Saturday, December 25, 2010

Poligami : Syariah Law VS. Common Law Siri 1


Mungkin ramai masih teringat kisah sebuah 'page' di facebook "Allah is terrorist" yang mana telah pun ditutup kerana mendapat tentangan dari dunia Islam satu ketika dahulu. Namun di sini saya bukan cuba untuk menyingkap tentang 'page' tersebut tetapi tentang satu dialog yang sempat dilakukan sebelum saya di'ban' oleh pemilik 'page' tersebut.

Ketika memasuki laman tersebut, jelas ia dipenuhi dengan caci-maki serta percakapan emosi antara bukan islam dan muslim di dalamnya. Pada waktu itu, ramai daripada pengguna muslim beremosi dan memaki-hamun penganjur laman tersebut dan mengeluarkan pelbagai surah dan ayat Al-Quran untuk menjelaskan Islam adalah agama yang mulia.

Namun mungkin anda tidak menyangka bahawa saya telah menegur muslim-muslim ini seawal kemasukan saya di laman itu dan tidak langsung menegur bukan Islam yang menyumpah-seranah Allah dan Islam. Saya akan cuba menyampaikan situasi tersebut dalam ilustrasi dialog di dalam bahasa Melayu untuk kefahaman.

Hanif: Wahai orang Islam yang berada disini. Sedar atau tidak bahawa mereka yang mengatakan Allah itu pengganas dan Islam agama pengganas ini dari mereka yang tidak tahu? Mengapa kau semua memarahi mereka? Kalau mereka tahu, mereka pun tidak akan mencaci-maki atau mengatakan Allah dan Islam dengan tafsiran sebegini.

Tapi apa yang kamu lakukan disini sama sekali tidak akan membantu memperlihatkan apa yang cuba kamu jelaskan pada mereka. Kamu kata Islam itu agama yang mulia tetapi kamu sendiri mencaci-maki mereka dan agama mereka. Jadi, kalau mereka (bukan islam) ini golongan pelampau kerana mencaci dan menghina Islam, apa bezanya kamu yang juga mencaci-maki dan menghina agama mereka. Rasulullah sendiri dihina, dibaling dengan najis dan cuba dibunuh, tetapi dia tidak melakukan seperti apa yang kamu semua lakukan.

Apakah yang berlaku selepas itu? Jawapannya ialah ia tetap berlaku seperti biasa. Baik yang bukan Islam dan yang Islam terus menerus berdebat dan memaki-hamun. Namun di sebuah 'thread' saya telah ditegur oleh seorang bukan Islam dari United Kingdom kerana telah membaca 'posting' di atas tadi.

Lalu di sinilah bermulanya satu dialog yang terbuka antara saya dengannya yang sememangnya berdialog secara profesional untuk memperoleh kebenaran. Saya meringkaskan dialog itu didalam bahasa melayu dan satu susunan kerana ketika kami berdialog, tidak kurang juga ramai yang menyelit dan turut sama memaki hamun. Andai mahu disalin kesemuanya, maka sudah tentu tidak elok untuk tatapan semua. Begini secara amnya dialog tersebut.

John: Hanif – saya melihat anda seorang saja muslim yang tidak mencarut dan emosi di laman ini. Saya pun tidak marah muslim lain itu beremosi. Siapa pun akan marah bila agama dan tuhan mereka dihina seperti ini. Cuma di sini saya ingin tahu adakah benar apa yang muslim katakan Islam itu lengkap dan mulia sedangkan apa yang saya lihat ia berlainan sekali dari apa yang dilakukan oleh orang muslim.

Hanif: John – saya tidak suka berdebat kerana saya yakin kamu pun tahu debat tanpa hati terbuka dan mencari kebenaran hanyalah satu pekerjaan yang membuang masa. Jikalau kamu hanya mengajak saya berdebat untuk memburukkan Islam, saya samasekali tidak berminat tetapi sekiranya kamu mengajak saya berdialog untuk tujuan ilmiah, saya amat berbesar hati.

John: Hanif – jangan salah sangka. Saya bukan mahu mencari musuh kerana saya tiada masalah dengan Islam dan muslim. Saya menghormati kamu kerana kamu menegur kesilapan orang kamu sendiri. Jadi bagi saya kamu bukanlah seperti mereka yang asyik mengatakan diri mereka betul dan orang lain salah. Sungguhpun tuan laman ini telah melampaui agama Islam dan menghina tuhan Islam, saya rasa perlu juga orang Islam jelaskan dengan betul kenapa mereka bukan pengganas dan Allah itu buka pengganas. Ramai antara kami sebenarnya yang memerhati dan kasihan pada muslim tetapi kadangkala muslim mengutuk orang yang beragama islam ni seolah-olah kami ini semua jahat, akan masuk neraka dan berdosa. Sepatutnya siapa yang buat salah sajalah yang salah tetapi mengapa semua bukan Islam turut dikatakan muslim akan masuk neraka dan pendosa? Adakah muslim yang memaki hamun ini tidak berbuat dosa? Adakah muslim boleh mencarut serta menghina dan tak dikira berdosa tetapi bukan Islam pula sebaliknya?

Hanif: John - baiklah John. Terima kasih kerana keterbukaan. Saya rasa kita usah berbincang tentang mereka kerana itu lebih akan membuang masa kita. Baik yang muslim dan bukan Islam yang berbuat perkara salah, ia tetap satu yang salah. Kamu pun sendiri melihat saya menegur kesalahan mereka. Jadi saya rasa lebih baik kamu terus kepada apa yang ingin kamu katakan. Saya cuba menjawab sebaik mungkin.

John: Hanif – baiklah. Muslim berkata Islam agama yang adil tetapi saya rasa tidak. Contohnya islam benarkan poligami. Lelaki muslim boleh berkahwin 4 isteri tetapi perempuan muslim tidak boleh berkahwin 4 suami. Dimanakah adilnya disitu?

Hanif: John – Antara lelaki dan perempuan, siapakah yang paling berpotensi menjadi pemimpin?

John: Hanif – Sudah tentu lelaki. Itu sangat jelas. Tapi adakah sebab lelaki itu memang kaum yang hebat memimpin, maka hak siperempuan dinafikan tidak boleh berkahwin empat?

Hanif: John – nanti dulu John. Jangan terburu-buru dengan soalan seterusnya. Jadi anda bersetuju lelaki adalah kaum yang memang lebih hebat memimpin. Jadi disini tidak salah Islam memberikan hak memimpin kepada kaum lelaki dimana seorang lelaki boleh memimpin empat orang isteri. Seterusnya, kalau lelaki mempunyai 4 isteri, maka kita boleh tahu siapa ayah kepada anak-anak itu. Tapi anda boleh tentukan siapa ayah kepada anak seorang isteri yang mempunyai 4 orang suami?

John: Hanif – kita boleh menggunakan DNA untuk mengenalpasti anak tersebut dari baka siapa.

Hanif: John – bagaimana sekiranya ayah yang dikesan melalui DNA itu tidak mengaku dan mengatakan mungkin ada kesilapan? Ini boleh berlaku apabila suami-suami yang lain tidak mahu mengambil tanggungjawab terhadap anak itu. Penentu DNA boleh dibayar. Maka ia akan jadi kes mahkamah dan nasib si isteri itu terumbang ambing sehingga penyiasatan selesai. Jikalau ia mengambil masa, apakah nasib si anak dan isteri tersebut? Selain daripada itu, sekiranya isteri itu perlu melayan empat orang suami ketika mengandung, dan hubungan seks kerap itu menyebabkan bayi didalam kandungan gugur, anda boleh bayangkan apa akan terjadi sekiranya suami-suami tadi menyaman antara satu sama lain?

John: Hanif – baiklah saya simpulkan perempuan berkahwin empat bukanlah satu idea yang bijak dan saya rasa ia mengarut sama sekali. Secara teknikal memang seorang lelaki yang ada banyak isteri sekalipun tidak akan menghadapi masalah dalam penentuan baka dan warisan serta tidak akan menimbulkan masalah dalam urusan perwarisan harta dan hak.

Tetapi anda perlu faham juga, sungguhpun secara teknikal ianya tidak mendatangkan masalah, ia tetap merupakan satu undang-undang yang tidak melindungi hak seorang wanita. Bukankah elok seorang suami itu hanya ada seorang isteri. Jadi kedua-duanya tidak perlu cemburu dan berkasih-sayang secara normal. Undang-undang Islam membuat perkara ini menjadi tidak normal. Bila lelaki muslim boleh berkahwin 4 isteri, adakah Islam tidak mengambil kisah perasaan isteri-isteri tadi? Bagi saya undang-undang Islam masih tidak menjaga hak asasi seorang wanita seperti yang diperkatakan oleh semua muslim disini. Saya lebih hairan muslim mengatakan 'common law' itu tidak lengkap sedangkan undang-undang ini lebih terperinci berbanding undang-undang Islam dari buku Quran itu.

~ Bersambung.

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment