Mu yang Maha Luas. Tetapi aku tetap yakin... Engkau Maha Benar yang Allah. Syariat-Mu tetap benar, betul dan baik." Ingat selalu, terikat dengan syariat itulah kemerdekaan yang sebenarnya! (Sambung Bacaan Disini)
Ilmu Benteng Godaan Syaitan dan Nafsu.
Ciri ilmu yang berkat menurut Imam al-Ghazali di dalam kitabnya, Bidayatul Hidayah adalah :
Ilmu akan bertambah hebat akibat rasa takut kepada Allah.
Surah al-Faatir, ayat 28 menyebutkan: "Hanya yang takut kepada Allah, adalah ulama." Keluasan ilmu Allah melahirkan manusia yang amat gerun kepada kekuasaan Allah. Dengan ilmunya dia dapat mengetahui apa yang dibenci Allah dan apa yang disukai-Nya. Ini diadun dengan ilmu tentang kehebatan syurga Allah dan seksa neraka yang menjadi formula pembentuk sahsiah ulama pada dirinya. Rasakan getaran hati anda, adakah ia begitu sensitif apabila berhadapan dengan keinginan melakukan dosa dan maksiat kepada Allah? Jika di hati masih tersisa rasa takut kepada Allah, ilmu anda akan sentiasa bermanfaat untuk diri dan orang lain.
Ilmu membentuk sifat tawaduk.
Jika ilmu semakin tinggi, keagungan dan kebesaran Allah menutup segala ego dan kesombongan yang membayangi diri. Tidak sama sekali menganggap orang lain bodoh dan lemah. Kerana sehebat-hebat manusia tidak akan mampu menghadapi ujian yang diberi oleh Yang Maha Mengetahui melainkan dengan pertolongan-Nya. Dengan bekal segulung ijazah itu bolehkah anda menghadapi hari penghisaban dengan selamat? Pakar motivasi sekalipun tidak akan mampu menanggung musibah yang diuji pada dirinya kecuali dengan pertolongan Allah. Sifat tawaduk seperti bintang yang berkilauan. Ilmu pula ibarat purnama. Kedua-duanya amat cantik jika dikembarkan menjadi hiasan peribadi.
Ibadat bertambah nikmat kerana asas ilmu yang kukuh.
Sesungguhnya amal yang diterima memiliki dua syarat iaitu ikhlas dan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Sabda Baginda ketika melihat seorang lelaki yang kurang betul sembahyangnya: "Sembahyanglah kamu seperti aku sembahyang." Kerana itu, apa saja ibadat yang dilakukan wajib bersumber daripada sunnah Rasulullah SAW. Cubalah mengerjakan ibadat dengan cara khusyuk seperti Rasulullah SAW khusyuk, berjuang seperti Baginda berjuang, berilmu seperti Baginda berilmu. Ilmu yang menggerakkan amal dan perjuangan untuk Islam.
Ilmu di dada membentuk peribadi khalifah.
Islam mengajarkan konsep kepemimpinan yang berteraskan sifat amanah dan bertanggungjawab. Kalau ilmu anda berkat dan bermanfaat, tentunya kedua-dua sifat ini amat menonjol pada diri anda, tidak kira di rumah, pejabat atau dalam lingkungan masyarakat iaitu anda berdiri sebagai individu yang bermaruah.Seorang guru agama yang mempunyai jiwa khalifah akan mencorakkan umat dengan ilmu dakwahnya. Manakala, seorang guru sentiasa sedia membantu muridnya tidak kira Muslim atau bukan Muslim kerana dorongan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: "Kamu semua adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawabannya atas apa yang dipimpinnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) Anda adalah ketua bagi diri anda sendiri, isteri, anak, tempat di mana anda bekerja dan di dalam masyarakat.
Bijak menyembuh penyakit dalam beramal.
Ilmu dan amal memang tidak boleh dipisahkan. Orang yang berilmu tidak akan berpuas hati dengan pencapaiannya. Dia akan sentiasa menimbang, meneliti, mencari-cari akan ketidaksempurnaan diri dan perbuatannya. Penyakit orang berilmu adalah ujub manakala penyakit orang beramal biasanya riak. Imam al-Nawawi memberi garis panduan bagi kedua-duanya. Beliau berkata: "Beramal kerana manusia adalah riak dan meninggalkan amal kerana manusia adalah ujub, ikhlas adalah engkau terlepas daripada kedua-duanya."
Cerdik mengenal dan mematahkan tipu helah syaitan.
Ilmu yang berkat adalah senjata yang paling digeruni oleh syaitan. Umar bin al-Khattab pernah melewati satu lorong kemudian beliau berjumpa Rasulullah SAW, Baginda pun bersabda: "Sesungguhnya syaitan lari daripada laluan Umar, kerana takut kepadanya."
Seorang yang berilmu bijak membentengi dirinya daripada hasutan syaitan dan hawa nafsunya. Ia bagaikan memiliki indera keenam yang mampu mengesan setiap gerakan zahir dan batinnya. Benarkah apa yang dilakukannya atau salahkah jalan yang dilaluinya? Semuanya disebabkan ilmunya yang berkat dan bermanfaat. Ingatlah sabda Rasulullah SAW: "Manusia yang mendapat azab paling keras pada hari kiamat ialah orang yang tidak mendapat manfaat dari ilmunya." (Hadis riwayat Imam al-Tabrani dan al-Baihaqi)
Jihad Menentang Nafsu Jihad Utama
وَمَآ أُبَرِّئُ نَفۡسِىٓۚ إِنَّ ٱلنَّفۡسَ لَأَمَّارَةُۢ بِٱلسُّوٓءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّىٓۚ إِنَّ رَبِّى غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬
"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Yusuf 12: Ayat ke 53)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment