Thursday, May 5, 2011

Seni hiasan kelengkapan perang







SETIAP tamadun di dunia yang mencapai zaman kegemilangan melalui peluasan kuasa dan mempunyai pertahanan yang kuat bagi menangkis serangan dan ancaman musuh.

Ini merupakan lumrah putaran sejarah manusia dalam membina satu kehidupan yang bertamadun.

Bagi meluaskan kuasa dan mempertahankan kedaulatan sesebuah kerajaan ataupun empayar, para pemerintah memperkemas dan melengkapkan barisan pahlawannya dengan pelbagai kelengkapan senjata dan perisai.

Salah satu tamadun yang mempunyai sejarah dan seni barangan senjata yang unik ialah empayar Islam.

Senjata yang sering dikaitkan dengan pahlawan Islam ialah pedang yang mempunyai bilah bersaiz panjang, melengkung dan mempunyai satu mata pisau.

Pedang dunia Islam juga dibuat menggunakan teknik damascene atau pamor bagi menguatkan bilah pedang. Senjata lain ialah seperti tombak, kapak, cokmar dan panah. Senjata-senjata ini digunakan oleh tentera pejalan kaki dan juga tentera berkuda.

Senjata api mula diperkenalkan ke Dunia Islam melalui perdagangan dan konflik yang wujud di timur dan barat pada waktu itu.

Penghasilan meriam dan senjata api yang lain dianggap sebagai barangan kraf di kebanyakan wilayah Islam.

Ini kerana walaupun ia mempunyai fungsi dan kegunaan yang lasak tetapi ia tetap dihasilkan dengan penuh sentuhan kesenian seperti tatahan ukiran gading dan batu permata.

Sebagai contoh, terdapat koleksi pistol zaman Uthmaniyah di galeri senjata Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) yang dihias dengan sepasang gigi taring haiwan atau batu separa berharga seperti batu marjan dan juga ukiran tulang.

Satu lagi peralatan yang melengkapkan senjata api ialah bekas serbuk letupan. Sebelum peluru bagi senjata api dicipta pada abad ke 19, semua senjata api menggunakan serbuk letupan atau belerang untuk menembak.

Dalam Dunia Islam terdapat pelbagai bentuk bekas serbuk letupan telah dihasilkan mengikut kehendak pemilik dan kreativiti para seniman Islam pada waktu itu.

Antara bahan yang digunakan dalam pembuatannya adalah besi keluli, gading, kulit haiwan dan cengkerang siput.

Selain senjata, kelengkapan perang Islam juga mempunyai rekaan perisai yang tersendiri. Antara perisai yang digunakan oleh pahlawan Islam adalah topi besi, baju besi, perisai, pelindung tangan dan sebagainya.

Turut dipamerkan di galeri senjata dan perisai MKIM adalah sehelai baju yang diperbuat daripada kain linen.

Baju ini dihiasi dengan tulisan ayat-ayat al-Quran seperti ayat Kursi dan doa yang berkaitan dengan perlindungan Allah SWT terutamanya ketika berada di medan perang.

Dalam al-Quran terdapat sepotong ayat yang menceritakan bagaimana Nabi Allah Daud a.s telah dikurniakan Allah kelebihan bagi melembutkan besi dan Allah SWT telah mengajar Nabi Daud a.s membuat baju besi seperti yang dinyatakan dalam maksud ayat berikut: Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. (Kami berfirman): Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud, dan kami telah melunakkan besi untuknya, iaitu buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya; dan kerjakan amalan saleh, sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan. (Saba': 10-11)

Salah satu ciri topi perang empayar Islam adalah berbentuk kon. Topi besi ini turut digunakan oleh orang Eropah yang tinggal di bawah pemerintahan Islam.

Rekaan topi perang bentuk kon dikatakan berasal dari zaman pemerintahan kerajaan Sasanid di Parsi.

Pengkaji barat menyifatkan bentuk lengkungan topi besi empayar Islam menyerupai bentuk kubah yang terdapat dalam seni bina masjid. Kebanyakan topi perang abad ke lima belas yang dilihat pada hari ini dibuat di Iran dan Turki.

Senjata dan perisai Islam dihias menggunakan pelbagai teknik seperti pamor, pergol (bersadur emas), tatahan, hias tindih emas dan perak, hiasan permata, enamel dan ukiran gading.

Kadang-kala hiasan bagi senjata yang menjadi alat kebesaran lebih cenderung dilihat sebagai barangan kemas kerana diperbuat dan dihias dengan bahan berharga seperti emas dan batu permata. Contoh terbaik adalah senjata yang dihasilkan dalam empayar Mughal India.

Selain daripada motif flora dan motif haiwan, kebanyakan senjata dan perisai Islam dihiasi dengan kaligrafi.

Kaligrafi Arab merupakan motif hiasan yang sinonim dengan Islam dan ia digunakan hampir di kesemua barangan seni Islam. Kaligrafi yang sering digunakan bagi kelengkapan perang empayar Islam terdiri daripada ayat al-Quran, doa dan juga nama pemilik.

No comments:

Post a Comment