Monday, March 7, 2011

Kenapa Salahkan Musuh?


Umat Islam pada hari ini sememangnya tidak akan terlepas daripada menghadapi musuh. Di mana-mana pun kita berada musuh sentiasa ada. Sebagai contoh, di negara Palestin musuh Islam adalah golongan zionis yang telah mencabul serta mengambil hak dan maruah Islam di negara tersebut. Di Barat pula, musuh Islam adalah mereka yang sentiasa cuba menyebarkan jarum-jarum propaganda yang bertujuan untuk menjatuhkan kedudukan Islam di mata dunia.

Alhamdulillah sekarang ini kelihatan semakin ramai pihak yang mula berani mempertahankan Islam daripada terus dipermainkan musuh. Semoga Allah memberkati mereka yang sentiasa berjuang dalam mempertahankan dan menegakkan kebenaran.

Namun begitu, masih terdapat ramai pejuang Islam pada hari ini yang seperti tidak mempunyai strategi dan rancangan perjuangan yang tepat. Mereka seakan-akan tiada panduan, lalu mencuba sesuatu teori dan akan menukar kepada teori lain kalau cubaan itu menunjukkan hasil yang negatif.

Sudahlah begitu, mereka pula seperti tidak sedar yang mereka mempunyai musuh yang banyak dan bermacam-macam jenis. Apabila rancangan mereka digagalkan, maka riuh rendahlah mereka mengatakan kesal terhadap musuh.

Realiti Masa Kini

"Tak patut musuh buat begitu." kata sesetengah pejuang Islam. Inilah realiti masa kini! Setiap kali musuh melakukan sesuatu yang bertujuan untuk mejatuhkan Islam, mulalah masing-masing menuding jari menyalahkan musuh. Bukankah musuh itu tugasnya menjatuhkan lawannya? Memang kerja musuh menjatuhkan lawannya. Di atas kejatuhan itu mereka dapat bertakhta dengan gagahnya.

Pejuang Islam hari ini kelihatan seolah-olah tidak bermusuh ketat dengan musuh Islam. Sebab itulah mereka tidak berfikir taktik apa yang perlu digunakan untuk menghadapi musuh. Yang mereka buat ialah marah kepada musuh kerana menggagalkan rancangan mereka, menyekat dan mengugut dengan memulaukan musuh.

Mereka harap dengan marah-marah begitu, musuh akan kasihan dan berpihak kepada mereka. Barulah musuh hendak bantu dan tidak lagi menghalang perjuangan mereka.

Kasihan pejuang Islam. Kita maki hamunlah dan berdemonstrasilah bagaimana dahsyat sekalipun, musuh tetap tidak akan menyokong, membantu atau berjuang macam kita. Bahkan mereka akan bertambah gembira kerana perbuatan mereka telah berhasil dalam menakutkan dan menggagalkan kita.

Dan selepas itu, mereka mungkin akan mengatur rancangan dan strategi yang lebih besar dan lengkap lagi, supaya matilah perjuangan Islam, terkunci mulut pejuangnya dan terhentilah segala aktiviti perjuangan Islam.

Marahkan nyamuk, kelambu dibakar

Orang yang menyalahkan musuh samalah seperti orang yang menyalahkan nyamuk kerana menggigitnya. Makilah nyamuk sebanyak manapun, kita tetap akan digigitnya juga sebab itu sememangnya kerja nyamuk. Kalau kita tidak berbuat apa-apa kepada nyamuk tersebut, dia akan menjadi suka dan bolehlah dia meneruskan aktiviti menghisap darah kita tanpa apa-apa halangan.

Sepatutnya kita lawan nyamuk itu dan katakan kepadanya, "Wahai nyamuk, jangan engkau gigit aku. Sebab engkau hanya boleh ambil sedikit darahku tapi aku boleh ambil nyawamu." Sekiranya nyamuk itu menggigit juga kerana tidak sedar diri, tunggu apa lagi?

Bunuh saja! Biarkan ia menjadi perhatian nyamuk-nyamuk yang lain agar mereka tahu hukumannya. Namun nyamuk yang lain juga pasti tidak akan mengalah dan tetap ingin menghisap darah kita. Maka kita pun begitulah sepatutnya. Jangan mengalah dan kasihan kepada nyamuk. Jalankan tugas kita! Kalau pun tidak sampai hati hendak bunuh, pasanglah kelambu atau ubat nyamuk. Barulah nyamuk tidak boleh gigit kita.

Demikianlah sepatutnya dengan musuh. Mereka tipu kita, kita tipu mereka. Mereka atur strategi, kita pun atur strategi. Mereka halang perjuangan kita, kita pun halang perjuangan mereka. Mereka membangun, kita pun membangun, malah kalau boleh biarlah jauh lebih baik daripada mereka.

Itu barulah namanya perjuangan! Kalau setakat menyalahkan musuh dan berharap musuh tidak tewaskan kita, itu langsung tidak akan menjejaskan musuh, malah lebih memberikan keuntungan kepada mereka. Ingat, jangan salahkan musuh saja tetapi bertindaklah.

-Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment