Thursday, March 10, 2011

Uhud


Berputik bunga mawar di hujung pucuk,
Gugurnya sebelum mekar berkembang,
Bagaikan aku di medan Uhud,
Tewas setelah di awalnya kemenangan.
Persiapan ini ku sangka kukuh,
Namun ternyata perasaan ini masih ampuh,
Mungkin semangat berkobar hebat,
Tapi aku tersasar matlamat.

Masa yang terluang itu umpama "ghanimah",
Aku buang pesanan Sang Murabbi yang diamanah,
"Jangan tinggalkan perjuangan ini,
Dalam senang ataupun payah!"
Hingga kealpaan itu membuka ruang,
Musuh menggempur benteng dari belakang,
Dan aku kecundang.

Aku tidak sebijak junjungan besar Muhamad saw,
Menyusun tadbir,
Di balik debu Uhud yang berterbangan,
Aku tidak setega Qatadah,
Melindungi wajah Nabi dari anak panah,
Hingga terkena mata sendiri yang ditadah,
Terkeluar ke pipi pun tetap gagah.

Aku tidak semampu Hanzalah,
Pengantin baru diambang bahagia,
Belum pun bersih di malam pertama,
Ke medan Uhud perjuangkan agama,
Dan syahidnya basah dimandikan malaikat,
Sedang aku mudah lalai dipagut nikmat.

Aku tak sehebat penghulu para syuhada di Syurga,
'Singa Allah' Hamzah ditusuk tombak tajam,
Dilempar si pengecut Wahsyi secara sembunyi,
Menembus perut terburai usus,
Tapi masih cuba berdiri mengejar musuh,
Sebelum rebah syahid di medan uhud.

Yang pasti,
Aku masih hidup,
Untuk terus perjuangkan Uhud,
Mahu jadi Amru ibn Tsabit,
Syahidnya kerana Islam dijunjung.

Bukan Quzman,
Berperang kerana membela kaum,
Perjuangan aku ini bukan semata,
Buat diri dan keluarga,
Perjuangan ku ini untuk Islam dan semua.
Terima kasih Tuhan,
Menguji dengan kekalahan,
Agar aku belajar,
Dari UHUD.

- Artikel iLuvislam.com

No comments:

Post a Comment