Friday, May 13, 2011

Kekurangan Guru Tempatan Untuk Subjek Agama Islam







Sarawak masih kekurangan guru tempatan untuk matapelajaran Agama Islam di sekolah-sekolah dan terpaksa bergantung dengan khidmat guru agama dari Semenanjung Malaysia untuk mengisi kekosongan tersebut.

Pengarah Pelajaran Negeri Abdillah Adam berkata guru-guru agama itu mestilah mempunyai pengkhususan khas dalam bidang agama dan mereka terbabit dalam pendidikan Kelas Fardu-Ain (KAFA).

"Kurang (guru) mengikut subjek, kita tidak kata keseluruhan, memang ada kurang, kita yakin ia dapat diatasi, kita tidak mahu kelas tanpa guru," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Pra Pelancaran Fastival Guru 2011 di Tebingan Kuching di sini hari ini.

Katanya beberapa langkah kini sedang diambil oleh Kementerian Pelajaran untuk melatih lebih ramai anak tempatan dalam bidang perguruan di maktab-maktab perguruan yang sedia ada di negara ini.

Bagaimanapun menurutnya daripada 43,000 guru yang berkhidmat di sekolah rendah dan menengah di seluruh Sarawak majoritinya adalah anak tempatan.

Mengenai langkah kerajaan untuk menggunakan khidmat Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) beliau berkata di Sarawak memang masih ada sekolah yang menggunakan khidmat tersebut.

Abdillah berkata keperluan untuk menempatkan GSTT di sesebuah sekolah bergantung dengan jumlah waran perjawatan yang diberikan kepada Jabatan Pelajaran Sarawak.

"Setakat ini kalau ada kekosongan kita guna (GSTT), kita akan minta kelulusan daripada kementerian (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) waran perjawatan yang telah diberikan kepada Jabatan Pelajaran," katanya.

Menyentuh isu guru tidak ada di sekolah pada waktu persekolahan, katanya setakat ini tidak ada laporan rasmi yang dibuat kepada Jabatan Pelajaran Sarawak berhubung perkara tersebut.

"Balik (hari Jumaat) sebab ada urusan rasmi di waktu pejabat, seperti ke bank untuk urusan kewangan, tapi tidak semestinya setiap minggu dan kawasan pedalaman memang tidak ada pilihan," katanya.

- Kuching, 13 Mei 2011

Berita ini dibawa oleh Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia). iluvislam.com merupakan pelanggan rasmi Bernama.

No comments:

Post a Comment